Bismillahirahmannirohhim
(Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah)

Sunday 19 June 2011

Pelan Tindakan Kerajaan Selepas Peristiwa 13 Mei 1969

Tragedi 13 Mei 1969 telah menjadi peristiwa yang amat penting dalam sejarah Tanah Melayu dan peristiwa ini  memberi pengajaran kepada semua penduduk terutamanya para pemimpin politik dan rakyat Malaysia. Tragedi ini telah menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda yang  teruk di Malaysia. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi terutamanya masalah yang berkaitan dengan hubungan antara kaum .Hal yang demikian kerana tragedi 13 Mei berpunca daripada masalah perpaduan yang amat ketara antara kaum .

          Sehubungan dengan itu, pada 17 Mei 1969 sebuah majlis telah ditubuhkan dibawah kuasa Timbalan Perdana Menteri,YAB Tun Abdul Razak bin Dato’Hussien iaitu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk mengambil alih tugas parlimen .Beliau dibantu oleh anggota-anggota majlis yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik,pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera. MAGERAN menjalankan beberapa fungsi utama iaitu bertanggungjawab mengembalikan keamanan dan undang-uandang negara, menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan sesebuah kaum kepada kaum lain. Dibawah MAGERAN juga telah ditubuhkan sebuah pejabat Urusetia Hal Ehwal Awam yang diketuai oleh seorang pegawai Perkhidmatan Awam Kanan untuk menjalankan tugasan daripada Ketua Pegawai Kerja. Ketua  Hal Ehwal Awam bertanggungjawab mengeluarkan arahan berkenaan pembentukan dan penelitian semua dasar dan objektif kerajaan tentang hal-hal yang berkaitan dengan hal ehwal awam serta penyelarasan agensi kerajaan lain agar dasar tersebut dipatuhi .


           Dasar-dasar yang yang berkaitan dengan hal ehwal awam tersebut termasuklah dasar kewangan, pelajaran, pembangunan negara, luar bandar dan perusahaan, perdagangan dan perniagaan, pengangkutan, perkhidmatan dan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan persekutuan dan negeri dan imigresen dan pendaftaran negara. Bagi membantu dalam melaksanakan dasar-dasar ini beberapa panel telah ditubuhkan seperti panel ekonomi, panel pelajaran, jawatankuasa ekonomi dan kewangan, jawatankuasa penanaman modal serta jawatankuasa perancangan dan pembangunan negara                    ( JPPN).Selain itu, MAGERAN  telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara (JPN) pada tahun 1970 dan Majlis Muhibah Negara (MMN) pada 18 Julai 1969.Tujuan penubuhan Jabatan Perpaduan Negara  yang diketuai oleh Tan Sri Mohd.Ghazali Shafie adalah bagi membantu kerajaan mengerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara dengan lebih teratur dan teliti di samping mendraf satu idealogi iaitu Rukun Negara.

          Majlis Muhibah turut dibentuk di peringkat pusat, negeri, daerah dan kampung di bawah peruntukan Peraturan-peraturan Perlu 1969 untuk mengalakan perkembangan muhibah dengan memulihkan kepercayaan sesebuah kaum dengan kaum yang lain, mengkaji dan menyelesaikan masalah dengan kerjasama pihak berkenaan yang berkaitan dengan kesulitan serta perselisihan faham antara kaum, membantu pertubuhan lain dan kerja-kerja sukarela dalam lapangan kerja sosial mengikut pelbagai peringkat serta sedia membantu kerajaan pada bila-bila masa diperlukan. Kerajaan Berparlimen  telah dipulihkan semula pada 23 Feb 1971.Ekoran daripada hal tersebut Majlis Muhibah Negara telah dimansuhkan dan diganti dengan Majlis Perpaduan Negara(National Unity Council) yang mempunyai 51 orang anggota  dan ditadbir melalui kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dengan Pejabat Muhibah Negara. Peranan utama majlis ini adalah membincangkan perkara-perkara berkaitan perpaduan negara yang difikirkan oleh Perdana Menteri perlu dirujukan kepada majlis dan membincangkan , mencadangkan langkah-langkah penyelesaian kepada masalah perpaduan negara bagi memupuk perpaduan kaum.
        Pada 1 Januari 1972 Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara digabungkan menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang bertanggungjawab mengurus serta menyelaras tugas-tugas Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Jawatankuasa Muhibah. Selepas pilihan raya umum 1974, kerajaan baru Barisan Nasional dibentuk menyebabkan Kementerian Perpaduan Negara bertukar nama menjadi Lembaga Perpaduan Negara malah sebuah panel penasihat yang terdiri daripada 16 ahli juga ditubuhkan. Panel penasihat ini bertanggungjawab membincangkan masalah perpaduan, mencari idea baru bagi menghapuskan perasaan perkauman serta mengelakkan berlakunya konflik atau konfrontasi antara kaum. Lembaga Perpaduan Negara bertukar kembali menjadi Jabatan Perpaduan Negara yang diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri.

       Seterusnya , Majlis Perundingan Negara(MAPEN) ditubuhkan di bawah undang-undang darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970. MAPEN dan MAGERAN saling berkerjasama iaitu MAGERAN bertindak sebagai pemerintah manakala,MAPEN berfungsi sebagai penasihat kepada MAGERAN khususnya perkara berkaitan perhubungan kaum. MAPEN berperanan membincangkan dan meneliti masalah yang berkaitan perpaduan kaum untuk mencari jalan penyelesaian agar ‘pisang tidak berbuah dua kali’ iaitu mengelak berulangnya peristiwa 13 Mei.MAPEN dianggotai oleh  Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussien(pengerusi), tiga orang menteri, wakil-wakil kerajaan negeri,wakil-wakil parti politik ,wakil-wakil agama, badan professional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, wartawan, persatuan guru-guru dan wakil kumpulan-kumpulan kecil.Setiap ahli berperanan dalam membincangkan isu berkaitan perpaduan kaum dengan jujur tanpa was-was dan dalam keadaan yang tenang.Namun isu yang dibincangkan bukan hanya tertumpu kepada perpaduan kaum semata-mata tetapi juga melibatkan perancangan dan penyelarasan pembangunan dari segi ekonomi, sosial, pembangunan wilayah dan negeri.

         MAPEN telah mengadakan mesyuarat yang pertama pada 27 Jan 1970 yang dipengerusikan oleh pengarah MAGERAN dan telah menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu membuat keputusan berkenaan bentuk masyarakat Malaysia pada masa akan datang bagi mencapai perpaduan yang harmoni. Melalui perbincangan yang dijalankan selama beberapa bulan MAPEN berpendapat bahawa negara ini memerlukan satu panduan yang boleh dijadikan idealogi bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang baru dan maju .Idealogi tersebut dikenali sebagai Rukun Negara yang mengandungi 5 prinsip utama iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan Negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan.Rakyat Malaysia harus mendukung cita-cita yang berpandukan kepada kelima-lima prinsip tersebut iaitu mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyrakat , memelihara cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil ,menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak dan membina sebuah masyarakat progresif dengan mengunakan sains dan teknologi moden.

