Bismillahirahmannirohhim
(Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah)

Sunday 19 June 2011

Pelan Tindakan Kerajaan Selepas Peristiwa 13 Mei 1969

Tragedi 13 Mei 1969 telah menjadi peristiwa yang amat penting dalam sejarah Tanah Melayu dan peristiwa ini  memberi pengajaran kepada semua penduduk terutamanya para pemimpin politik dan rakyat Malaysia. Tragedi ini telah menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda yang  teruk di Malaysia. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi terutamanya masalah yang berkaitan dengan hubungan antara kaum .Hal yang demikian kerana tragedi 13 Mei berpunca daripada masalah perpaduan yang amat ketara antara kaum .

          Sehubungan dengan itu, pada 17 Mei 1969 sebuah majlis telah ditubuhkan dibawah kuasa Timbalan Perdana Menteri,YAB Tun Abdul Razak bin Dato’Hussien iaitu Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk mengambil alih tugas parlimen .Beliau dibantu oleh anggota-anggota majlis yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik,pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera. MAGERAN menjalankan beberapa fungsi utama iaitu bertanggungjawab mengembalikan keamanan dan undang-uandang negara, menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan sesebuah kaum kepada kaum lain. Dibawah MAGERAN juga telah ditubuhkan sebuah pejabat Urusetia Hal Ehwal Awam yang diketuai oleh seorang pegawai Perkhidmatan Awam Kanan untuk menjalankan tugasan daripada Ketua Pegawai Kerja. Ketua  Hal Ehwal Awam bertanggungjawab mengeluarkan arahan berkenaan pembentukan dan penelitian semua dasar dan objektif kerajaan tentang hal-hal yang berkaitan dengan hal ehwal awam serta penyelarasan agensi kerajaan lain agar dasar tersebut dipatuhi .


           Dasar-dasar yang yang berkaitan dengan hal ehwal awam tersebut termasuklah dasar kewangan, pelajaran, pembangunan negara, luar bandar dan perusahaan, perdagangan dan perniagaan, pengangkutan, perkhidmatan dan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan persekutuan dan negeri dan imigresen dan pendaftaran negara. Bagi membantu dalam melaksanakan dasar-dasar ini beberapa panel telah ditubuhkan seperti panel ekonomi, panel pelajaran, jawatankuasa ekonomi dan kewangan, jawatankuasa penanaman modal serta jawatankuasa perancangan dan pembangunan negara                    ( JPPN).Selain itu, MAGERAN  telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara (JPN) pada tahun 1970 dan Majlis Muhibah Negara (MMN) pada 18 Julai 1969.Tujuan penubuhan Jabatan Perpaduan Negara  yang diketuai oleh Tan Sri Mohd.Ghazali Shafie adalah bagi membantu kerajaan mengerakkan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan negara dengan lebih teratur dan teliti di samping mendraf satu idealogi iaitu Rukun Negara.

          Majlis Muhibah turut dibentuk di peringkat pusat, negeri, daerah dan kampung di bawah peruntukan Peraturan-peraturan Perlu 1969 untuk mengalakan perkembangan muhibah dengan memulihkan kepercayaan sesebuah kaum dengan kaum yang lain, mengkaji dan menyelesaikan masalah dengan kerjasama pihak berkenaan yang berkaitan dengan kesulitan serta perselisihan faham antara kaum, membantu pertubuhan lain dan kerja-kerja sukarela dalam lapangan kerja sosial mengikut pelbagai peringkat serta sedia membantu kerajaan pada bila-bila masa diperlukan. Kerajaan Berparlimen  telah dipulihkan semula pada 23 Feb 1971.Ekoran daripada hal tersebut Majlis Muhibah Negara telah dimansuhkan dan diganti dengan Majlis Perpaduan Negara(National Unity Council) yang mempunyai 51 orang anggota  dan ditadbir melalui kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dengan Pejabat Muhibah Negara. Peranan utama majlis ini adalah membincangkan perkara-perkara berkaitan perpaduan negara yang difikirkan oleh Perdana Menteri perlu dirujukan kepada majlis dan membincangkan , mencadangkan langkah-langkah penyelesaian kepada masalah perpaduan negara bagi memupuk perpaduan kaum.
        Pada 1 Januari 1972 Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara digabungkan menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang bertanggungjawab mengurus serta menyelaras tugas-tugas Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Jawatankuasa Muhibah. Selepas pilihan raya umum 1974, kerajaan baru Barisan Nasional dibentuk menyebabkan Kementerian Perpaduan Negara bertukar nama menjadi Lembaga Perpaduan Negara malah sebuah panel penasihat yang terdiri daripada 16 ahli juga ditubuhkan. Panel penasihat ini bertanggungjawab membincangkan masalah perpaduan, mencari idea baru bagi menghapuskan perasaan perkauman serta mengelakkan berlakunya konflik atau konfrontasi antara kaum. Lembaga Perpaduan Negara bertukar kembali menjadi Jabatan Perpaduan Negara yang diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri.

