Bismillahirahmannirohhim
(Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah)

Friday, 16 August 2013

Imperialisme, Kolonialisme dan Merkantilisme di Asia Tenggara


PENDAHULUAN

         Perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat barat bermula selepas zaman kegelapan di Eropah atau lebih dikenali sebagai Renaissance telah membawa perubahan dalam kehidupan masyarakat Eropah khususnya dari segi pemikiran masyarakat pada waktu. Perubahan ini telah mendorong masyarakat Eropah cuba mengenali dunia luar dan cuba untuk menaikkan maratabat bangsa sendiri pada dunia luar.
         Seiringan dengan era ini, masyarakat Eropah juga turut melalui era pelayaran atau lebih dikenali sebagai “Ege of Discovery”. Salah seorang tokoh penting yang menggalakkan pelayaran ke luar Eropah ialah Putera Henry (1394-1460). Beliau ialah anak Nuno Alvarez, iaitu seorang pejuang kristian yang berjaya menyingkirkan kekuasaan Islam di Portugal. Oleh sebab itu Putera Henry mempunyai semangat fanatik Kristian yang tinggi untuk menentang Islam[1], dan disebabkan itu jugalah salah satu daripada faktor penguasaan kuasa barat keatas negara-negara luar khususnya di Asia adalah bertujuan bagi mengembangkan agama Kristian.
Sehubungan dengan itu perkembangan dunia pelayaran telah membuka ruang kepada persaingan didalam meneroka kawasan-kawasan baru terutamanya disekitar kawasan Asia. Penerokaan terhadap dunia Asia semakin giat lagi apabila buat pertama kalinya Ferdinand Magellan menemui laluan singkat kepulauan Moluccas yang kaya dengan sumber rempah, yang terletak di Indonesia. Perkembangan dalam dunia pelayaran ini telah menggalakkan kuasa-kuasa Eropah yang lain berlumba-lumba bagi mendapatkan kawasan-kawasan yang berfungsi dari segi Ekonomi di negara-negara Asia kerana pada waktu itu telah berlaku Revolusi Industri yang menyebabkan permintaan terhadap barangan mentah semakin meningkat dan ini sekaligus telah menyebabkan wujudnya golongan kapitalis yang sentiasa ingin mengaut keuntungan. Akibat daripada itu munculnya apa yang dikenali sebagai dasar Imperialisme.
Istilah Imperialisme sebenarnya telah lama wujud dikalangan masyarakat Eropah terutamanya sewaktu zaman Napoleon lagi. Istilah yang diperkenalkan di Perancis pada tahun 1830-an sebenarnya berasal dari perkataan Imperialiste untuk menunjukkan betapa ulungnya empayar Napoleon. Ini menggambarkan istilah ini telah sinonim dengan dunia Eropah dan ianya amat berhubung kait dengan perluasan sesebuah wilayah atau sesebuah empayar. Imperialisme mula diketengahkan di negara-negara Asia apabila kuasa-kuasa Eropah besaing bagi menguasai negara-negara di Asia.