         Di samping itu, Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dirangka dengan dua objektif  yang menjadi serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan rakyat tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat.Dasar Ekonomi dirujuk sebagai tapak ,panduan ,falsafah, peraturan dan cara mencapai matlamat dasar yang merujuk kepada usaha untuk mengubah masyarakat dan negara daripada keadaan yang mundur kepada maju dalam pelbagai aspek kehidupan (kebendaan dan bukan kebendaan). Jurang kemiskinan antara golongan kaya dengan golongan miskin terlalu besar bezanya terutama daripada aspek ekonomi dimana golongan kaya memonopoli hampir separuh sektor ekonomi menyebabkan penduduk miskin tidak dapat melibatkan diri dalam sektor ini. Program pembangunan ekonomi diwujudkan bagi mencapai perpaduan ekonomi yang seimbang dalam sektor ekonomi agar setiap golongan masyarakat dapat memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

         DEB mengutamakan isu kemiskinan di luar bandar dan di bandar sebagai tumpuan utama terutamanya bagi kaum bumiputera yang menjalankan aktiviti pertanian tradisional. DEB telah mengambil beberapa langkah unutk menangani isu ini iaitu mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak , menambahkan daya pengeluaran dan pendapatan, memberi peluang kepada pekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya ke sektor yang lumayan, mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum dan kawasan, memodenkan kehidupan di luar bandar, mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan kaum bumiputera, mewujudkan sektor pekerjaan yang mengabungkan pelbagai kaum, memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat. DEB menjalankan pembasmian kemiskinan melalui tiga perigkat iaitu pembasmian mengikut kawasan luar bandar dan bandar, pembasmian mengikut negeri dan pembasmian melalui penyediaan keperluan asas dan mutu hidup yang baik. Masyarakat telah disusun semula melalui beberapa strategi iaitu peningkatan dalam pendapatan dan kadar kemiskinan disusun mengikut kaum, penyusunan semula corak guna tenaga, penyusunan semula hak milik dalam sektor syarikat dan sektor industri dan pembangunan bandar dan luar bandar.

        Selain itu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dibentuk hasil daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 untuk menjadi panduan dalam membentuk, mewujudkan dan mengekalkan identiti negara dalam kalangan dunia antarabangsa. Kementerian Kebudayaan ditubuhkan pada 20 Mei 1987 bagi merancang ,mengawal ,menyelia dan melaksanakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.Di samping melaksanakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, kementerian ini berfungsi untuk memberi khidmat nasihat, mengubal dan menyelia dasar yang berkaitan dengan perkembangan kebudayaan dan industri pelancongan .Mengawal dan menyelia perjalanan jabatan dan agensi di bawahnya serta merancang program pembangunan, penyelidikan dan perhubungan dalam bidang kebudayaan dan pelancongan selaras dengan dasar yang telah ditetapkan .Melaksanakan, menyelaras dan mengawasi program kebudayaan dan pelancongan serta menilai keberkesanan dasar program kebudayaan dan pelancongan.
         Dasar Kebudayaan Kebangsaan berteraskan tiga prinsip utama seperti kebudayaan rakyat asal rantau melayu, unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar diterima dan Islam sebagai unsur yang paling penting. Terdapat beberapa objektif Dasar Kebudayaaan Kebangsaan ini iaitu mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan, memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang wujud daripada kebudayaan kebangsaan serta memperkaya dan mempertingkat kualiti kehidupan manusia dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi. Dasar Kebudayaan Kebangsaan dilaksanakan melalui pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas kebudayaan kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya. Meningkatkan dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha membimbing dan melatih peminat, pendokong dan pengerak kebudayaan dengan meluas sebagai jentera pembangunan yang berkesan. Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia, memenuhi keperluan sosiobudaya serta meninggikan taraf dan mutu kesenian.Kementerian Kebudayaan ,Kesenian dan Pelancongan berperanan penting dalam melaksanakan dasar ini iaitu menguruskan penyelidikan ,pembangunan dan pengalakkan penyelidikan dan pengembangan kesenian serta perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan.

         Persekutuan Malaysia merupakan negara yang mempunyai 13 buah negeri iaitu 11 buah di Semenanjung Malaysia ,Sabah dan Sarawak.Negeri Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang terpisah daripada Semenanjung Tanah Melayu, situasi ini menyebab kedua-dua negeri ini sukar untuk berhubung dengan negeri-negeri di Semenanjung.Pihak kerajaan harus menjalankan pembangunan yang mengambilkira usaha-usaha bagi mengurangkan jurang perbezaan pembangunan ekonomi dan struktur di antara negeri atau wilayah di Malaysia.Antara aspek yang perlu dititikberatkan ialah potensi,keupayaan dan keadaan negeri atau wilayah yang berkaitan untuk membolehkan pembangunan pertanian,perusahaan ,perindustrian dapat disalurkan ke arah pembangunan negara yang seimbang .Objektif utama pembangunan ini ialah mewujudkan agihan yang lebih seimbang dan adil dari segi pekerjaan,pendapatan ,pendidikan ,kemudahan asas,kesihatan,sosial dam rekreasi khususnya di negeri Sabah ,Sarawak dan negeri-negeri yang mundur di semenanjung.Penempatan semula penduduk ke kawasan atau pusat-pusat bandar baru yang berpotensi dalam pembangunan telah dijalankan di bawah pengawasan pihak berkuasa seperti JENGKA dan DARA(Pahang), KEJORA(Johor), KESEDAR(Kelantan), KETENGAH(Terengganu) dan KEDA(Kedah).Di Sabah sektor pertanian menjadi penyumbang utama dalam Pengeluaran Negara Kasar(PNK).Melalui RMK-5 ,64000 hektar tanah dibangunkan yang menempatkan 3900 peneroka dan mempelbagaikan industri balak kepada industri pengeluaran kertas kayu dan pulpa.Penggunaan pelabuhan di Kota Kinabalu, Labuan, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau untuk tujuan pengeksportan hasil keluaran setempat dipergiatkan .

         Sektor perlombongan di Sarawak seperti pengeluaran gas asli telah berkembang pesat ekoran daripada permintaan yang tinggi oleh LNG plant dan Asean Ammonia-Urea Plant di Bintulu. Melalui  RMK-5 Sarawak menjadi pengeluar kayu balak terbesar dan kemajuan sektor pertanian disebabkan projek Pembangunan Pertanian Bersepadu(Intergrated Agricultural Development projects) serta pembangunan luar bandar. Dasar dan sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak dapat diselaraskan dengan pendidikan di Semenanjung di bawah Kementerian Pendidikan. Sistem perhubungan antara Sabah dan Sarawak diperluaskan melalui rancangan pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo yang menghubungkan Kuching dengan Kota Kinabalu seterusnya dapat membantu dalam pemesatan pembangunan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Perhubungan udara di bawah Syarikat Penerbangan Malaysia(MAS)  dari Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur dan Bandar lain di semenanjung ,sistem komunikasi yang baik seperti telefon ,perkhidmatan pos,televisyen dan radio membolehkan jurang pemisah antara Sabah dan Sarawak dengan semenanjung dapat dihapuskan .          
        Sehubungan daripada peristiwa 13 Mei ini terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti bagi menyelesaikan masalah perpaduan kaum iaitu sentiasa mengalakkan penduduk bermigrasi untuk meluaskan pergaulan.Terdapat beberapa faktor tarikan yang boleh menggalakan penduduk berpindah iaitu penyatuan perkhidmatan awam antara semua negeri di Malaysia , mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik di sesebuah tempat dan meningkatkan aspek keselamatan untuk mengelak ancaman dari luar.Selain itu,penyeragaman sisitem pendidikan adalah penting kerana Dasar Pelajaran seperti Penyata Barnes, Penyata Feen-Wu,Undang-undang Pelajaran1952, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta dasar lain berkaitan pendidikan berperanan dalam memupuk perpaduan kaum. Media massa pula memainkan peranan dalam memberi pendedahan kepada berita-berita, laporan dan dasar kerajaan untuk mengurangkan jurang penerimaan maklumat yang ada. Media massa dapat membentuk pemikiran dan pandangan rakyat yang positif terhadap negara.