       Seterusnya , Majlis Perundingan Negara(MAPEN) ditubuhkan di bawah undang-undang darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970. MAPEN dan MAGERAN saling berkerjasama iaitu MAGERAN bertindak sebagai pemerintah manakala,MAPEN berfungsi sebagai penasihat kepada MAGERAN khususnya perkara berkaitan perhubungan kaum. MAPEN berperanan membincangkan dan meneliti masalah yang berkaitan perpaduan kaum untuk mencari jalan penyelesaian agar ‘pisang tidak berbuah dua kali’ iaitu mengelak berulangnya peristiwa 13 Mei.MAPEN dianggotai oleh  Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussien(pengerusi), tiga orang menteri, wakil-wakil kerajaan negeri,wakil-wakil parti politik ,wakil-wakil agama, badan professional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, wartawan, persatuan guru-guru dan wakil kumpulan-kumpulan kecil.Setiap ahli berperanan dalam membincangkan isu berkaitan perpaduan kaum dengan jujur tanpa was-was dan dalam keadaan yang tenang.Namun isu yang dibincangkan bukan hanya tertumpu kepada perpaduan kaum semata-mata tetapi juga melibatkan perancangan dan penyelarasan pembangunan dari segi ekonomi, sosial, pembangunan wilayah dan negeri.

         MAPEN telah mengadakan mesyuarat yang pertama pada 27 Jan 1970 yang dipengerusikan oleh pengarah MAGERAN dan telah menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu membuat keputusan berkenaan bentuk masyarakat Malaysia pada masa akan datang bagi mencapai perpaduan yang harmoni. Melalui perbincangan yang dijalankan selama beberapa bulan MAPEN berpendapat bahawa negara ini memerlukan satu panduan yang boleh dijadikan idealogi bagi membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang baru dan maju .Idealogi tersebut dikenali sebagai Rukun Negara yang mengandungi 5 prinsip utama iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan Negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan.Rakyat Malaysia harus mendukung cita-cita yang berpandukan kepada kelima-lima prinsip tersebut iaitu mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyrakat , memelihara cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil ,menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak dan membina sebuah masyarakat progresif dengan mengunakan sains dan teknologi moden.

         Di samping itu, Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dirangka dengan dua objektif  yang menjadi serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan rakyat tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat.Dasar Ekonomi dirujuk sebagai tapak ,panduan ,falsafah, peraturan dan cara mencapai matlamat dasar yang merujuk kepada usaha untuk mengubah masyarakat dan negara daripada keadaan yang mundur kepada maju dalam pelbagai aspek kehidupan (kebendaan dan bukan kebendaan). Jurang kemiskinan antara golongan kaya dengan golongan miskin terlalu besar bezanya terutama daripada aspek ekonomi dimana golongan kaya memonopoli hampir separuh sektor ekonomi menyebabkan penduduk miskin tidak dapat melibatkan diri dalam sektor ini. Program pembangunan ekonomi diwujudkan bagi mencapai perpaduan ekonomi yang seimbang dalam sektor ekonomi agar setiap golongan masyarakat dapat memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