IMPERIALISME, KOLONIALISME, DAN MERKANTILISME


 Dalam menerangkan konsep imperialisme, para sarjana tidak lepas daripada mengaitkan konsep-konsep Kolonialisme dan juga merkantilisme. Walaupun konsep-konsep ini berlainan dari segi maksudnya, tetapi ketiga-tiganya berkait antara satu sama lain dan apa yang pasti ketiga-tiga konsep ini adalah amat merujuk kepada motif ekonomi.
Imperialisme berasal dari perkataan latin iaitu imperium yang merujuk kepada perhubungan antara  sesebuah kuasa harmoni dengan wilayah-wilayah lain dibawahnya. Secara umumnya imperialisme adalah merujuk kepada sistem pemerintahan serta perhubungan ekonomi dan politik negara-negara yang kaya dan berkuasa, mengawal dan menguasai negara-negara lain yang lazimnya mundur dan miskin dengan tujuan mengekspolitasi sumber yang ada di negara-negara berkenaan supaya menjadi lebih kaya dan berkuasa.
Menurut Wan Abdul Rahman Latif dalam bukunya “sejarah perkembangan tamadun dunia”, mendefinisikan imperialisme sebagai suatu fahaman atau kecenderungan dan kegiatan sesebuah masyarakat atau negara meluskan  penguasaannya terhadap masyarakat atau negara lain. Kecenderungan itu boleh timbul disebabkan faktor ekonomi, politik , kebanggaan bangsa, tamadun, agama, kekuatan tentera atau persaingan dengan kuasa yang lain[2]. Konsep imperialisme ini juga digunakan bagi merangkumi gerakkan perluasan masyarakat atau negara bangsa tertentu untuk membina sebuah empayar.
Kolonialisme adalah berasal daripada perkataan koloni atau tanah jajahan yang ditakluk oleh kuasa-kuasa asing yang bermotifkan ekonomi. Kolonialisme juga dapat diertikan sebagai pengembangan kekuasaan sebuah negara atas wilayah dan manusia di luar batas negaranya, seringkali untuk mencari dominasi ekonomi dari sumber daya, tenaga kerja, dan pasaran wilayah. Menurut peneori keterbengantungan seperti Andre Gunder Frank, berpendapat bahawa kolonialisme sebenarnya menuju ke pemindahan kekayaan dari daerah yang dikolonisasi ke daerah pengkolonisasi, dan menghambat kejayaan pengembangan ekonomi. Manakala pengkritik post-kolonialisme seperti Franz Fanon berpendapat bahawa kolonialisme merosak politik, psikologi, dan moral negara terkolonisasi.[3]
Menurut Wan Abdul Rahman Latif pula, istilah kolonialisme membawa makna yang berbeza mengikut masa ia digunakan dan beliau juga telah memberi dua pengertian terhadap istilah ini. pertama kolonialisme adalah bermaksud proses sesuatu kuasa mendapatkan kawasan petempatan baru melalui kaedah penaklukan dan penghijrahan. Pengertian kedua pula lebih merujuk kepada dasar melalui kegiatan imperialisme.[4] Daripada definisi ini dapat menunjukkan bahawa imperialisme adalah amat berhubung kait dengan kolonialisme. Imperialisme lebih dimengertikan sebagai usaha mencari kekayaan melalui pencerobohan, penyerangan, dan penindasan serta persaingan tidak sihat. Kolonialisme pula merupakan dasar penguasaan dan eksplotasi yang menjadi kaedah mencapai kekayaan tersebut.
Istilah mekantilisme pula adalah lebih merujuk kepada suatu dokrin ekonomi, dasar ekonomi dan falsafah moral. Ianya adalah suatu dasar ekonomi yang dijalankan oleh negara-negara barat berikutan kemunculan negara bangsa. Matlamat utama dasar ini adalah untuk menambahkan kekayaan, kekuasaan, dan kebajikan negara melalui pemilikan sumber-sumber bahan mentah yang berharga. Ini menunjukkan bahawa matlamat utama dasar mekantilisme adalah untuk memiliki sumber galian seberapa banyak yang boleh kerana sumber tersebut adalah sandaran kepada mata wang dan asas kepada kekayaan dan kekuatan sesebuah negara.



