Bismillahirahmannirohhim
(Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah)

Sunday 28 April 2013

NAZISME


IDEOLOGI NAZISME

1.0 PENDAHULUAN

Nazisme atau secara rasminya National Sosialisme adalah merujuk kepada sebuah ideologi Parti Nazi ( Parti Pekerja Nasional-Sosialis Jerman),juga dikenali sebagai Nationalsoziaolistiscme Deutsche Arbeiterpartei (NSDAP) di bawah pimpinan Adolf Hitler.Parti ini telah ditubuhkan oleh kumpulan kecil di Munich.[1] Parti yang bermula dengan nama Parti Pekerja Jerman ini ditubuhkan pada tanggal 5 Januari 1919 oleh Anton Drexler. Hitler kemudiannya bergabung dengan parti kecil ini pada September 1919 dan telah menjadi pemimpin propaganda.Hitler juga telah mengubah nama parti ini pada 1 April 1920 dan telah menjadi pemimpin parti pada 29 Julai 1921.
         Nazisme bukanlah sebuah ideologi yang baru,melainkan sebuah kombinasi dari berbagai ideologi dan kelompok-kelompok yang memiliki persamaan pendapat tentang penentangan Perjanjian Versailes serta kebencian terhadap Yahudi dan Komunis yang dipercayai berada di sebalik perjanjian tersebut.
         Mengapakah Adolf Hitler berusaha menubuhkan Parti Nazi dan menyebarkan ideologi Nazisme?Bagi hitler,negara Jerman adalah di atas segala negara.Ianya adalah bermaksud bangsa Jerman yang terdiri daripada bangsa Aryan adalah bangsa yang paling unggul dan paling mulia di muka bumi.Tentera-tentera Jerman adalah tentera yang paling unggul dan tiada bandingannya.Bangsa Jerman adalah yang paling mulia dan mempunyai kewajipan untuk memimpin dunia serta membenteras penyakit-penyakit masyarakat dan membentuk tatakehidupan yang lebih terhormat,bertamadun dan bermartabat.[2] Motto yang digunakan oleh Hitler ialah “One People,one Reich,one Leader”.


2.0 ISI

2.1 LAMBANG NAZI : SWASTIKA

Lambang yang digunakan oleh Hitler untuk melambangkan parti Nazi ialah Swastika.Swastika berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu svastika.Lambang Swastika adalah berbentuk palang salib sama sisi yang berbentuk seperti lengan yang membengkok ke sebelah kanan.
         Lambang Swastika ini,menurut ahli-ahli arkeologi dipercayai telah digunakan sejak zaman neolitik lagi yang telah dijumpai di lembah Sungai Indus.Lambang Swastika telah digunakan secara meluas meliputi agama-agama Dharma seperti Hinduisme,Buddhisme dan Jainisme.Namun demikian,lambang Swastika ini telah dicela di Barat kerana ianya digunakan oleh pihak Nazi Jerman untuk menggambarkan simbol Nazisme.
         Lambang Swastika telah dipilih oleh Adolf Hitler untuk bendera Nazi dengan menggabungkannya dengan warna-warna yang menyanjung serta menghormati kegemilangan masa lalu Jerman.Warna merah,putih dan hitam dipilih bagi menyamai warna yang sama dengan warna bendera empayar Jerman yang lama.Merah melambangkan pergerakan idea sosialisme,putih pula menggambarkan idea nationalisme.
         Mengapakah Adolf Hitler memilih swastika sebagai lambang pada bendera Nazi? Hal ini adalah kerana Hitler menganggap bahawa kaum Aryan adalah keturunan orang-orang Jerman dan beliau dipandu berdasarkan orang Aryan di India.Swastika juga menggambarkan matlamat yang kuat untuk mencapai kegemilangan kaum Aryan selain daripada kemenangan melaui kerja-kerja yang berdaya cipta serta simbol kepada pembinaan hidup dan lambing bangsa Jerman.