         DEB mengutamakan isu kemiskinan di luar bandar dan di bandar sebagai tumpuan utama terutamanya bagi kaum bumiputera yang menjalankan aktiviti pertanian tradisional. DEB telah mengambil beberapa langkah unutk menangani isu ini iaitu mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak , menambahkan daya pengeluaran dan pendapatan, memberi peluang kepada pekerja di sektor yang rendah daya pengeluarannya ke sektor yang lumayan, mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum dan kawasan, memodenkan kehidupan di luar bandar, mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan kaum bumiputera, mewujudkan sektor pekerjaan yang mengabungkan pelbagai kaum, memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat. DEB menjalankan pembasmian kemiskinan melalui tiga perigkat iaitu pembasmian mengikut kawasan luar bandar dan bandar, pembasmian mengikut negeri dan pembasmian melalui penyediaan keperluan asas dan mutu hidup yang baik. Masyarakat telah disusun semula melalui beberapa strategi iaitu peningkatan dalam pendapatan dan kadar kemiskinan disusun mengikut kaum, penyusunan semula corak guna tenaga, penyusunan semula hak milik dalam sektor syarikat dan sektor industri dan pembangunan bandar dan luar bandar.

        Selain itu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dibentuk hasil daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 untuk menjadi panduan dalam membentuk, mewujudkan dan mengekalkan identiti negara dalam kalangan dunia antarabangsa. Kementerian Kebudayaan ditubuhkan pada 20 Mei 1987 bagi merancang ,mengawal ,menyelia dan melaksanakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.Di samping melaksanakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, kementerian ini berfungsi untuk memberi khidmat nasihat, mengubal dan menyelia dasar yang berkaitan dengan perkembangan kebudayaan dan industri pelancongan .Mengawal dan menyelia perjalanan jabatan dan agensi di bawahnya serta merancang program pembangunan, penyelidikan dan perhubungan dalam bidang kebudayaan dan pelancongan selaras dengan dasar yang telah ditetapkan .Melaksanakan, menyelaras dan mengawasi program kebudayaan dan pelancongan serta menilai keberkesanan dasar program kebudayaan dan pelancongan.
         Dasar Kebudayaan Kebangsaan berteraskan tiga prinsip utama seperti kebudayaan rakyat asal rantau melayu, unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar diterima dan Islam sebagai unsur yang paling penting. Terdapat beberapa objektif Dasar Kebudayaaan Kebangsaan ini iaitu mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan, memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang wujud daripada kebudayaan kebangsaan serta memperkaya dan mempertingkat kualiti kehidupan manusia dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi. Dasar Kebudayaan Kebangsaan dilaksanakan melalui pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas kebudayaan kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya. Meningkatkan dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha membimbing dan melatih peminat, pendokong dan pengerak kebudayaan dengan meluas sebagai jentera pembangunan yang berkesan. Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia, memenuhi keperluan sosiobudaya serta meninggikan taraf dan mutu kesenian.Kementerian Kebudayaan ,Kesenian dan Pelancongan berperanan penting dalam melaksanakan dasar ini iaitu menguruskan penyelidikan ,pembangunan dan pengalakkan penyelidikan dan pengembangan kesenian serta perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan.

         Persekutuan Malaysia merupakan negara yang mempunyai 13 buah negeri iaitu 11 buah di Semenanjung Malaysia ,Sabah dan Sarawak.Negeri Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang terpisah daripada Semenanjung Tanah Melayu, situasi ini menyebab kedua-dua negeri ini sukar untuk berhubung dengan negeri-negeri di Semenanjung.Pihak kerajaan harus menjalankan pembangunan yang mengambilkira usaha-usaha bagi mengurangkan jurang perbezaan pembangunan ekonomi dan struktur di antara negeri atau wilayah di Malaysia.Antara aspek yang perlu dititikberatkan ialah potensi,keupayaan dan keadaan negeri atau wilayah yang berkaitan untuk membolehkan pembangunan pertanian,perusahaan ,perindustrian dapat disalurkan ke arah pembangunan negara yang seimbang .Objektif utama pembangunan ini ialah mewujudkan agihan yang lebih seimbang dan adil dari segi pekerjaan,pendapatan ,pendidikan ,kemudahan asas,kesihatan,sosial dam rekreasi khususnya di negeri Sabah ,Sarawak dan negeri-negeri yang mundur di semenanjung.Penempatan semula penduduk ke kawasan atau pusat-pusat bandar baru yang berpotensi dalam pembangunan telah dijalankan di bawah pengawasan pihak berkuasa seperti JENGKA dan DARA(Pahang), KEJORA(Johor), KESEDAR(Kelantan), KETENGAH(Terengganu) dan KEDA(Kedah).Di Sabah sektor pertanian menjadi penyumbang utama dalam Pengeluaran Negara Kasar(PNK).Melalui RMK-5 ,64000 hektar tanah dibangunkan yang menempatkan 3900 peneroka dan mempelbagaikan industri balak kepada industri pengeluaran kertas kayu dan pulpa.Penggunaan pelabuhan di Kota Kinabalu, Labuan, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau untuk tujuan pengeksportan hasil keluaran setempat dipergiatkan .