TEORI IMPERIALISME DI ASIA TENGGARA


(i) Teori Marxist dan Teori Liberal

         Kemajuan ekonomi yang berlaku di negara-negara Eropah yang disebabkan oleh revolusi industri yang berlaku pada akhir abad ke-18 telah memberi pengaruh yang kuat kepada imperialisme barat. Persaingan dikalangan kuasa-kuasa Barat bagi mencari kawasan untuk dijadikan koloni terutamanya di Asia Tenggara yang pada ketika itu dikenali sebagai sebuah kawasan yang kaya dengan sumber bahan mentah telah menyebabkan kuasa-kuasa Barat melancarkan dasar imperialisme di Asi Tenggara bagi menguasai negara tersebut. Fenomena ini telah menyebabkan pelbagai teori imperialisme telah muncul bagi memperjelaskan penyebab utama berlakunya imperialisme di Asia Tenggara.
         Hakikat sebenarnya imperialisme yang berlaku di negara-negara Asia Tenggara adalah disebabkan oleh faktor ekonomi. Berikutan dengan berlakunya revolusi industri dan kemajuan teknologi di Eropah, ianya juga turut memajukan ekonomi negara Eropah. Dengan itu permintaan terhadap bahan mentah semakin meningkat dan ini mendorong kepada golongan berkepentingan mencari altenatif lain dengan menguasai kawasan-kawasan yang kaya dengan sumber-sumber bahan mentah dan ini sekaligus dapat menyediakan kawasan bagi memasarkan barangan daripada Eropah. Faktor inilah yang telah mendorong kuasa-kuasa barat menguasai negara-negara Asia. menurut Wan Abdul Rahman Latif, terdapat dua sebab utama yang mendorong berlakunya imperialisme,
         “ pertama,huraian yang menunjukkan perkembangan imperialisme berpunca daripada perkembangan keadaan di Eropah. Kedua, huraian yang menunjukkan perkembangan keadaan di kawasan pinggir seperti Afrika dan Asia menjadi punca perluasan imperialisme.”[5]
         Berdasarkan kepada penyataan ini, beliau cuba menerangkan bahawa keadaan di Eropah adalah disebabkan revolusi industri manakala keadaan di Afrika dan Asia adalah kekayaan sumber ekonomi yang diperlukan oleh masyarakat Eropah. Oleh itu, teori Liberal dan teori Marxist amat relevan bagi menerangkan imperialisme yang berlaku di negara-negara Asia kerana kedua-dua teori ini menekankan kepentingan ekonomi sebagai pencetus dan pendorong utama imperialisme. Keuntungan ekonomi dikatakan menjadi daya tarikan utama imperialisme dan istilah imperialisme disama-ertikan dengan eksploitasi[6].
Menurut teori Liberal yang dikemukakan oleh seorang tokoh sosialis iaitu J.Hobson yang terkenal dengan bukunya Imperialisme: A Study pada tahun 1903, mendakwa bahawa imperialisme Britain adalah sesuatu yang dirancang atau dimastermind oleh para industrialis Inggeris demi kepentingan mereka sendiri. Menurut beliau setelah peringkat awal industrialisasi dilalui, para kapitalis di Britain mendapati produk mereka di pasaran dalam negara telah melebihi paras permintaan[7].
Disebabkan itulah para kapitalis berusaha bagi mencari altenatif lain dengan cuba mencari pasaran baru luar dari Eropah bagi memperdagangkan hasil keluaran barangan mereka, dalam masa yang sama juga mereka berharap kerajaan akan menangung kos untuk merealisasikan rancangan tersebut. Denagan itu jentera kerajaan haruslah digesa atau didesak bagi mencapai tujuan tersebut. Setelah daerah di seberang laut dikuasai dan pasaran telah tersedia, maka para industrialis serta kegiatan ekonomi akan menyusul. Melalui cara sedemikian itu, maka bertapaklah imperialisme[8].
Walaupun teori ini menekankan golongan kapitalis sebagai pendorong utama berlakunya imperialisme, tetapi perkara utama dalam teori ini adalah tertumpu kepada ekonomi. Disebabkan kemajuan ekonomi maka imperialisme mula bertapak. Teori J.Hobson ini amat jelas digambarkan daripada peristiwa yang menimpa negara Vietnam iaitu salah satu daripada wilayah di Indo-China. Penguasaan Perancis di Vietnam amat jelas sekali memperlihatkan watak yang dimainkan oleh para golongan kapitalis. Golongan berkepentingan di Vietnam telah memainkan isu agama bagi membolehkan Perancis menguasai hampir keseluruhan wilayah Vietnam dan Indochina.
Perancis juga seperti kuasa-kuasa Barat yang lain ingin mendapatkan kawasan baru dan berusaha bagi menguasai perdagangan di wilayah Asia Tenggara. dan kawasan yang menjadi tumpuan adalah Indochina iaitu di Vietnam. Perancis sebelum ini telah pun menyimpan hasrat bagi memonopoli perdagangan di wilayah Asia dan bagi merealisasikan hasrat tersebut tumpuan adalah diberikan kepada negara China. Perancis cuba menjalinkan hubungan berbaik-baik dengan negara China dan demi menjaga kepentingan perdagagangan di China Perancis perlu mencari satu kawasan yang sesuai bagi memelihara kepentingan tersebut. Disebabkan itulah Perancis berusaha menguasai Vietnam kerana wilayah tersebut terletak di pintu masuk ke China.