         Integrasi ekonomi melalui  dasar pembangunan seperti Rancangan Pembangunan Lima Tahun, DEB, Dasar Pembangunan Nasional adalah untuk memastikan pengasingan ekonomi yang dijalankan sejak zaman penjajahan sehingga selepas merdeka dapat dimansuhkan di samping merapatkan jurang ekonomi yang wujud antara penduduk kaya dengan penduduk miskin agar perasaan tidak puas hati dapat dielakkan. Fahaman politik yang bersatu harus diwujudkan seperti Parti Perikatan(UMNO-MCA-MIC) atau Barisan Nasional yang dianggotai oleh pelbagai parti komponen seperti UMNO, MCA, MIC, PPP, Gerakan, AKAR, PBDS, SNAP, PBB, SUPP, PBRS, PDS dan SAPP .Manakala aspek-aspek sosial lain yang perlu diambilkira ialah perpaduan kaum dapat dipupuk melalui pengenalan dan penerapan dasar-dasar sosial seperti Rukun Negara, Dasar Belia Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain .Dalam hal ini Malaysia berjaya mewujudkan perpaduan dan intergrasi nasional kerana sikap kesederhanaan dan bertolak ansur semua kaum.

         Tragedi 13 Mei ini telah memberi pengajaran khususnya kepada pemimpin-pemimpin politik termasuk rakyat Malaysia.Antara pengajaran yang dapat dijadikan iktibar ialah kerosakan harta benda dan nyawa kerana rusuhan kaum ini telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban misalnya jumlah kematian pada tempoh darurat ialah 172 hingga 196 orang manakala yang tercedera seramai 493 orang.YDPA telah mengisytiharkan darurat atas nasihat Tunku Abdul Rahman dan ahli Jemaah Menteri .Perintah berkurung ini bertujuan untuk mengawal keselamatan dan mengembalikan kestabilan negara .Walaubagaimanapun , keadaan ini telah menyekat kebebasan dan pergerakan penduduk untuk melakukan aktiviti harian mereka seperti mencari nafkah. Tragedi ini telah memberi keuntungan kepada musuh negara malah turut memberi peluang kepada mereka untuk memecahbelahkan hubungan rakyat seterusnya menakluki negara ini. Misalnya, kejatuhan Empayar Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 disebabkan oleh keadaan kucar- kacir di negeri tersebut.

         Selain itu ,tragedi ini juga telah mengajar rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya pembentukan dasar perpaduan dalam melahirkan masyarakat yang harmoni.Di samping itu ,tragedi ini juga telah menunjukan faktor utama wujudnya masalah perpaduan kaum ialah faktor kemiskinan yang terutamanya melibatkan penduduk luar bandar disebabkan dominasi ekonomi oleh golongan kaya. Oleh itu, pembentukan DEB adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan merapatkan jurang ekonomi ini.Seterusnya, Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu berperanan dalam menjadi alat perpaduan kaum .Oleh itu, setiap penduduk Malaysia perlu mahir bertutur dalam bahasa ini.Namun, pengunaan dan pembelajaran bahasa lain tidak di sekat untuk mengelakkan rasa tidak puas hati kaum lain seperti kaum cina dan india .   

         Kesimpulannya, tragedi 13 Mei 1969 menyebabkan berlaku beberapa perubahan di Malaysia terutama dalam sektor politik.Kerajaan telah menubuhkan beberapa persatuan dan badan-badan kerajaan yang baru seperti MAGERAN, MAPEN, DEB, JPN, MMN, Rukun Negara dan banyak lagi .Pelaksanaan dasar-dasar ini memerlukan kerjasama serta komitmen daripada setiap lapisan masyarakat terutamanya para pemimpin politik kerana salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya peristiwa rusuhan kaum ini ialah sikap tidak bertanggungjawap para pemimpin politik semasa berkempen dan selepas keputusan pilihan raya diumumkan iaitu para pemimpin politik ini tidak dapat mengawal perasaan diri dan pengikut-pengikut mereka serta tidak menghormati sensitiviti kaum lain.Oleh itu, peristiwa ini telah banyak mengajar setiap anggota masyarakat tentang nilai murni yang perlu ada pada diri setiap masyarakat untuk mewujudkan hubungan yang harmoni .Selain itu, setiap anggota masyarakat juga diajar untuk saling bantu-membantu  agar ‘pisang tidak berbuah dua  kali’ iaitu agar tragedi 13 Mei ini tidak berlaku lagi dan dijadikan pengajaran oleh semua anggota masyarakat.

Saturday 18 June 2011

Allah S.W.T Jangan Dilupakan ~ Hari Kiamat~

Dalam Rukun Iman yang Kelima (5) adalah Percaya Kepada Hari Akhirat . Sebagai umat Islam, wajiblah kita mempercayainya bahawa akan berlakunya saat kiamat iaitu waktu sebelum berlakunya hari akhirat. Surah Al-Israa: 59 menyatakan "dan biasanya Kami tidak menurunkan tanda-tanda itu melainkan untuk menjadi amaran". Surah Al-Hajj: 7 menyatakan "dan sesungguhnya hari kiamat itu pastilah datang, tidak ada keraguan padanya..."

Tanda-tanda Kiamat
Sesungguhnya, sebelum berlakunya hari kiamat akan berlakunya beberapa tanda dan kebanyakkan tanda-tanda ini telah pun berlaku kini. Semakin dekat kita menuju ke arah hari kiamat.