2.2 TOKOH NAZISME

2.2.1 ADOLF HITLER.

Adolf Hitler dilahirkan pada 20 April 1889 di Braunau am Inn,Austria dari sebuah keluarga yang sederhana dan merupakan anak keempat daripada enam beradik.Bapa beliau bernama Alois Hitler,merupakan seorang pegawai di pejabat cukai.Manakala ibunya iaitu Klara Polzl merupakan isteri ketiga bapanya.Hitler dikatakan sebagai anak luar nikah.Di zaman persekolahannya,beliau bukanlah seorang pelajar yang cerdas dan ketika berusia 16 tahun,beliau telah berhenti dari persekolahan.Beliau pernah berhasrat untuk memasuki Academy of Arts di Vienna,namun ianya tidak kesampaian apabila permohonannya telah ditolak.Selama beberapa lama,beliau telah bekerja sebagai seorang pelukis papan iklan di Kota Vienna.
         Semasa berlangsungnya perang dunia pertama pada 1914,Hitler telah menyertai perang sebagai penghantar surat dan keberaniannya membolehkan beliau dikurniakan “Iron Cross”. Kemudiannya,Hitler telah menyertai tentera Jerman dalam tahun 1914 di mana beliau telah mendapat pangkat Koperal.Sikap anti-Yahudi mula tumbuh di Vienna,satu pendirian yang cukup ketara dalam kalangan masyarakat  Austria ketika itu.Hitler terpengaruh dengan tulisan oleh Lanz von Liebenfels dan polemik politik,Karl Lueger,Datuk Bandar Vienna dan George Ritter von Schonerer,pemimpin parti pan-Jerman.Hitler percaya dengan kehebatan bangsa Aryan yang menjadi asas kepada kepercayaan politiknya.Hitler juga menganggap kaum Yahudi sebagai musuh utama kaum Aryan dan telah bertanggungjawab menyebabkan masalah ekonomi Jerman.Hitler telah menjadi Canselor Jerman pada 30 Januari 1933.
         Pengakhiran riwayat hidup Hitler adalah sangat tragis.Semasa perang dunia kedua,Hitler menyedari kekalahan Jerman dalam perang tersebut yang menghadapi empat kuasa besar iaitu Britain,Amerika Syarikat,Perancis dan Rusia yang dikenali juga sebagai pihak Berikat.Hitler telah mengambil keputusan membunuh diri dengan mengambil racun bersama-sama kekasihnya iaitu Eva Braun pada 30 April 1945 bersamaan dengan 56 tahun umur Hitler.Akibatnya,Jerman telah mengaku kalah kepada pihak Berikat pada 7 Mei 1945.

2.3 HITLER DAN NAZI.

Selepas Perang Dunia Pertama tamat,Hitler telah terlibat dalam bidang politik.Beliau telah menyertai National Sosialist German Workers Party ataupun Parti Sosialis Nasional yang juga dikenali sebagai Nazi.Beliau menyertai politik adalah untuk membuktikan kepada pegawai- pegawai yang pernah memperlekehkan beliau dengan menuduh beliau tidak mempunyai daya kepimpinan.
         Hitler telah berjaya membuktikan kepada ramai bahawa dia mempunyai kebolehan berpidato telah menarik ramai penyokong fanatik lelaki dan perempuan.Kebolehan beliau berorator,serangan bersifat anti-Yahudi,sosialis,kapitalis dan liberal dalam setiap ceramahnya telah menarik perhatian ramai.Pengaruh Hitler dikukuhkan lagi apabila turut disokong oleh ahli-ahli perniagaan.