Hanya atas alasan ingin membela nasib penganut-penganut agama Kristian di Vietnam, Perancis telah menggunakan alasan tersebut agar dapat campur tangan di wilayah tersebut. Dalam pada masa yang sama, mubaligh kristian telah datang berdakwah di Vietnam sejak abad ke-17 lagi dan kegiatan itu telah menyebabkan ramai penduduk Vietnam memeluk agama kristian. Mereka yang memeluk agama kristian telah meninggalkan adat tradisi mereka dan ini telah menimbulkan kemarahan kerajaan Vietnam. Sebagai tindak balas, kerajaan Vietnam telah menghalau keluar mubaligh kristian dan menindas penduduk Vietnam yang beragama kristian. Atas kesempatan tersebut Perancis mengambil peluang bagi campur tangan di Vietnam.
Penaklukan Perancis di Vietnam diikuti penguasaannya yang lebih luas di Kemboja dan Laos. Pada peringkat awal penguasaan Perancis di Indochina, pihak tentera laut memainkan peranan utama dalam pentadbiran kawasan itu. Kemudiannya, dengan kemunculan sekumpulan ahli parlimen Perancis yang dikenali sebagai persatuan Kolonial, urusan pentadbiran tanah jajahan mula dipindahkan kepada pihak awam[9]. Walaupun penguasaan Perancis keatas Vietnam pada mulanya diselindungi dengan alasan bagi membela nasib para penganut agama kristian, namun hasrat utama Perancis jelas terlihat apabila penguasaan terhadap ekonomi Vietnam dilakukan oleh Perancis. Selain itu juga, tanah jajahan yang diperolehi di Indochina adalah demi kepentingan saudagar dan para pengusaha. Ianya jelas kelihatan apabila para pengusaha perancis telah bergiat mengeksploit sumber alam dan tenaga manusia diIndochina dengan pembukaan ladang secara besar-besaran. 
Selain teori Liberal yang dikemukakan oleh J.Hobson, teori Maxist yang didukung oleh Lenin juga dapat menerangkan keadaan sebenar imperialisme di Asia Tenggara. menurut Lenin,
Imperialisme adalah kapitalis di tahap perkembangan bilamana dominasi monopoli dan modal kewangan (finance capital) telah mula bertapak kukuh;bilamana kepentingan pengeksportan modal telah menjadi begitu ketara; bilamana pembahagian dunia dikalangan kumpulan pemodal antarabangsa telah bermula; bilamana pembahagian daerah-daerah didunia di kalangan kuasa-kuasa kapitalis sudah di sempurnakan”[10]
Lenin cuba menerangkan Imperialisme adalah merupakan suatu fenomena yang tidak seimbang antara Eropah yang maju dengan negara-negara yang mundur dalam bidang permodalan, sains dan teknologi. Fenomena ini wujud disebabkan suatu proses pengumpulan modal berlaku lebih awal di Eropah dan di Amerika Syarikat akibat revolusi perindustrian. Disebabkan negara-negara Eropah lebih maju dari segi teknologi, lebihan modal, malah ditambahkan lagi dengan berlakunya revolusi industri akibat berkembangnya sektor perusahaan telah mendorong kuasa-kuasa Barat mencari kawasan-kawasan baru yang kaya dengan sumber bahan mentah. Disamping keperluan barang mentah kawasan-kawasan tersebut juga adalah berkepentingan didalam memasarkan barangan kilang yang dihasilkan.
         Dalam masa yang sama, pergolakan politik serta keadaan anarki yang berlaku terutamannya di negara-negara Asia Tenggara yang terkenal sebagai wilayah yang kaya dengan sumber bahan mentah telah memberi peluang kuasa Eropah menyempurnakan kesemua keperluan tersebut. Bagi kuasa-kuasa Eropah Negara-negara Asia adalah negara-negara yang mundur terutama dari segi teknologi. Hal ini jelas melalui aktiviti perlombongan di jalankan dinegara-negara Asia, walaupun kegiatan melombong Bijih Timah telahpun mula dijalankan namun kegiatan tersebut hanya dijalankan secara kecil-kecilan dengan menggunakan peralatan tradisional sahaja dan hanya dikalangan golongan pembesar sahaja. Namun selepas kedatangan kuasa-kuasa Barat, pengunaan jentera mula diperkenalkan dan ekspolitasi bahan mentah dilakukan secara besar-besaran.
Disebabkan kekayaan sumber ekonomi ini menambahkan lagi minat kuasa-kuasa barat bagi menguasai sumber ekonomi tersebut dan mengaut keuntungan daripadanya. Dalam keadaan negara-negara yang kucar-kacir akibat pergolakan politik dalam negeri, kuasa-kuasa Barat mengambil peluang tersebut untuk campur tangan dalam pentadbiran negara-negara Asia Tenggara dan peluang tersebut tentunya digunakan sebaik mungkin bagi memonopoli kesemua sumber ekonomi yang ada.
         Campur tangan Belanda di Indonesia amat jelas mengambarkan keinginan kuasa tersebut bagi menguasai ekonomi yang terdapat dinegara tersebut. Indonesia yang sememangnya terkenal sebagai kepulauan rempah telah menarik kuasa Eropah sejak dahulu lagi. Indonesia diiktiraf sebagai negara kelima terkaya di dunia terutamanya dari segi sumber alamnya. Indonesia juga kaya denagn sumber asli seperti timah, bauksit, arang batu, emas, perak, berlian, serta sumber tanaman lain seperti tembakau, kayu-kayan dan rempah-ratus[11]. Kekayaan dari segi sumber rempah-ratus seperti di Acheh dan kepulauan Maluku, iaitu Ternate dan Tidor mendorong Belanda untuk campur tangan dalam penmtadbiran Indonesia bagi menguasai perdagangan tersebut.