         Sektor perlombongan di Sarawak seperti pengeluaran gas asli telah berkembang pesat ekoran daripada permintaan yang tinggi oleh LNG plant dan Asean Ammonia-Urea Plant di Bintulu. Melalui  RMK-5 Sarawak menjadi pengeluar kayu balak terbesar dan kemajuan sektor pertanian disebabkan projek Pembangunan Pertanian Bersepadu(Intergrated Agricultural Development projects) serta pembangunan luar bandar. Dasar dan sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak dapat diselaraskan dengan pendidikan di Semenanjung di bawah Kementerian Pendidikan. Sistem perhubungan antara Sabah dan Sarawak diperluaskan melalui rancangan pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo yang menghubungkan Kuching dengan Kota Kinabalu seterusnya dapat membantu dalam pemesatan pembangunan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. Perhubungan udara di bawah Syarikat Penerbangan Malaysia(MAS)  dari Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur dan Bandar lain di semenanjung ,sistem komunikasi yang baik seperti telefon ,perkhidmatan pos,televisyen dan radio membolehkan jurang pemisah antara Sabah dan Sarawak dengan semenanjung dapat dihapuskan .          
        Sehubungan daripada peristiwa 13 Mei ini terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti bagi menyelesaikan masalah perpaduan kaum iaitu sentiasa mengalakkan penduduk bermigrasi untuk meluaskan pergaulan.Terdapat beberapa faktor tarikan yang boleh menggalakan penduduk berpindah iaitu penyatuan perkhidmatan awam antara semua negeri di Malaysia , mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik di sesebuah tempat dan meningkatkan aspek keselamatan untuk mengelak ancaman dari luar.Selain itu,penyeragaman sisitem pendidikan adalah penting kerana Dasar Pelajaran seperti Penyata Barnes, Penyata Feen-Wu,Undang-undang Pelajaran1952, Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta dasar lain berkaitan pendidikan berperanan dalam memupuk perpaduan kaum. Media massa pula memainkan peranan dalam memberi pendedahan kepada berita-berita, laporan dan dasar kerajaan untuk mengurangkan jurang penerimaan maklumat yang ada. Media massa dapat membentuk pemikiran dan pandangan rakyat yang positif terhadap negara.

         Integrasi ekonomi melalui  dasar pembangunan seperti Rancangan Pembangunan Lima Tahun, DEB, Dasar Pembangunan Nasional adalah untuk memastikan pengasingan ekonomi yang dijalankan sejak zaman penjajahan sehingga selepas merdeka dapat dimansuhkan di samping merapatkan jurang ekonomi yang wujud antara penduduk kaya dengan penduduk miskin agar perasaan tidak puas hati dapat dielakkan. Fahaman politik yang bersatu harus diwujudkan seperti Parti Perikatan(UMNO-MCA-MIC) atau Barisan Nasional yang dianggotai oleh pelbagai parti komponen seperti UMNO, MCA, MIC, PPP, Gerakan, AKAR, PBDS, SNAP, PBB, SUPP, PBRS, PDS dan SAPP .Manakala aspek-aspek sosial lain yang perlu diambilkira ialah perpaduan kaum dapat dipupuk melalui pengenalan dan penerapan dasar-dasar sosial seperti Rukun Negara, Dasar Belia Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain .Dalam hal ini Malaysia berjaya mewujudkan perpaduan dan intergrasi nasional kerana sikap kesederhanaan dan bertolak ansur semua kaum.