2.4 SEBAB-SEBAB KEBANGKITAN NAZI.

Terdapat beberapa faktor yang telah membantu kebangkitan Nazi di Jerman.Antara sebab bagaimana pengaruh Nazi semakin kuat di Jerman ialah apabila penyokong-penyokong Nazi telah berjaya menggunakan sepenuhnya peluang yang ada akibat daripada kesengsaraan rakyat Jerman untuk mencapai matlamatnya sendiri.[3]
         Kegiatan-kegiatan mereka telah mendapat sokongan kuat sebahagian rakyat Jerman.Sebahagian besar rakyat yang menyokong pergerakan Nazi adalah mereka yang berada pada kelas pertengahan seperti orang-orang professional,saudagar,pegawai kerajaan dan pekerja-pekerja makan gaji yang mengalami kemusnahan akibat daripada penurunan nilai mata wang Jerman pada tahun 1923 dan sekali lagi pada tahun 1931.Mereka yang berada pada kelas pertengahan dengan mudahnya dipengaruhi oleh janji-janji pihak Nazi untuk memulihkan semula negara Jerman dan memperbaiki keadaan yang akan dapat diwujudkan dengan menolak syarat-syarat Persetiaan Versailles,pembayaran ganti rugi dan mengabdikan orang-orang asing.
         Kelas pertengahan ini juga dapat dipengaruhi oleh pihak Nazi kerana penentangan mereka terhadap Komunisme.Mereka memerangi Komunisme kerana Komunisme bermakna kediktaktoran kelas pekerja,tamatnya kapitalisme dan banyak lagi hak untuk memiliki tanah dan harta benda.Nazi yang diketuai oleh Hitler juga berjaya menarik sesetengah penganggur yang mendapati satu tujuan bahawa dalam kehidupan mereka dan disiplin dalam perbarisan-perbarisan dengan memakai pakaian seragam perbarisan di bawah bendera Swastika iaitu dengan menyertai angkatan Tentera Nazi.
         Kapitalis-kapitalis besar Jerman juga mempercayai bahawa Hitler akan memberikan perlindungan kepada kepentingan mereka daripada idelogi komunisme dan sosialisme.[4] Selain itu,ramai di antara ketua-ketua tentera sungguh bersimpati dengan tuntutan-tuntutan Hitler untuk mempersenjatai semula negara Jerman dan menghapuskan Persetiaan Versailles.Pada awalnya,ketua-ketua tentera beranggapan bahawa pihak tentera akan dapat mengawal Hitler,tetapi sebenarnya tidak lama kemudian Parti Nazi telah berkuasa sepenuhnya ke atas angkatan tentera.Harus diingat bahawa Hitler adalah seorang ahli pidato yang sangat pintar dalam kurun ke 20.Beliau telah berjaya untuk membangkitkan kegelisahan dan membangkitkan semangat kebangsaan semua orang untuk faedah Hitler sendiri.[5]

  
2.5 IDEOLOGI NAZI.

2.5.1 DASAR DALAM NEGERI NAZI.
Idea Hitler yang utama dalam ideologi Nazi ialah faktor bangsa dan kebangsaan dalam orde sosial manusia.Bagi Hitler,bangsa Jerman adalah bangsa yang paling hebat,pengasas kepada semua dan merupakan bangsa yang terbaik dalam tamadun manusia,pencipta institusi politik dan sosial yang stabil dan merupakan penghasil terbaik kebudayaan di dunia.
         Bagi Hitler,Jerman merupakan satu-satunya bangsa yang mampu untuk terus kekal bagi menghadapi segala persaingan yang cukup sengit bagi mendapatkan sumber makanan dan bahanmentah yang terhad.Bagi melindungi keaslian dan keunikan bangsa Jerman,Hitler telah mengarahkan penghapusan semua bangsa terutamanya bangsa Yahudi.Selain itu,penghapusan bangsa juga turut dilakukan kepada kaum Gipsi,Slav malah sesiapa sahaja yang dianggap mengancam kualiti ras Jerman.
         Secara umumnya,dalam semua pilihan raya yang telah diadakan,ideologi yang telah menjadi pegangan Nazi ialah Sosialisme Nasional.Secara teorinya,istilah Sosialisme Nasionalisme adalah sesuatu yang melibatkan unsur yang saling bercanggah,iaitu seperti bercanggahnya konsep “sosialisme dalam satu negara” yang dipelopori oleh Stalin.[6] Sosialisme pada dasarnya adalah suatu ideologi yang tidak boleh dan tidak patut dimanfaatkan dalam batasan atau sempadan sesuatu negara sahaja.Tetapi di Jerman,unsure-unsur antarabangsa bukanlah sesuatu yang menarik minat rakyat pada ketika itu.Mereka menganggap bahawa segala unsur-unsur atau pergerakan antarabangsa adalah komplot yang merencanakan dan mengendalikan kegiatan anti-Jerman.Bolshevisme,kapitalisme,pergerakan Yahudi dan Liga Bangsa-Bangsa semuanya dilihat sebagai pakatan antarabangsa yang memusuhi Jerman.
         Walaupun Nazi antifahaman Bolshevik dan sosialisme antarabangsa,Nazi secara teorinya juga memperjuangkan prinsip sosialis yang menguntungkan dan menarik minat pengikutnya.Hal ini telah dijelaskan oleh Hitler pada program parti yang diadakan pada 24 Februari 1920.Program yang juga dikenali sebagai Dua Puluh Lima Perkara telah memuatkan unsur nasionalis yang radikal,sikap anti-Yahudi dan prinsip sosialis.
         Antara dasar sosialis yang telah diutarakan oleh Hitler dalam Dua Puluh Lima Perkara ialah penghapusan upah yang tidak dihasilkan daripada kerja,pengharaman faedah,pemiliknegaraan perusahaan dan tanah serta larangan terhadap spekulasi tanah.Perkara ini seolah-olah sangat radikal dan memang ada golongan yang betul-betul menjiwai sosialisme kiri.