         Selain imperialisme Belanda di Indonesia, Imperialisme Sepanyol di Filipina dan imperialisme British di India juga memperlihatkan dasar imperialisme yang disokong oleh faktor ekonomi. Kekayaan negara- negara Asia tersebut mendorong kuasa Barat tersebut beruasah bagi menguasai negara-negara tersebut. Penguasaan British di India pada asalnya adalah bagi mendapatkan sumber bekalan bagi kapas bagi perusahan tekstil di Eropah kerana pada waktu itu  bekalan kapas dari Amerika Utara tidak lagi mudah diperolehi. Disebabkan itu, kuasa Eropah ini beralih ke India bagi mendapatkan bekalan kapas. Bekalan kapas hanya diperolehi melalui penguasaan kawasan tanaman kapas yang sedia ada ataupun mewajibkan penanaman kapas di kawasan baru yang di kuasai. Namun imperialisme British merebak keseluruh wilayah India apabila mendapati kawasan tersebut mempunyai potensi dari segi ekonomi tambahan pula persaingan daripada kuasa-kuasa Eropah yang lain bagi mencari tanah jajahan di Asia menggalakkan lagi British untuk menguasai keseluruhan India dan seterusnya campur tangan dalam pentadbiran negara tersebut.
         Manakala imperialisme yang berlaku di Filipina juga memperlihatkan persaingan dua kuasa besar di kawasan tersebut iaitu diantara Sepanyol dan Amerika Syarikat. Amerika Syarikat yang sebelum ini terkenal sebagai sebuah negara yang menentang imperialisme tetapi telah terlibat dengan dasar imperialisme apabila dikaburi dengan kekayaan sumber asli di Filipina. Sepanyol yang menguasai Filipina sejak abad ke-16 lagi yang juga menguasai negeri tersebut bagi kepentingan ekonomi telah disingkirkan oleh Amerika Syarikat. Kepentingan ekonomi yang terdapat di negara tersebut telah menyebabkan berlakunya persaingan dikalangan kuasa-kuasa Barat kerana wujudnya lebih banyak golongan kapitalis yang sentiasa ingin mengaut keuntungan dan misi utama pada waktu itu juga adalah lebih kepada mencari kekayaan.
         Tidak dinafikan bahawa terdapat pelbagai faktor lain yang menyebabkan berlakunya imperialisme di Asia Tenggara, namun apa yang jelas penguasaan kuasa-kuasa Eropah keatas negara-negara asia adalah lebih didorong oleh faktor ekonomi. Revolusi industri yang berlaku dinegara Eropah dan dalam masa yang sama kemajuan teknologi serta lebihan modal  telah memajukan ekonomi di negara-negara Eropah, yang membangkitkan lagi semangat imperialisme dikalangan kuasa-kuasa Barat.
Oleh itu, teori Maxist yang dikemukakan oleh Lenin dan teori Liberal yang dikemukakan oleh J.Hobson amat releven didalam memperjelaskan imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara. Kekayaan dari sumber bahan mentah menjadi pendorong utama kuasa barat menguasai Asia Tenggara. Keinginan menguasai Asia Tenggara telah wujud sejak kepulauan Moluccas ditemui lagi, yang mana kepulauan tersebut kaya dengan sumber rempah. Kuasa-kuasa Eropah hanya menunggu masa yang sesuai bagi menguasai negara tersebut. Disebabkan berlakunya pergolakan politk dalam negeri dan perpecahan dikalangan masyarakat tempatan, kuasa-kuasa Barat mula mengambil peluang tersebut untuk campur tangan dan seterusnya menguasai negara tersebut. Malahan pelbagai cara dilakukan oleh pihak Barat bagi mengaut keuntungan di negara Asia.
         Salah satu contoh permainan politik kotor imperialisme ialah ‘Perang Candu’ menentang China.Great Britain mula menyeludup masuk dadah candu yang ditanam di India ke China sejak suku pertama abad ke-19. Penyeludupan candu ini telah dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mndapatkan defisit yang baik di dalam dagangan luar. Lambakan dadah ini ke negara ini telah memberi kesan yang melemahkan autoriti negara china terhadap jajahannya sendiri. Keruntuhan masyarakat akhirnya mencapai ke satu dimensi yang serius. Pengharaman candu yang terpaksa dilakukan oleh kerajaan China setelah sekian lama merasa ragu, telah membawa kepada Perang Candu yang pertama (1838-1842). Tidak dapat di nafikan lagi bahawa peperangan ini telah menyebabkan China muflis. China terpaksa menundukkan kepalanya kerana penyusutan angkatan tenteranya di dalam setiap konfrontasi dengan kuasa luar dan menerima permintaan mereka yang sentiasa meningkat. Barat pula telah mula menduduki kawasan jajahan China sedikit demi sedikit daripada tahun 1842. Mereka telah mengambil pelabuhan konsesi daripada tangan China, menyewa ladang-ladang mereka, dan memaksa negara tersebut membuka kepada negara luar dengan cara yang memberikan keuntungan yang melipat ganda kepada mereka. Hasil daripada ini, kemiskinan di dalam negara, kelemahan kerajaan, dan kehilangan kawasan jajahan China secara perlahan-perlahan, telah membawa banyak pemberontakan[12].
         Ternyata apapun alasan kuasa barat melancarkan darsar imperialisme di Asia namun ianya adalah didorong oleh faktor ekonomi dan ianya amat berkait dengan teori Marxis dan teori Liberal yang dikemukakan kerana ianya menekankan faktor ekonomi ditambah keingginan golongan kapitalis mengaut keuntungan sebagai punca utamna imperialisme.