         Tragedi 13 Mei ini telah memberi pengajaran khususnya kepada pemimpin-pemimpin politik termasuk rakyat Malaysia.Antara pengajaran yang dapat dijadikan iktibar ialah kerosakan harta benda dan nyawa kerana rusuhan kaum ini telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban misalnya jumlah kematian pada tempoh darurat ialah 172 hingga 196 orang manakala yang tercedera seramai 493 orang.YDPA telah mengisytiharkan darurat atas nasihat Tunku Abdul Rahman dan ahli Jemaah Menteri .Perintah berkurung ini bertujuan untuk mengawal keselamatan dan mengembalikan kestabilan negara .Walaubagaimanapun , keadaan ini telah menyekat kebebasan dan pergerakan penduduk untuk melakukan aktiviti harian mereka seperti mencari nafkah. Tragedi ini telah memberi keuntungan kepada musuh negara malah turut memberi peluang kepada mereka untuk memecahbelahkan hubungan rakyat seterusnya menakluki negara ini. Misalnya, kejatuhan Empayar Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 disebabkan oleh keadaan kucar- kacir di negeri tersebut.

         Selain itu ,tragedi ini juga telah mengajar rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya pembentukan dasar perpaduan dalam melahirkan masyarakat yang harmoni.Di samping itu ,tragedi ini juga telah menunjukan faktor utama wujudnya masalah perpaduan kaum ialah faktor kemiskinan yang terutamanya melibatkan penduduk luar bandar disebabkan dominasi ekonomi oleh golongan kaya. Oleh itu, pembentukan DEB adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan merapatkan jurang ekonomi ini.Seterusnya, Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu berperanan dalam menjadi alat perpaduan kaum .Oleh itu, setiap penduduk Malaysia perlu mahir bertutur dalam bahasa ini.Namun, pengunaan dan pembelajaran bahasa lain tidak di sekat untuk mengelakkan rasa tidak puas hati kaum lain seperti kaum cina dan india .   

         Kesimpulannya, tragedi 13 Mei 1969 menyebabkan berlaku beberapa perubahan di Malaysia terutama dalam sektor politik.Kerajaan telah menubuhkan beberapa persatuan dan badan-badan kerajaan yang baru seperti MAGERAN, MAPEN, DEB, JPN, MMN, Rukun Negara dan banyak lagi .Pelaksanaan dasar-dasar ini memerlukan kerjasama serta komitmen daripada setiap lapisan masyarakat terutamanya para pemimpin politik kerana salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya peristiwa rusuhan kaum ini ialah sikap tidak bertanggungjawap para pemimpin politik semasa berkempen dan selepas keputusan pilihan raya diumumkan iaitu para pemimpin politik ini tidak dapat mengawal perasaan diri dan pengikut-pengikut mereka serta tidak menghormati sensitiviti kaum lain.Oleh itu, peristiwa ini telah banyak mengajar setiap anggota masyarakat tentang nilai murni yang perlu ada pada diri setiap masyarakat untuk mewujudkan hubungan yang harmoni .Selain itu, setiap anggota masyarakat juga diajar untuk saling bantu-membantu  agar ‘pisang tidak berbuah dua  kali’ iaitu agar tragedi 13 Mei ini tidak berlaku lagi dan dijadikan pengajaran oleh semua anggota masyarakat.

17 comments:

  1. info yang padat.
    boleh sy tau dr mane awk dpt sumeber rujukan ye?

    ReplyDelete
  2. salam.boleh beri sumber rujukan?

    ReplyDelete
  3. salam.boleh beri sumber rujukan?

    ReplyDelete
  4. tulisan boleh tolong besar kan sikit tak?
    sakit mata saya nak baca tulisan kecik..hahaha

    ReplyDelete
  5. Hi. Info yang sangat baik tetapi boleh tak bagi rujukan? Thank you :)

    ReplyDelete
  6. maaf...sy kehilangan sumber rujukn...

    ReplyDelete
  7. Terima kasih
    Fakta yang sangat membantu.

    ReplyDelete
  8. mintak kebenaran nk guna sebagai bahan rujukan

    ReplyDelete
  9. Terima kasih,padat dengan info

    ReplyDelete