2.5.1.1 Gerakan anti-Yahudi.
Gerakan ini telah dijalankan pada tahun 1933 dengan tindakan pemulauan perniagaan dan perkhidmatan yang disediakan oleh orang-orang Yahudi.Penyingkiran mereka dalam perkhidmatan awam turut berlaku jika waris-waris mereka berbangsa Yahudi.Keadaan bertambah buruk apabila badan-badan professional seperti doktor,peguam dan lain-lain turut disingkirkan jika berketurunan Yahudi.Kerahan tentera telah dijalankan oleh Hitler bagi menyingkirkan golongan Yahudi.
         Lebih menyedihkan lagi,orang Yahudi telah kehilangan status mereka sebagai warganegara Jerman dengan adanya Akta Kewarganegaraan Reich dan Akta bagi Melindungi Darah dan Maruah Jerman pada 1935.Perkahwinan antara bangsa Yahudi dengan bangsa Aryan juga diharamkan sama sekali.
         Kesannya,ramai orang-orang Yahudi telah berhijrah keluar dari Jerman dan negara Palestin telah menjadi tumpuan.Selain itu,Amerika Syarikat dan Britain turut menjadi tumpuan.Ramai saintis-saintis dan bijak pandai telah mengambil peluang mengukuhkan kedudukan yahudi di tempat-tempat baru termasuklah saintis terkenal seperti Einstein.

2.5.1.2 Ekonomi
Semasa pemerintahan Nazi di Jerman,telah berlaku perkembangan yang pesat dalam industri pengeluaran.Dalam tempoh ini juga,kadar pengangguran telah menurun sebanyak 30 peratus kerana kerajaan Nazi telah menawarkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada penduduk Jerman melalui aktiviti pengeluaran senjata.
         Polisi ekonomi pada pemerintahan Hitler telah dicipta oleh Hjalmar Schcht ketika menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1933.Dasar yang telah dikatkuasakan oleh pihak Nazi ialah wanita diarahkan supaya tidak bekerja dan tinggal di rumah.Kaum wanita hanya bertanggungjawab menjaga rumah, memelihara anak-anak dan juga gereja.Semua pekerjaan hanya melibatkan suami sahaja.Seterusnya,kadar faedah telah dikurangkan dan bajet kerajaan turut dikurangkan.Projek-projek awam yang bersaiz raksasa juga turut dikurangkan bajetnya.
         Pada 1937,Hjalmar Schcht diganti oleh Herman Goering.Goering telah memperkenalkan Rancangan Empat Tahun dengan idea utama rancangan ini adalah untuk memastikan tempoh peperangan yang melibatkan Jerman hanya dalam tempoh empat tahun.Selain itu,barangan yang diimport dari luar akan dikritik dan dilarang untuk digunakan rakyat Jerman.Gaji dan harga barangan juga sering dipantau untuk mengelakkan harga yang menyusahkan rakyat. Pembangunan tanaman getah sintetik,kilang-kilang besi dan kilang tekstil automatik turut ditumpukan.Undang-undang buruh juga turut diperkenalkan pada tahun 1935.
         Sumbangan yang dapat dikesan semasa pemerintahan Nazi adalah di dalam bidang otomotif.Hitler telah member inisiatif agar membuat kenderaan-kenderaan berkos rendah yang mampu untuk dimiliki oleh semua rakyat Jerman.Oleh itu,terciptalah Volkswagen(VW) yang pernah diguna pakai di seluruh dunia.