  1. Berlakunya Peperangan dan Kekacauan
  • Rasulullah S.A.W pernah bersabda mengenai "al harj" iaitu pembunuhan dan saling membunuh akan meningkat. Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua (PD I&II) telah pun berlaku.
  • Perang Dunia Ketiga akan berlaku yang mungkin akan berlaku di sebelah Timur Tengah yang mungkin melibatkan senjata nuklear dan mungkin Iran akan menjadi sasaran. Menurut Kitab Bahrul Mazi, Perang Dunia Ketiga akan berlaku dalam tempoh yang sekejap tetapi kemusnahannya amat dahsyat.
  • Perang Dunia Keempat (Battle of Armageddon) akan berlaku kemudian dengan penggunaan senjata pedang. Hal ini adalah disebabkan teknologi senjata canggih sudah tidak boleh digunakan lagi kerana kesan elektromagnetic pulse (EMP) daripada senjata nuklear yang telah digunakan semasa Perang Dunia Ketiga. Ada hadis menyatakan dajjal akan disembelih pada perang ini dan orang-orang yahudi akan menyorok di belakang batu dan pokok yahudi iaitu pokok gharqad.
   2.    Gerhana Bulan dan Matahari berlaku dalam Bulan Ramadhan
  • Rasulullah pernah bersabda bahawa sebelum kemunculan Imam Mahadi, akan berlaku secara berturut-turut dua gerhana pada bulan Ramadhan.
  • Sesungguhnya kejadian ini pernah berlaku tahun 1981M dan 1982M.
   3.    Munculnya Komet Berekor
  • Menurut hadis bahawa komet akan muncul sebaik sahaja berlaku peristiwa gerhana bulan dan matahari di bulan Ramadhan
  • Ia berlaku sebelum munculnya Imam Mahadi dan ia komet ini muncul dari sebelah Timur
  • Nabi Muhammad S.A.W bersabda "semasa kemunculan bintang berekor, kaum Nabi Nuh dibinasakan, Nabi Ibrahim dibakar dan Firaun yang menyeksa Nabi Musa terhapus" Kemunculan bintang berekor yang terakhir menandakan kedatangan Imam Mahadi.
  • Telah berlaku keadaan yang hampir sama pada tahun 1986M apabila komet Halley dilihat berdekatan dengan bumi dan arahnya adalah dari timur ke barat.
   4.    Kehancuran Kota-kota Besar Akibat Peperangan dan Bencana
  • Seperti yang telah berlaku padang PD II iaitu di Hiroshima dan Nagasaki yang hancur akibat bom atom
  • Kota Tugshen di China yang hilang lenyap setelah berlaku gempa bumi
  • Acheh yang dilanggar Tsunami

Friday 17 June 2011

Allah S.W.T Jangan Dilupakan ~ Waktu iblis dan syaitan Akan Menggoda Kita

syaitan dan iblis sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggoda manusia walaupun sekecil lubang jarum peluang itu. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berwaspada agar tidak dapat digoda olehnya dengan memastikan kita tidak berada dalam beberapa keadaan yang mampu memberi ruang dan peluang kepada syaitan dan iblis laknatullah. Sesungguhnya, syaitan dan iblis ini akan menggoda seseorang dalam keadaan :-
  • marah dan bernafsu
  • rasa dengki yang membara dalam diri
  • waktu terlalu kenyang dangan makanan dan minuman
  • ketika manusia menyukai perhiasan yang berlebihan - seperti hiasan bangunan, pakaian dan barang-barang kemas
  • sifat tamak
  • sifat terburu-buru
  • sifat bakhil/kedekut
  • rasa fanatik terhadap mazhab
  • waktu manusia mementingkan diri sendiri
  • menerusi rasa atau sifat prasangka buruk terhadap saudaranya yang Islam
A/J: marilah sama-sama kita fahami dan praktikkan segala kebaikan agar dapat terhindar dari godaan syaitan dan iblis.

Thursday 16 June 2011

Barisan Nasional (BN) Menjamin Kestabilan Politik dan Kemajuan Ekonomi Negara

1.0        PENGENALAN
Jalan ke arah kemerdekaan semakin nyata setelah Persekutuan Tanah Melayu (PTM) ditubuhkan.British yang mentadbir ketika itu berhadapan dengan sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum.Oleh demikian,selain menghadapi ancaman komunis, kerajaan British juga menghadapi cabaran dan masalah yang berkaitan dengan perpaduan antara kaum.British merasakan bahawa perlunya perpaduan antara kaum sebelum negara ini diberikan kemerdekaan.Antara kaedah yang boleh digunakan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum ini adalah melalui kaedah politik.Hal ini adalah kerana parti-parti politik yang semakin berkembang di Tanah Melayu. Pemimpin dan ahli parti-parti politik memfokuskan perjuangan mereka kepada memelihara kepentingan ahli-ahlinya dan ada juga memperjuangkan kemerdekaan negara ini.Namun demikian,landasan dan matlamat perjuangan kemerdekaan parti-parti tersebut adalah berbeza antara satu sama lain.
          Jika dilihat dalam sejarah negara sebelum kemerdekaan iaitu semasa era penjajahan, penubuhan pertubuhan seperti Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All-Malayan Council For Joint Action (AMCJA) telah dibentuk dengan ia telah mengemukakan sebuah ‘Manifesto Rakyat’ sebagai asas membentuk sebuah negara yang merdeka, bebas dan adil melalui kerjasama antara kaum. Akan tetapi usaha ini ditentang oleh penjajah British melalui tindakan tekanan undang-undang dan tindakan politik apabila ia dilihat tidak menggambarkan kehendak British sepenuhnya terhadap dasar mereka di Tanah Melayu pada ketika itu.
Parti-parti yang bersifat perkauman seperti UMNO,MCA dan MIC telah bergabung untuk mewujudkan perpaduan dan mendapatkan kekuatan serta sokongan tiga kaum utama di Tanah Melayu iaitu Melayu,Cina dan India di bawah satu parti iaitu parti Perikatan.[1] Melalui Perikatan telah berjaya mewujudkan perpaduan dan mendapatkan kekuatan serta sokongan tiga kaum terbesar di Tanah Melayu.Perikatan telah memperjuangkan kemerdekaan berlandaskan kepada tolak ansur antara kaum dan perundingan.Selepas mendapat kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu diperintah oleh Kerajaan PERIKATAN di bawah pimpinan Tuanku Abdul Rahman selepas Parti Perikatan mendapat majoriti 2/3 kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan 1959 dengan memenangi 74 daripada 104 kerusi yang dipertandingkan.[2]
Setelah 12 tahun mencapai kemerdekaan, berlakunya Peristiwa 13 Mei yang menunjukkan betapa perpaduan kaum dan integrasi nasional masih belum lagi tercapai di Tanah Melayu walaupun ia sudah merdeka. Selepas ‘peristiwa berdarah’ tersebut yang melibatkan rusuhan perkauman khususnya di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969, dua langkah penting telah diambil oleh pihak kerajaan yang memerintah ketika itu dalam merombak semula dasar-dasar kerajaan bagi menggelakkan peristiwa tersebut berulang kembali. Pertamanya dengan mengisytiharkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menggalakan Perpaduan Nasional dengan objektif utamanya adalah untuk menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula rakyat. Keduanya, dengan meluaskan lagi penyertaan parti-parti politik lain dalam gabungan Parti Perikatan untuk membentuk Barisan Nasional (BN) bagi menjadikan ia sebuah barisan yang merentasi garis yang tidak berbaur perkauman.
Pada 1 Jun 1974, tertubuhnya sebuah parti politik yang lebih besar daripada Perikatan iaitu Barisan Nasional sewaktu di bawah pimpinan Tun Abdul Razak.Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-2 sejurus Tuanku Abdul Rahman meletakkan jawatannya pada tahun 1970 semasa suasana kesedaran dan keinsafan sedang menyelebungi negara ketika itu selepas berlakunya ‘Peristiwa 13 Mei’. Tun Abdul Razak telah menggunakan keadaan yang melanda negara ketika itu sebagai peluang yang perlu digunakan dengan sebaik-baik mungkin oleh kerajaan bagi menyeimbangkan dan menstabilkan kembali keadaan politik negara akibat daripada peristiwa yang berlaku itu. Rentetan daripada yang peristiwa yang berlaku dan keadaan aman ketika itu, Tun Abdul Razak telah menubuhkan BN yang disertai bukan sahaja oleh UMNO, MIC, MCA dan Parti Gerakan (GERAKAN) tetapi juga PAS, Parti Progresif Rakyat, Parti Bersatu Rakyat Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan Perikatan Sabah.Sejak diperluaskan lagi PERIKATAN kepada pembentukan BN, kita tidak dapat menafikan prestasinya dalam menjalankan pemerintahan negara dan ia meningkat dari tahun ke tahun walaupun wujud beberapa kepincangan dan cabaran yang berlaku dalam pemerintahan tersebut.