(ii) Teori Imperialisme Konservatif

Selain teori Marxist dan Teori Liberal terdapat pelbagai lagi teori yang menerangkan imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara. salah satunya teori yang diketengahkan oleh Disraeli, Rhodes dan Rudyard iaitu teori imperialisme Konservatif. Mereka sependapat menyatakan bahawa imperialisme dilakuakn adalah kerana “tanggungjawab kuasa Barat”. Orang barat bangga dengan kebudayaan dan peradabaan yang tinggi, kerana kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Kuasa barat telah menjadikan alasan ini untuk menjalankan dasar imperialisme mereka termasuklah di Asia Tenggara.
Namun teori ini tidaklah jelas menggambarkan keadaan sebenar imperialisme yang berlaku di Asia kerana pada waktu itu negara-negara Asia telahpun mempunyai sistem pentadbiran yang tersendiri dan teratur. Namun disebabkan berlakunya pergolakan politik dalam negeri dan berlakunya anarki telah membuka peluang kuasa Barat campur tangan di negara-negara Asia.
Salah satu contoh yang jelas adalah Imperialisme Perancis di Vietnam. Ianya adalah berkaitan dengan teori konservetif yang dikemukakan ini. persengketaan awal Vietnam dan Perancis adalah berpunca dari agama.terutama selepas pemerintahan Minh Mang ataupun Trien Tri yg cuba menyekat penyebaran Kristian dikalangan rakyat melalui pemerintahan, penganiayaan, dan pembunuhan. Pada tahun 1855, Raja Napoleon III menimbang permintaan mubaligh kristian untuk campur tangan selepas kematian Bishop Sepanyol laksana tuntutan mubaligh. Justeru Perancis percaya berazam laksanakan tanggungjawab mereka demi mentamadunkan orang Vietnam. Perancis percaya, rakyat Vietnam mengalukan kedatangan mereka sebagai pembebasan daripada kerajaan asli. Namun ternyata imperialisme Perancis ke Vietnam adalah didorong oleh keinginan menguasai perdagangan dan ekonomi di Vietnam dan golongak kapitalis giat mengeksploitasi sumber ekonomi di Vietnam.


(iii) Teori Politik

         Fieldhouse dan Robinshon adalah merupakan antara mereka yang mengutarakan perkiraan politik, strategi atau militer dan persaingan kuasa dikalangan kuasa-kuasa Eropah sebagai faktor utama atau kritikal di sebalik imperialisme kuasa-kuasa Barat[13]. Teori politik imperialisme adalah merupakan satu manifesto keseimbangan kuasa dan ia juga adalah satu proses yang mana dua bangsa cuba mencapai satu keuntungan atau faedah dalam pengekalan status quo. Perlumbaan mendapatkan tanah jajahan telah menjadi satu kemestian bagi negara-negara Eropah kerana bagi mereka kawasan-kawasan jajahan adalah lambang kekuatan dan kekuasaan. Pemilikan tanah jajahan pada masa itu telah dilihat sebagai seoleh-olah satu petanda atau pengiktirafan yang kuasa itu telah menjadi kuasa penting tidakpun tidak kuasa besar.[14] Sesebuah negara dianggap perlu mempunyai tanah jajahan di seberang laut yang menjadi simbol dan prestij sesebuah negara tersebut.
         Namun teori politik ini dapat disangkal sama sekali apabila imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara adalah lebih didorong oleh faktor ekonomi. Biarpun imperialisme sesetengah negara itu telah didorong oleh faktor militer, tetapi faktor militer itu sendiri sememangnya dipengaruhi oleh perhitungan ekonomi. Faktor persaingan kuasa juga boleh dilihat didalam konteks yang sama. Malah telah dihujahkan bahawa penaklukan keatas tanah jajahan yang ketandusan sumber pun, mempunyai agenda ekonomi[15].
         Oleh itu, dapatlah dikatakan faktor Ekonomi adalah pendorong utama imperialisme di Asia Tenggara, namun tidak dinafikan terdapat faktor lain yang mendorong tercetusnya imperialisme di Asia Tenggara. ini menunjukkan teori Marxist yang disokong oleh Lenin dan teori Liberal yang dikemukakan oleh J.Hobson adalah relevan didalam menerangkan imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara.  


  

PENUTUP  

         Imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara adalah amat di dorong oleh faktor ekonomi. Kemajuan ekonomi di Eropah yang diakibatkan oleh revolusi perindustrian mendorong kuasa-kuasa Barat untuk bersaing bagi mencari serta menguasai koloni di seberang laut untuk mendapatkan bahan mentah dan pasaran. Keadaan ini telah mewujudkan persaingan antara kuasa-kuasa imperialis Barat menguasai kawasan luar Eropah termasuklah Asia Tenggara.  teori Maxist dan teori Liberal adalah relevan didalam menerangkan keadaan imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara kerana Kedua-dua teori ini walaupun berbeza, namun tetap menekankan ekonomi sebagai punca utama berlakunya imperialisme. Disebabkan kekayaan yang dimiliki oleh negara-negara Asia Tenggara telah menarik minat kuasa-kuasa Eropah bagi menguasai negara-negara Asia dan sekaligus memonopoli sumber ekonominya. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa teori Liberal dan teori Marxist adalah teori yang paling relevan di dalam menerangkan imperialisme yang berlaku di negara-negara Asia Tenggara. Akibatnya, imperialisme Barat telah membawa pelbagai perubahan terutamanya dari aspek ekonomi, sosial dan juga politik di Asia Tenggara.


BIBLIOGRAFI

Ariffin Omar. 1999. Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu : Runtuhnya Kerajaan Melayu Sumatera Timur pada tahun 1946, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.
Bertrand & Russell. 1993. Sejarah Falsafah Barat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Peter Church. 1988. A Short History of South – East Asia. John Willey & Sons   
          ( Asia ) Kuala Lumpur: Pte Ltd. Singapura.
Philippe Devillers. 1988. Sejarah Indo-China Moden:Perkembangan Sosiopolitik hingga abad ke 20, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Suffian Mansur. 2003. Tamadun China, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Qasim Ahmad. 1999. Revolusi industri Pertama: Sejarah Permasalahan Sosioekonomi dan Politik. Universiti Malaysia Sabah.


