Peta: Kudat
Bandar Kudat terletak di bahagian paling utara Sabah dan jaraknya dari Kota Kinabalu ialah sejauh 190 km dan memakan masa selama 2 jam 30 minit perjalanan. Penduduk Kudat dianggarkan pada tahun 2000 berjumlah 68,242 orang. Kaum majoriti di sana ialah Rungus sebanyak 65 % yang merupakan sub-etnik KadazanDusun diikuti dengan kaum Cina, Bajau, Murut, Bugis, Dusun, Suluk dan Melayu. Kesemua kaum ini adalah berbeza tempat tinggal berdasarkan pekerjaan yang mereka ada. Contohnya orang Rungus lebih suka tinggal di kawasan pedalaman kerana menjalankan pekerjaan sebagai petani dan hanya segelintir sahaja yang tinggal di tepi pantai bekerja sebagai nelayan. Orang Bajau-Banaran pula tinggal di tepi pantai yang bekerja sebagai nelayan sepenuh masa. Orang Cina pula tinggal di kawasan bandar dan membuka kedai-kedai menjual barangan keperluan. Walaupun sebab sebenar pihak British membawa orang Cina datang Kudat untuk memajukan Kudat dari segi pertanian. Namun orang Cina tersebut tidak menjadi petani tetapi telah menjadi pengusaha kedai.
Orang Rungus pula memilih untuk tinggal di kawasan pedalaman kerana ingin mengelak serangan daripada lanun yang merompak mereka. Di kawasan pedalaman mereka merasa lebih selamat dan boleh menjamin kebahagian mereka. Di kawasan pedalaman juga mereka boleh menjalankan kegiatan pertanian untuk menyara kehidupan seharian. Aktiviti perdagangan dalam kalangan orang Rungus dan Bajau-Banaran telah lama berlaku yang mana mereka menjalankan perdagangan sistem barter. Orang Rungus menukar hasil pertanian dengan ikan atau pun barangan lain yang tidak boleh mereka hasilkan dengan Orang Bajau-Banaran.
Sultan Sulu telah memberikan kebenaran kepada pihak British untuk membuka penempatan di Pulau Balambangan selepas membantu Baginda dalam satu peperangan di Sulu. Pada mulanya Alexander Dalrymplelah yang pertama mengemukakan cadangan untuk membuka satu kawasan di Pulau Balambangan. Namun cadangan beliau tidak diterima oleh pihak British kerana menelan belanja yang sangat tinggi. Pada tahun 1773, John Herbert telah dilantik sebagai Chief of Britain’s First Southest Asia Trading Post.
Herbert telah membuka Pulau Balambangan dengan membina kem tentera, kubu pertahanan, rumah dan gudang penyimpanan barangan. Pelantikan Herbert sebagai ketua tersebut adalah satu kesilapan bagi pihak British setelah pentadbiran beliau telah memakan belanja yang sangat banyak. Tambahan pula kaum Suluk, iaitu penduduk tempatan di sana telah memberontak dan memusnahkan dan membakar petempatan British. Usaha untuk membangunkan pulau tersebut telah gagal dan akhirnya ditinggalkan pada tahun 1805. Pembukaan Pulau Banggi pula adalah bermula pada tahun 1805 setelah Charles Lee Moses berjaya memajaknya daripada Sultan Brunei selama sepuluh tahun. Namun Pulau Banggi hanya digunakan sebagai pangkalan tentera laut Amerika. Tidak ada sebarang usaha dijalankan untuk membangunkan Pulau Banggi.
Tahun 1881 menyaksikan pembukaan Kudat sebagai satu penempatan orang British yang membawa bersama mereka beberapa orang Melayu Brunei. Briton A.H. Everett ialah indivudu yang bertanggungjawab dalam pembukaan Kudat. Mereka telah membuka kawasan yang mana pada masa sekarang ini ialah Bandar Kudat. Syarikat Borneo Utara British (SBUB) telah menjadikan Kudat sebagai pusat pentadbiran mereka pada tahun berikutnya. Kudat pada masa itu telah diberi nama oleh SBUB sebagai British North Borneo. Salah satu sebab mengapa British memilih Kudat sebagai pusat pentadbiran mereka adalah kerana penemuan perigi minyak di Kg. Minyak yang terletak 26 km daripada Bandar Kudat. Kudat hanya dapat bertahan selama dua tahun setelah mengalami masalah kekurangan air bersih. Aktiviti lanun yang berleluasa di perairan Kudat juga telah memaksa British untuk meninggalkan Kudat dan membuka petempatan yang baru iaitu di Sandakan.
Kaum Rungus
Kaum Rungus
Sampai sekarang kaum Rungus masih lagi mengamalkan budaya yang mereka warisi sejak turun-temurun lagi. Malahan Rungus adalah bangsa yang paling lambat sekali menerima pengaruh luar dalam budaya tradisional mereka. Malaha mereka juga lambat menerima mana-mana agama Islam mahupun agama Kristian. Kebanyakkan orang Rungus menganut agama Kristian dan hanya segelintir sahaja yang memeluk agama Islam. Terdapat juga segelintir orang Rungus yang masih mengamalkan kepercayaan lama mereka. Namun jumlah mereka tidaklah banyak seperti mana yang telah menganut agama Kristian mahupun Islam.
Tempat kediaman Kaum Rungus tidak sama dengan mana-mana kaum yang terdapat di Kudat. Mereka telah membina satu budaya yang mana tinggal di rumah panjang dalam jumlah keluarga yang sangat banyak. Rumah panjang tersebut mampu menempatkan sepuluh hingga tiga puluh keluarga. Cara ini dapat menjamin keselamatan mereka kerana tinggal dalam kelompok yang banyak. Rumah panjang tersebut akan mempunyai seorang ketua yang akan menjamin kesejahteraan orang-orangnya dan akan menjadi ketua jika berlaku peperangan dengan musuh.
Gambar: Kaum Rungus