2.0        PARTI PERIKATAN
Dari sudut sejarah,pembentukkan Perikatan pada awalnya di antara UMNO dan MCA adalah secara spontan dan tidak dirancang dengan mendalam.[3] Hal ini merupakan peristiwa penting apabila ianya bermula apabila Dato Onn menghubungi H.S Lee dengan tujuan mengadakan kerjasama IMP-MCA dalam pilihanraya bandaran Kuala Lumpur.H.S Lee mendakwa Dato Onn mendesak beliau supaya semua ahli MCA yang ingin bertanding mengguakan tiket IMP.Hal ini tidak disenangi kerana ahlinya ingin bertanding atas tiket MCA dan bukannya menggunakan tiket parti yang lain.Justeru MCA menerusi H.S Lee menolak cadangan kerjasama dengan IMP dan mengeluarkan tawaran menyokong calon-calon daripada kaum lain.Di samping penolakan itu,H.S Lee dan Tan Cheng Lock juga memainkan peranan dalam memungkinkan pembentukkan perikatan UMNO-MCA.Tujuan Perikatan UMNO-MCA adalah bertujuan untuk melipatkan usaha orang Melayu dan Cina di Malaya bagi membina sebuah masyarakat dalam Tanah Melayu supaya semua orang di dalam negara ini dapat mengecap nikmat keamanan dan kebebasan serta kemakmuran dan kesejahteraan.[4]
          Parti Perikatan telah ditubuhkan pada bulan Januari 1952 oleh Tuanku Abdul Rahman dan ia dianggotai oleh dua buah parti terbesar di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu iaitu UMNO dan MCA. Pada awal penubuhannnya ia dibentuk bagi menghadapi Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada Februari 1952 dan mengikut persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua parti ini, MCA tidak akan bertanding di kawasan UMNO manakala begitu juga dengan UMNO yang tidak akan bertanding di kawasan MCA.[5] Hasil daripada kerjasama ini, Parti Perikatan telah memenangi 9 kerusi daripada 12 kerusi yang telah dipertandingkan sehingga selepas itu ia membawa kepada persetujuan bersama antara kedua-dua parti ini untuk menubuhkan Parti Perikatan di peringkat kebangsaan bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1955.[6]
          Perlembagaan Parti Perikatan telah mengutarakan enam matlamat penting yang perlu dicapai iaitu yang pertama ialah mewujudkan,melindungi dan menjunjung prinsip Demokrasi Berparlimen di Tanah Melayu.Yang kedua adalah mempertahankan kedudukan Raja Negeri Melayu sebagai ketua perlembagaan di negeri masing-masing.Ketiga, memajukan dan mengekalkan keharmonian dan perasaan muhibah antara kaum dan melindungi hak golongan minority.Keempat, mewujudkan dan mengekalan bangsa Malayan bersatu.Kelima adalah untuk membaiki keadaan hidup dan kebajikan penduduk Tanah Melayu dan yang terakhir adalah untuk mencapai matlamat lain dari semasa ke semasa yang akan mengusahakan kepentingan penduduk dan negara secara keseluruhan.[7]
Gabungan parti-parti ini secara juga tidak langsung telah mewujudkan kerjasama politik dan seterusnya kerjasama antara kaum yang merupakan satu pakatan yang murni. Kerjasama politik ini sedikit sebanyak telah dapat mewujudkan perpaduan kaum di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.[8] Penubuhan Parti Perikatan seperti ini amat disokong oleh pihak British kerana mereka berpendapat bahawa kerjasama di antara parti tanpa mengira bangsa dan agama akan dapat mewujudkan kestabilan politik di Tanah Melayu dan secara tidak langsung dapat menyediakan Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri dan seterusnya mencapai kemerdekaan.[9]

3.0        BARISAN NASIONAL
Barisan Nasional dibentuk secara rasminya pada tanggal 1 Julai 1974 dan dianggotai oleh UMNO, MCA MIC, PAS (Parti Islam Se-Tanah Melayu)[10], PPP (Parti Progresif Rakyat), GERAKAN, SUPP (Parti Bersatu Rakyat Sarawak), USNO (Parti Kebangsaan Sabah Bersatu), BERJAYA (Parti Berjaya), PBDS (Parti Bangsa Dayak Sarawak) dan SNAP (Parti Kebangsaan Sarawak). Tun Abdul Razak merupakan tokoh yang telah memainkan peranan penting semasa zaman pemerintahannya dalam penubuhan BN bagi menggantikan PERIKATAN.[11] Tujuan Tun Abdul Razak menubuhkan BN ialah untuk mengelakkan persaingan politik yang keterlaluan dan cuba mewujudkan perpaduan kebangsaan akibat daripada berlakunya ‘Peristiwa 13 Mei’.[12] Satu perubahan ketara yang dibawa oleh Tun Abdul Razak ialah memperluaskan keanggotaan di dalam Parti Perikatan sehingga merangkumi sepuluh parti-parti politik yang lain dan ia dinamakan sebagai Barisan Nasional.
          Barisan Nasional (BN) merupakan merupakan parti utama dalam sistem politik negara Malaysia dan kewujudan parti ini telah dilambangkan melalui simbol ‘dacing’ yang membawa maksud untuk menguatkan dan stabilkan situasi politik serta mengeratkan lagi hubungan pelbagai kaum di Malaysia. Ia juga parti kompenan kerajaan yang dianggotai oleh 3 buah parti penting iaitu UMNO, MCA dan MIC serta Parti Gerakan dan beberapa buah parti kompenan lain dari Sabah serta Sarawak.
Terdapat 14 parti-parti komponen BN setakat pilihanraya 2008 hingga kini seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India SE-Malaysia (MIC), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).[13]
4.0        BARISAN NASIONAL MENJAMIN KESTABILAN POLITIK DAN KEMAJUAN EKONOMI NEGARA