2.5.1.3 Holocaust.
Antara tahun 1939 hingga 1945,Schutz Staffel (SS) dengan dibantu oleh pihak kerajaan serta rekrut daripada negara-negara yang ditakluki secara sistematik telah membunuh sekurang-kurangnya 11 juta orang dengan sebahagian besar yang dibunuh adalah kaum Yahudi.[7]
         Antara taktik-taktik yang digunakan oleh pihak Nazi untuk melakukan pembunuhan adalah dengan menggunakan gas beracun,dibiarkan mati kebuluran,penyakit berjangkit ketika dipaksa menjadi buruh dan pembunuhan beramai-ramai.Selain bangsa Yahudi,penduduk Poland yang disyaki sebagai komunis atau pembangkang,golongan homoseksual,golongan Roman Khatolik dan Protestan yang bertelingkah,tahanan perang Soviet,Jehovah,golongan gereja anti-Nazi,pesakit jiwa dan golongan cacat fizikal dan mental yang dikenali sebagai Holocaust.[8]
          Mengapakah Nazi menjalankan Holocaust? Hal ini adalah kerana pemimpin Nazi iaitu Hitler telah terpengaruh dan terikut terhadap konsep Darwin.Menurut konsep Darwin,ukuran tengkorak manusia akan membesar semasa mereka sedang mendaki tangga evolusi.Maka,pada waktu itu seluruh Jerman telah menjalankan pengukuran untuk membuktikan bahawa tengkorak manusia Jerman lebih besar daripada ras-ras lain.Mereka yang mempunyai ukuran tengkorak kurang daripada ukuran rasmi,termasuk ukuran gigi,mata dan rambut akan dibunuh oleh pihak Nazi.

2.5.1.4 Sukan.
Semasa kekuasaan Nazi,pemilihan atlit dilakukan dengan berhati-hati.Pada pihak Nazi,bukan hanya pada kekuatan sahaja yang menjadi ukuran,sebaliknya ciri-ciri yang melambangkan kaum Aryan lebih diutamakan.Dua sukan besar yang pernah melibatkan Nazi Jerman ialah pada tahun 1936 iaitu Summer Olympics dan German Pavillion.Pada 1937,menyertai International Exposition di Paris.
         Hitler seolah-olah tidak mengiktiraf atlit daripada bangsa lain seperti yang dilaporkan oleh Jesse Owen.Menurut laporannya,Hitler tidak mahu bersalam dengan atlit berketurunan Afrika-Amerika semasa penyampaian hadiah.Walhal pada masa itu,semua atlit yang memenangi pertandingan dapat bersalam dengan Hitler kecuali atlit Negro itu.

2.5.1.5 Budaya
Pihak Nazi banyak mencari dan menghimpunkan nilai-nilai tradisional yang terdapat pada waktu pemerintahan Jerman lama.Mereka begitu menjaga ketulenan bangsa,ketenteraan, keberanian, keperwiraan,kekuatan dan ketaatan.
         Budaya-budaya moden seperti kesenian abstrak tidak diiktiraf sebagai budaya Jerman dan tidak disimpan di dalam muzium.Kesenian yang ditulis bukan daripada bangsa Aryan seperti Jewish dan bukan penulis Nazi akan dimusnahkan.Contohnya,karya-karya ini telah dibakar oleh pelajar-pelajar Jerman pada tahun 1933.