[1] Suffian Mansur, Tamadun China, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2003. hlm.164
[2] Wan Abdul Rahman Latif, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2001. hlm.285
[4] Wan Abdul Rahman Latif, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2001. hlm.289

[5]Wan Abdul Rahman Latif, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2001. hlm.288
[6] Qasim Ahmad, Revolusi Industri Pertama, sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia Sabah,1999. hlm.187
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Qasim Ahmad, Revolusi Industri Pertama, sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia Sabah,1999. hlm.187

[9]Wan Abdul Rahman Latif, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2001. hlm.298

[10] Qasim Ahmad, Revolusi Industri Pertama, sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia Sabah,1999. hlm.188-189

[13] Qasim Ahmad, Revolusi Industri Pertama, sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia Sabah,1999. hlm.193
[14] Qasim Ahmad, Revolusi Industri Pertama, sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia Sabah,1999. hlm.193
[15] Ibid,194

Sunday, 28 April 2013

NAZISME


IDEOLOGI NAZISME

1.0 PENDAHULUAN

Nazisme atau secara rasminya National Sosialisme adalah merujuk kepada sebuah ideologi Parti Nazi ( Parti Pekerja Nasional-Sosialis Jerman),juga dikenali sebagai Nationalsoziaolistiscme Deutsche Arbeiterpartei (NSDAP) di bawah pimpinan Adolf Hitler.Parti ini telah ditubuhkan oleh kumpulan kecil di Munich.[1] Parti yang bermula dengan nama Parti Pekerja Jerman ini ditubuhkan pada tanggal 5 Januari 1919 oleh Anton Drexler. Hitler kemudiannya bergabung dengan parti kecil ini pada September 1919 dan telah menjadi pemimpin propaganda.Hitler juga telah mengubah nama parti ini pada 1 April 1920 dan telah menjadi pemimpin parti pada 29 Julai 1921.
         Nazisme bukanlah sebuah ideologi yang baru,melainkan sebuah kombinasi dari berbagai ideologi dan kelompok-kelompok yang memiliki persamaan pendapat tentang penentangan Perjanjian Versailes serta kebencian terhadap Yahudi dan Komunis yang dipercayai berada di sebalik perjanjian tersebut.
         Mengapakah Adolf Hitler berusaha menubuhkan Parti Nazi dan menyebarkan ideologi Nazisme?Bagi hitler,negara Jerman adalah di atas segala negara.Ianya adalah bermaksud bangsa Jerman yang terdiri daripada bangsa Aryan adalah bangsa yang paling unggul dan paling mulia di muka bumi.Tentera-tentera Jerman adalah tentera yang paling unggul dan tiada bandingannya.Bangsa Jerman adalah yang paling mulia dan mempunyai kewajipan untuk memimpin dunia serta membenteras penyakit-penyakit masyarakat dan membentuk tatakehidupan yang lebih terhormat,bertamadun dan bermartabat.[2] Motto yang digunakan oleh Hitler ialah “One People,one Reich,one Leader”.


2.0 ISI

2.1 LAMBANG NAZI : SWASTIKA

Lambang yang digunakan oleh Hitler untuk melambangkan parti Nazi ialah Swastika.Swastika berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu svastika.Lambang Swastika adalah berbentuk palang salib sama sisi yang berbentuk seperti lengan yang membengkok ke sebelah kanan.
         Lambang Swastika ini,menurut ahli-ahli arkeologi dipercayai telah digunakan sejak zaman neolitik lagi yang telah dijumpai di lembah Sungai Indus.Lambang Swastika telah digunakan secara meluas meliputi agama-agama Dharma seperti Hinduisme,Buddhisme dan Jainisme.Namun demikian,lambang Swastika ini telah dicela di Barat kerana ianya digunakan oleh pihak Nazi Jerman untuk menggambarkan simbol Nazisme.
         Lambang Swastika telah dipilih oleh Adolf Hitler untuk bendera Nazi dengan menggabungkannya dengan warna-warna yang menyanjung serta menghormati kegemilangan masa lalu Jerman.Warna merah,putih dan hitam dipilih bagi menyamai warna yang sama dengan warna bendera empayar Jerman yang lama.Merah melambangkan pergerakan idea sosialisme,putih pula menggambarkan idea nationalisme.
         Mengapakah Adolf Hitler memilih swastika sebagai lambang pada bendera Nazi? Hal ini adalah kerana Hitler menganggap bahawa kaum Aryan adalah keturunan orang-orang Jerman dan beliau dipandu berdasarkan orang Aryan di India.Swastika juga menggambarkan matlamat yang kuat untuk mencapai kegemilangan kaum Aryan selain daripada kemenangan melaui kerja-kerja yang berdaya cipta serta simbol kepada pembinaan hidup dan lambing bangsa Jerman.