Kestabilan Politik
Selepas berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, semasa di bawah Perikatan telah membawa kepada kesedaran bahawa kekacauan politik,kesedaran yang rendah terhadap kepentingan kenegaraan berbanding perkauman,tiada keseimbangan ekonomi dan ketidaksamarataan sosial boleh mengakibatkan kekacauan dan pergolakan dalam masyarakat berbilang kaum. Namun setelah hampir 41 tahun peristiwa berdarah itu terjadi, kerajaan Barisan Nasional dilihat berjaya menstabilkan keadaan politik negara kerana selepas peristiwa tersebut berlaku, belum ada lagi peristiwa sedemikian rupa kembali mengegarkan suasana politik di negara ini. Ini menunjukkan bahawa gabungan parti-parti politik yang lebih besar membentuk Barisan Nasional dan seterusnya kerajaan berjaya menjamin kestabilan politik negara berbanding kerajaan PERIKATAN sebelum ini. Ini kerana dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional itu sendiri yang sebenarnya sedaya upaya cuba berusaha untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat agar peristiwa tersebut tidak berulang.
Selain daripada itu, hujah yang dapat membuktikan Barisan Nasional berjaya menstabilkan politik negara adalah melalui masalah perbalahan dan konflik politik yang berlaku di Sabah dan Sarawak. Selepas penubuhan Barisan Nasional di kedua-dua negeri terbabit, tidak lagi berlakunya perbalahan antara parti-parti politik di negeri-negeri terbabit terutamanya di Sabah di mana sebelum ini kerap berlakunya perbalahan politik sehingga menyebabkan parti-parti politik yang memerintah di negeri terbabit kerap bertukar dan keadaan tegang sering menyelebungi suasana politik di negeri terbabit. Selain itu, keadaan tegang antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri juga turut berlaku berkaitan dengan dasar-dasar pemerintahan hingga mewujudkan hubungan yang tegang antara kedua-dua pihak pada waktu-waktu tertentu.
Bermula dari tahun tersebut sehingga kini, pemerintahan kerajaan negeri adalah di bawah Barisan Nasional dengan parti-parti komponen yang berada di bawah Barisan Nasional adalah semakin bertambah dan dalam masa yang sama hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan adalah lebih baik dan harmonis serta tidak ada lagi perbalahan antara parti-parti politik di negeri tersebut. Keadaan politik yang lebih stabil di negeri Sabah ini sebenarnya membantu kepada memacu pembangunan ekonomi negeri ini lebih maju ke hadapan.Barisan Nasional berjaya menstabilkan keadaan politik negara adalah kerana melalui peranan yang dimainkannya sebagai sebuah medium dalam menyelesaikan masalah atau mendengar sebarang pandangan daripada setiap kaum atau etnik dengan berkesan. Kewujudan Barisan Nasional hasil daripada gabungan parti-parti politik yang besar di Malaysia berbanding PERIKATAN sebelum itu sebenarnya merupakan medium terbaik untuk semua kaum di Malaysia untuk menyalurkan sebarang pandangan atau permintaan melalui parti-parti politik yang mewakili mereka dalam gabungan Barisan Nasional. Ini kerana sifat Barisan Nasional itu sendiri yang bersifat menyeluruh apabila ia terdiri daripada parti-parti politik yang mewakili kebanyakkan kaum atau etnik yang terdapat di Malaysia.

Kemajuan Ekonomi
Perkembangan dan kemajuan ekonomi merupakan perkara yang penting demi mewujudkan kestabilan politik dan keamanan masyarakat.Oleh yang demikian,kerajaan Barisan Nasional telah menumpukan terhadap pembangunan ekonomi kerana ianya adalah faktor utama bagi menjamin kemakmuran negara.Hal ini dibuktikan sewaktu berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 yang salah satu sebab utamanya adalah ketidakstabilan dalam ekonomi akibat jurang perbezaan ekonomi yang ketara di antara masyarakat Pribumi iaitu Melayu dengan kaum imigran iaitu Kaum Cina dan India.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memainkan peranan bagi menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta sektor kehidupan.[14] Penggubalan (DEB) ini  digerakkan selama 20 tahun untuk menyusun semula masyarakat serta membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan tahun 1970-an dianggap titik perubahan kepada sejarah negara Malaysia baru. Semangat ini yang terus diperbaharui oleh kerajaan BN melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada tahun 1991 – 2000 di bawah pimpinan Tun Mahathir Mohammad yang akan mengarah kepada kehidupan rakyat yang lebih maju pada tahun 2020. Stratifikasi etnik dapat dikurangkan oleh perubahan ekonomi, setelah kekayaan dan kemakmuran dikongsi bersama serta perbezaan taraf ekonomi tidak lagi merujuk kepada sesuatu kaum atau suku bangsa. Kelas yang wujud dipercayai lebih berupaya memungkinkan moboliti sosial dan interaksi antara kaum akan lebih mudah tercapai. Konflik etnik akan berkurangan, walaupun konflik kelas mungkin ada, tetapi dapat diimbangi oleh peluang yang seimbang.
Dasar Wawasan Negara (DWN) pula berbeza kerana ia menggabungkan teras kritikal dasar pembangunan yang lepas, iaitu Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional dengan objektif utama mencapai perpaduan nasional. Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula masyarakat dan pembangunan yang seimbang masih menjadi strategi utama dalam dasar ini. DWN juga berpandu kepada cabaran strategik Wawasan 2020 yang menyediakan hala tuju kepada Malaysia untuk menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020. Antara strategi perlaksanaannya adalah meningkatkan FDI dan pelaburan tempatan; mengukuhkan P&P dan S&T; menaik taraf infrastruktur ICT (untuk mengalakkan ekonomi berasaskan pengetahuan); Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT); dan lain-lain program pembasmian kemiskinan yang akan diperkukuhkan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).
Dasar Persyarikatan Malaysia pula berobjektif untuk mewujudkan satu kerjasama yang erat dan berkesan di antara pihak sektor awam dengan pihak swasta dalam menjayakan pembangunan negara. Strategi perlaksanaan pula ialah semua Kementerian, Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun dan Pejabat Daerah diarahkan supaya menubuhkan Jawatankuasa Perundingan di antara pihak swasta dan pihak awam. Selain daripada itu, beberapa program-program lain juga telah dijalankan seperti menempatkan pegawai-pegawai kerajaan di syarikat-syarikat swasta. Sebagai permulaannya, seramai 18 orang pegawai telah ditempatkan di British Malaysian Industry and Trade Association (BMITA) mulai tahun 1984 dengan tujuan membolehkan pegawai-pegawai itu mempelajari selok belok pengurusan sektor swasta terutamanya di bidang perniagaan, perdagangan dan industri.
Dasar Penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Mohamad ini berobjektifkan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja,  menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pengagihan sumber secara cekap. Antara strategi perlaksanaannya adalah melalui penjualan aset atau ekuiti,  pajakan dan kontrak pengurusan. Sehingga akhir 1999, sebanyak 202 projek dan entiti telah berjaya di swastakan atau di korporatkan yang terdiri daripada 104 projek baru dan 98 projek sedia ada. Daripada jumlah tersebut, 184 projek telah diswastakan manakala 18 entiti dikorporatkan. Projek dan entiti ini terdiri daripada syarikat-syarikat kerajaan, agensi-agensi kerajaan, pembangunan tanah, projek-projek baru seperti lebuh raya dan stesyen televisyen.
Dasar Perindustrian Negara (DPN) pula berobjektif untuk menjadikan sektor perkilangan sebagai pemangkin pertumbuhan perindustrian negara, menggalakkan penggunaan sepenuhnya sumber-sumber asli negara, meninggikan tahap penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian. Antara strategi perlaksanaannya adalah dengan menumpukan kepada pengeksportan keluaran-keluaran perkilangan secara besar-besaran dan hasilnya ia telah menggalakkan pelaburan swasta terutamanya pelaburan asing ke dalam negara.