2.5.1.6 Pelindungan Haiwan dan Alam Sekitar.
Walaupun banyak memusuhi dan memerangi bangsa dan negara lain,namun tetap wujud undang-undang yang melindungi haiwan dan alam sekitar.Terdapat beberapa unsur untuk melindungi haiwan iaitu wujudnya Animal Protection Law.Ramai pemimpin Nazi termasu Hitler dan Herman Goring menyokong perlindungan haiwan.Heinrich Himmer pula berusaha untuk menghapuskan aktiviti pemburuan binatang.Sehingga kini,akta haiwan yang diguna pakai lebih kurang sama semasa pemerintahan Nazi.
         Bagi pelindungan alam sekitar pula,pihak Nazi telah menguatkuasakan ‘Reich Nature Protection Act’.Di dalam akta ini adanya unsur-unsur pengurusan hutan,perlindungan hutan dan alam sekitar dan mempromosi serta mencegah pencemaran udara.

2.5.1.7 Hak Wanita.
Walaupun Jerman sering menghadapi zaman perang,namun Hitler tetap memberi hak terhadap kaum wanita.Nazi membenarkan kaum wanita mencari semula suami-suami mereka yang pergi berperang.Wanita yang bekerja walaupun berkhidmat dengan pihak Nazi,gaji mereka tidak dinaikkan langsung kerana Hitler lebih menggalakkan kaum wanita duduk di rumah sahaja. Bagi pihak Nazi,dunia wanita hanyalah suami,keluarga,anak-anak dan rumah.
         Rejim Nazi juga tidak memberi galakan kepada wanita untuk mencari peluang pelajaran lebih tinggi sama ada sekolah menengah,kolej ataupun universiti.Oleh sebab itu,dapat diperhatikan semasa kekuasaan Nazi penuntut universiti perempuan telah menurun.Pada tahun1933,pelajar perempuan di universiti adalah seramai 128 000 orang dan telah merosot kepada 51 000 pada tahun 1938.
         Bagi wanita yang melakukan pengguguran janin pula,hukuman yang berat akan dikenakan melainkan atas sebab-sebab kesihatan.Pada tahun 1943,terdapat sebuah akta yang menyatakan,sesiapa yang menggugurkan janin akan dikenakan hukuman mati.

2.5.1.8 Pendidikan
Semasa pemerintahan Nazi,bidang pendidikan turut diutamakan.Pihak Nazi menumpukan matapelajaran biologi keturunan kerana kebanggaan mereka terhadap bangsa Aryan.Selain itu terdapat juga matapelajaran-matapelajaran lain seperti polisi penduduk,budaya, geografi dan yang paling istimewa terdapatnya matapelajaran kecergasan fizikal.
Selain itu,di dalam bidang pendidikan terdapatnya unsur anti-Semitic dengan penyingkiran guru-guru Jewish.Semua professor di universiti perlu menjadi ahli National Sosialist Assocation of University Lectures untuk diambil bekerja menjadi professor.


2.5.2 DASAR LUAR NAZI.
Dasar luar yang diamalkan oleh kerajaan Nazi mempunyai unsur persamaan penting denga  dasar dalam negerinya.Ideologi keunggulan bangsa Jerman atau Aryan dijadikan landasan kepada rancangan dan tindak-tanduknya.Taktik Machiavellian yang digunakan oleh Hitler bagi mencapai matlamat dasar dalam negerinya juga digunakan bagi mencapai matlamat dasar luarnya.
         Dasar luar yang diamalkan oleh Nazi adalah bersifat agresif.Pada permulaannya,Hitler sendiri tidak mampu untuk melaksanakan dasar luar yang agresif kerana masih lagi tidak mempunyai angkatan tentera yang kuat.Hitler telah menandatangani satu perjanjian dengan Poland dan pakatan Jerman-Rusia terus diperbaharui pada 1935.Hitler juga menggunakan kebijakan berpidatonya sebagai senjata untuk melindungi Jerman dengan menggambarkan dirinya sebagai seorang bekas tentera yang amat bencikan peperangan.
         Pencabulan Nazi yang nyata terhadap salah satu peruntukan penting Versailles berlaku apabila Hitler mengumumkan pembentukan Tentera Udara Jerman pada 9 Mac 1935.Seminggu kemudian,beliau memperkenalkan semula dasar kerahan tenaga bagi membentuk satu angkatan tentera yang mempunyai kekuatan anggota seramai 500 000 orang.Kuasa Berikat telah membangkang dasar yang dilakukan oleh Hitler,namun tiada tindakan tegas yang diambil.
Antara dasar-dasar luar yang telah diambil dan melibatkan Jerman ialah seperti Anschluss iaitu dasar Hitler untuk menyatukan Jerman dengan Austria.Hal ini telah melanggar fasal 80 Persetiaan Versailles.
Pihak Nazi Jerman juga telah terlibat dengan krisis di Czechoslovakia iaitu melibatkan tuntutan untuk mendapatkan autonomi kedaerahan warga berbangsa Jerman di Sudetenland. Pihak Nazi telah menyerang ibu kota Czehoslovakia iaitu Parague dan membentuk daerah naungan Bohemia-Moravia.
Krisis di Poland turut melibatkan Jerman.Jerman juga mahu mendapatkan autonomi kedaerahan di Poland kerana terdapatnya golongan minoriti Jerman yang agak besar di sana. Jerman telah menuntut daerah Danzig dari Poland.