5.0        FAKTOR BARISAN NASIONAL BERJAYA MENJAMIN KESTABILAN POLITIK DAN KEMAJUAN EKONOMI NEGARA
Kejayaan Barisan Nasional dalam memainkan peranan dalam menjamin kestabilan politik dan kemajuan ekonomi Malaysia memang sudah tidak boleh disangkal lagi dengan pelbagai usaha yang telah dijalankan sepanjang pemerintahannya.Kejayaan yang dikecapi oleh Kerajaan Barisan Nasional ini adalah berdasarkan beberapa faktor yang telah memainkan peranan penting bagi mencapai misi kestabilan politik dan kemajuan ekonomi Malaysia.

Faktor Kepimpinan
Faktor kepimpinan adalah faktor yang paling utama dalam menjamin kejayaan Barisan Nasional dalam menjamin kestabilan politik dan kemajuan ekonomi.Sememangnya diakui bahawa ketua pemimpin negara adalah insane yang telah berjaya membawa negara ke atas landasan yang tepat dalam menuju kemajuan dan keamanan.Setiap pemimpin yang bermula semenjak pentadbiran Tunku Abdul Rahman sehinggalah kini di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak.Antara pemimpin-pemimpin ini,Tun Mahathir bolehlah dikatakan sebagai pemimpin yang paling berjaya dalam memacu perjalanan negara.
Tun Mahathir dalam memimpin negara suatu masa dulu adalah sesuatu yang akan terus menjadi bahan perbincangan dan kajian serta diperkatakan dalam sejarah negara. Memandangkan bentuk kepimpinan yang dipamerkan oleh beliau bukan sahaja berbeza dari pemimpin-pemimpin yang lalu tetapi juga sukar untuk difahami oleh kebanyakan rakyat. beliau bukan sahaja muncul sebagai seorang pemimpin yang cukup bersedia tetapi juga seorang pemimpin yang memang mempunyai cita-cita untuk berkuasa. Dasar kepemimpinannya sering menekankan betapa pembangunan sesebuah negara bergantung kepada kekuatan, kekukuhan dan kemantapan institusi politik yang didokong oleh negara itu.[15] Sebagaimana Malaysia yang telah merdeka selama hampir 53 tahun yang telah dipimpin oleh sebuah institusi politik utama iaitu UMNO dan Barisan Nasional. Oleh itu boleh dikatakan bahawa era pemerintahan beliau telah membawa negara ke satu tahap pembangunan yang boleh dibanggakan seperti kewujudan MSC, KLIA, Proton dan Putrajaya sehingga Malaysia dikenali hampir di seluruh dunia disebabkan peningkatannya dalam bidang ekonomi.
Ada pandangan yang menyatakan bahawa kekuatan pemerintahan BN ialah kerana kepimpinan dan ketokohan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Walaupun ini merupakan satu faktor, mungkin lebih tepat jika dikatakan asas kekuatan tersebut sebenarnya terletak kepada keadaan ekonomi negara.[16] Kesan krisis ekonomi dan kewangan yang melanda dunia pada pertengahan tahun 1997 yang lalu ke atas negara ini tidaklah seburuk akibatnya seperti mana yang berlaku ke atas beberapa buah negara jiran kita. Keengganan beliau untuk menerima Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyelamatkan Malaysia dalam krisis kewangan tersebut seperti mana negara-negara jiran yang lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan lain-lain telah menyelamatkan negara daripada menanggung beban hutang yang tinggi dalam masa yang panjang. Semua ini adalah kerana idea-idea dalam merangka dasar-dasar kerajaan sebagai langkah menangani krisis ekonomi yang berlaku ketika itu serta cuba sedaya upaya meminimumkan kesannya ke atas Malaysia.

Faktor Gabungan dan Perkongsian Kuasa
Faktor perkongsian kuasa antara komponen parti-parti politik dalam Barisan Nasional juga sebenarnya telah membantu kekuatan untuk terus dapat bertahan sehingga kini. Formula politik perkongsian kuasa yang diamalkan oleh Barisan Nasional ini telah dapat menangani ketegangan politik yang berlaku dan seterusnya dapat membantu menstabilkan keadaan politik negara. Perkongsian kuasa ini menjadi alat kepada pengurusan konflik yang baik di Malaysia dan ia diakui adalah antara paling berjaya dikalangan negara dunia ketiga. Perkongsian kuasa dalam gabungan Barisan Nasional di antara parti-parti politik berasaskan etnik seperti di Malaysia merupakan pilihan yang terbaik.[17] Ia penting kerana penduduk negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang mahu mengekalkan kepentingan kaum masing-masing. Jika terdapat sebarang masalah berbangkit dalam kerajaan Barisan Nasional, formula perkongsian kuasa ini digunakan melalui perundingan serta tolak ansur. Cara perundingan ini dapat menjamin dari wujud rasa ketidakpuasan hati dikalangan parti-parti komponen ini.
          Faktor gabungan yang mantap juga sebenarnya telah membantu kepada kekuatan BN sehingga dapat bertahan sehingga kini kerana ia terdiri daripada parti-parti kompenan yang besar di dalamnya dan melibatkan banyak parti-parti politik utama di Malaysia. Parti-parti politik yang bergabung dalam Barisan Nasional ini terdiri daripada parti-parti politik yang berasaskan kaum atau etnik tertentu dan mereka ini bergabung membentuk kerajaan. Selain itu juga, dalam masa yang sama adalah mudah untuk setiap kaum untuk menyalurkan permintaan mereka. Natijahnya, menyebabkan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional dan seterusnya Barisan Nasional itu sendiri dapat bertahan sehingga kini. Di Malaysia parti politik yang tidak jelas perjuangannya adalah sukar untuk diterima oleh rakyat.

6.0        PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN
Sesungguhnya, Barisan Nasional telah berjaya menstabilkan keadaan politik negara melalui peranan yang dimainkannya sebagai sebuah medium dalam menyelesaikan masalah atau mendengar sebarang pandangan daripada setiap kaum atau etnik dengan berkesan. Kewujudan BN hasil daripada gabungan parti-parti politik yang besar di Malaysia berbanding PERIKATAN sebelum itu sebenarnya merupakan medium terbaik untuk semua kaum di Malaysia untuk menyalurkan sebarang pandangan atau permintaan melalui parti-parti politik yang mewakili mereka dalam gabungan BN. Ini kerana sifat BN itu sendiri yang bersifat menyeluruh apabila ia terdiri daripada parti-parti politik yang mewakili kebanyakkan kaum atau etnik yang terdapat di Malaysia. Keadaan ini membolehkan parti-parti politik yang ada dalam gabungan BN memperjuangkan hak atau kedudukan setiap kaum yang mereka wakili dengan lebih berkesan kerana kedudukan parti mereka dalam satu barisan yang sama dengan lain di bawah payung kerajaan.
Oleh itu agak mudah bagi setiap kaum untuk menyalurkan sebarang pandangan berkaitan pemerintahan negara dan juga berkaitan permintaan mereka melalui parti-parti yang mewakili mereka tanpa perlu mereka melakukan sebarang bentuk protes seperti tunjuk perasaan, hartal atau lain-lain. Selain itu, mereka juga tidak perlu melakukan semua ini bagi menunjukkan atau meluahkan rasa ketidakpuasan hati kepada kerajaan berkaitan pemerintahan negara kerana mereka boleh terus menggunakan saluran melalui parti-parti yang mewakili mereka untuk disampaikan terus kepada kerajaan. Ini sebenarnya dapat membendung keadaan huru-hara dan menjamin kestabilan politik dalam negara apabila BN yang terdiri daripada banyak parti-parti politik dengan mewakili setiap kaum di Malaysia sebenarnya dapat dijadikan medium untuk setiap kaum menyalurkan pandangan atau permintaan terus kepada kerajaan melalui parti-parti yang mewakili mereka.
Walaupun ada waktunya Barisan Nasional mengalami kegoyahan seperti berlakunya perpecahan dalaman oleh salah satu parti komponen utamanya iaitu UMNO pada tahun 1987. Perpecahan UMNO ini telah memberi impak kepada BN apabila ia telah mengugat kedudukan BN sebagai parti utama yang memerintah ketika itu kerana wujudnya sebuah Gagasan Rakyat yang telah ditubuhkan untuk menentang pemerintahan kerajaan BN.[18] Tidak dilupakan apabila Barisan Nasional sekali lagi diuji dengan isu pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999 daripada kabinet dan UMNO atas alasan salah laku moral. Kes pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ini mendapat liputan luas oleh media di seluruh dunia kerana ia dianggap satu bentuk konspirasi untuk menjatuhkan beliau serta karier politiknya dan semua ini dikatakan didalangi oleh kerajaan BN sendiri ketika itu terutamanya melibatkan mantan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.Peristiwa ini telah memberi ruang yang besar kepada pakatan pembangkang ketika itu iaitu Barisan Alternatif (BA) meraih undi.Masalah dan dugaan terus melanda Barisan Nasional semasa Pilihanraya Umum ke-12 (PRU-12) apabila kehilangan 5 buah negeri kepada pembangkang iaitu Pakatan Rakyat (PR) yang dikatakan berpunca daripada kelemahan kepimpinan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.
Namun demikian,segala cabaran dan kegoyahan dalam Barisan Nasional ini masih dapat dikawal dan diurus dengan baik demi menjamin kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara.Hasil pimpinan kerajaan Barisan Nasional ini juga telah memberikan kehidupan yang aman dan tenteram dalam kalangan masyarakat yang berbilang di negara ini dan peristiwa 13 Mei 1969 masih dapat dielakkan hasil kebijaksanaan dan sikap tolenrasi yang sentiasa diamalkan dalam Barisan Nasional.Namun,Barisan Nasional harus mencari inisiatif bagi menjamn keamanan ini akan terus berkekalan pada masa hadapan kerana hingga saat ini semakin banyak anasir-anasir yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik dan perkembangan ekonomi negara.

7.0        BIBLIOGRAFI
A. Aziz Deraman. 2001. Masyarakat Dan Kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Ahmad Atory Hussain. 1998. Dari Berantakan Menuju Pembangunan Politk Melayu
1990-2000.Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia. 2007. Malaysia Kita. Petaling Jaya: International
Law Book Services.
S. Husin Ali. 2004. Merdeka, Rakyat Dan Keadilan. Petaling Jaya: Strategic Information
Research Development (SIRD).
Vejai Balasubramaniam. 1998. Politik Nasionalisme Dan Federalisme Di Malaysia. Shah
Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.
Zainal Abidin Abdul Wahid. 1996. Malaysia: Warisan Dan Perkembangan (Edisi Kedua).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.


[1] Nazaruddin Hj. Mohd Jali et.al., Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua,
            Petaling Jaya: Prentice Hall, 2000, hlm. 48.
[2]  Diane K. Mauzy, Barisan Nasional: Coalition Government In Malaysia, Kuala Lumpur: Marican &
Sons, 1983, hlm. 30.
[3]  Mohd Ashraf Ibrahim, Gagasan Bangsa Malayan yang Bersatu 1945-57, Bangi: UKM, 2004, hlm. 153.
[4]  Ibid, hlm. 154.
[5]  Anggota Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Malaysia Kita, Petaling Jaya: International Law Book Services,
            2007, hlm. 110.
[6]  Diane K. Mauzy, Barisan Nasional: Coalition Government In Malaysia, hlm. 16.
[7] Mohd Ashraf Ibrahim, Op.Cit, hlm. 162.
[8] Antara parti-parti yang digabungkan bagi membentuk Parti Perikatan Sabah ialah Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Pasok Momogun, Persatuan Cina Sabah (SCA) dan Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO).  Parti Perikatan juga wujud di negeri Sarawak dan pada mulanya ia hanya terdiri daripada gabungan lima buah parti politik Sarawak iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA), Parti Negara Sarawak (PANAS), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dan Persatuan Cina Sarawak (SCA).
[9]  Haji Tajuddin Bin Haji Hussein, Malaysia Negara Kita, Kuala Lumpur: MDC Publishers Sdn. Bhd., 2009, hlm.
            267.
[10]  PAS memilih untuk keluar daripada gabungan BN pada Pilihan Raya Umum 1978 kerana parti tersebut ingin bertanding sebagai pihak pembangkang disebabkan beberapa faktor tertentu yang berlaku ketika itu.
[11]  Diane K. Mauzy, Barisan Nasional: Coalition Government In Malaysia, hlm. 40.
[12]  Zainal Abidin Abdul Wahid, Malaysia: Warisan Dan Perkembangan (Edisi Kedua), hlm. 396.
[13]  , Haji Tajuddin Bin Haji Hussein, Malaysia Negara Kita, hlm. 405.
[14]  A. Aziz Deraman, Tamadun Melayu Dan Pembinaan Bangsa Malaysia, hlm. 146.
[15]  Ibid. Aziz Zariza Ahmad, Dr. Mahathir Mohamad: Fasa Kedua, Selangor: Firma Malaysia Publishing,
1988,hlm.1.
[16]  S. Husin Ali, Merdeka, Rakyat Dan Keadilan, hlm. 37.
[17]   Jayum A. Jawan, Iban Politic And Economic Development: Their Patterns And Change, Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia, 1994, hlm. 45.
[18]  S. Husin Ali, Merdeka, Rakyat Dan Keadilan, hlm. 53.

A/J: Semoga tulisan ini dapat memberi maklumat dan ilmu kepada kita mengenai peranan yang telah dimainkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh UMNO.