3.0 KESIMPULAN.
Penguasaan pihak Nazi di Jerman telah meninggalkan pelbagai kesan sama ada di dalam negara mahupun di seluruh dunia.Pihak Nazi telah memperkenalkan ideologinya yang tersendiri untuk membezakan mereka dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini dengan prinsip utama mereka ialah faktor kebangsaan dan keagungan bangsa Aryan.
         Pandangan saya,walaupun pemerintahan Nazi yang diketuai Hitler digambarkan sebagai kejam,namun terdapat sebahagian daripada ideologinya menunjukkan kemajuan dan kebajikan manusia,haiwan dan juga alam sekitar.Tidak dilupakan idea Hitler dalam bidang automatif dengan penciptaan kereta Volkswagen dengan prinsip kereta berkos rendah yang mampu dimiliki semua rakyatnya.Dalam bidang ekonomi pula,Jerman telah memperkenalkan ekonomi bebas tanpa tanpa pemusatan yang terus dipraktikkan di kebanyakkan negara.
         Dasar luar yang telah dilaksanakan oleh telah menjadi pencetus kepada perang dan sekaligus menjadi faktor penting yang menyaksikan pembabitan Jerman dalam Perang Dunia Kedua yang mengakibatkan keruntuhan empayar Nazi apabila mengalami kekalahan kepada pihak Berikat dan kematian Adolf Hitler.


4.0 RUJUKAN.

Qasim Ahmad (2nd ed). 1997. Eropah Moden : Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan. Kuala
         Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Herbert L. Peacock. 1976. Sejarah Eropah Moden. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tim Kirk. 1995. Jugend Vient Vein Fuhrer : Nazi Germany. New York : Longman.

Claus-Christian W. Szejnmann. 1999. Nazism in Central Germany : the Brown Shirts in ‘Red’
         Saxony. New York : Berghahn Books.

John Hiden. 1996. Germany- Theme and Variation in the History of Weimar and Third Reich
         1918-1945. London&New York :Longman.


[1] Tim Kirk, Jugent Vient Vein Fuhrer:Nazi Germany, New York:Longman, 1995, hlm.16.
[2] Penyataan ini telah dinyatakan oleh Adolf Hitler di dalam bukunya “Mein Kampf” (1923-25)sewaktu dipenjara.Beliau telah ditangkap dan dipenjarakan dalam insiden yang dikenali sebagai Perarakan ke Berlin pada 8 November 1923.Akibatnya beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun tetapi dibebaskanselepas setahun dalam penjara.
[3] Herbert L.Peacock, Sejarah Eropah Moden, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, hlm. 402.
[4] Jerman pada ketika itu merupakan negara industri kedua yang paling maju di dunia selepas Amerika Syarikat dan pemimpin-pemimpin industri Jerman pula mempunyai pengaruh yang sangat kuat.
[5] Ibid
[6] Qasim Ahmad, Sejarah Eropah Moden, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, hlm. 211.
[7] Schutz Staffel (SS) ditubuhkan pada tahun 1923 sebagai cabang kepada S.A yang diketuai oleh Rohm.Pada awalnya SS hanya dianggotai oleh sekumpulan kecil ahli elit yang terpilih.
[8] Golongan cacat fizikal dan mental dianggap parasit yang akan mengancam keharmonian rakyat Jerman dan akan melambatkan kemajuan evolusi.