2.2 TOKOH NAZISME

2.2.1 ADOLF HITLER.

Adolf Hitler dilahirkan pada 20 April 1889 di Braunau am Inn,Austria dari sebuah keluarga yang sederhana dan merupakan anak keempat daripada enam beradik.Bapa beliau bernama Alois Hitler,merupakan seorang pegawai di pejabat cukai.Manakala ibunya iaitu Klara Polzl merupakan isteri ketiga bapanya.Hitler dikatakan sebagai anak luar nikah.Di zaman persekolahannya,beliau bukanlah seorang pelajar yang cerdas dan ketika berusia 16 tahun,beliau telah berhenti dari persekolahan.Beliau pernah berhasrat untuk memasuki Academy of Arts di Vienna,namun ianya tidak kesampaian apabila permohonannya telah ditolak.Selama beberapa lama,beliau telah bekerja sebagai seorang pelukis papan iklan di Kota Vienna.
         Semasa berlangsungnya perang dunia pertama pada 1914,Hitler telah menyertai perang sebagai penghantar surat dan keberaniannya membolehkan beliau dikurniakan “Iron Cross”. Kemudiannya,Hitler telah menyertai tentera Jerman dalam tahun 1914 di mana beliau telah mendapat pangkat Koperal.Sikap anti-Yahudi mula tumbuh di Vienna,satu pendirian yang cukup ketara dalam kalangan masyarakat  Austria ketika itu.Hitler terpengaruh dengan tulisan oleh Lanz von Liebenfels dan polemik politik,Karl Lueger,Datuk Bandar Vienna dan George Ritter von Schonerer,pemimpin parti pan-Jerman.Hitler percaya dengan kehebatan bangsa Aryan yang menjadi asas kepada kepercayaan politiknya.Hitler juga menganggap kaum Yahudi sebagai musuh utama kaum Aryan dan telah bertanggungjawab menyebabkan masalah ekonomi Jerman.Hitler telah menjadi Canselor Jerman pada 30 Januari 1933.
         Pengakhiran riwayat hidup Hitler adalah sangat tragis.Semasa perang dunia kedua,Hitler menyedari kekalahan Jerman dalam perang tersebut yang menghadapi empat kuasa besar iaitu Britain,Amerika Syarikat,Perancis dan Rusia yang dikenali juga sebagai pihak Berikat.Hitler telah mengambil keputusan membunuh diri dengan mengambil racun bersama-sama kekasihnya iaitu Eva Braun pada 30 April 1945 bersamaan dengan 56 tahun umur Hitler.Akibatnya,Jerman telah mengaku kalah kepada pihak Berikat pada 7 Mei 1945.

2.3 HITLER DAN NAZI.

Selepas Perang Dunia Pertama tamat,Hitler telah terlibat dalam bidang politik.Beliau telah menyertai National Sosialist German Workers Party ataupun Parti Sosialis Nasional yang juga dikenali sebagai Nazi.Beliau menyertai politik adalah untuk membuktikan kepada pegawai- pegawai yang pernah memperlekehkan beliau dengan menuduh beliau tidak mempunyai daya kepimpinan.
         Hitler telah berjaya membuktikan kepada ramai bahawa dia mempunyai kebolehan berpidato telah menarik ramai penyokong fanatik lelaki dan perempuan.Kebolehan beliau berorator,serangan bersifat anti-Yahudi,sosialis,kapitalis dan liberal dalam setiap ceramahnya telah menarik perhatian ramai.Pengaruh Hitler dikukuhkan lagi apabila turut disokong oleh ahli-ahli perniagaan.

2.4 SEBAB-SEBAB KEBANGKITAN NAZI.

Terdapat beberapa faktor yang telah membantu kebangkitan Nazi di Jerman.Antara sebab bagaimana pengaruh Nazi semakin kuat di Jerman ialah apabila penyokong-penyokong Nazi telah berjaya menggunakan sepenuhnya peluang yang ada akibat daripada kesengsaraan rakyat Jerman untuk mencapai matlamatnya sendiri.[3]
         Kegiatan-kegiatan mereka telah mendapat sokongan kuat sebahagian rakyat Jerman.Sebahagian besar rakyat yang menyokong pergerakan Nazi adalah mereka yang berada pada kelas pertengahan seperti orang-orang professional,saudagar,pegawai kerajaan dan pekerja-pekerja makan gaji yang mengalami kemusnahan akibat daripada penurunan nilai mata wang Jerman pada tahun 1923 dan sekali lagi pada tahun 1931.Mereka yang berada pada kelas pertengahan dengan mudahnya dipengaruhi oleh janji-janji pihak Nazi untuk memulihkan semula negara Jerman dan memperbaiki keadaan yang akan dapat diwujudkan dengan menolak syarat-syarat Persetiaan Versailles,pembayaran ganti rugi dan mengabdikan orang-orang asing.
         Kelas pertengahan ini juga dapat dipengaruhi oleh pihak Nazi kerana penentangan mereka terhadap Komunisme.Mereka memerangi Komunisme kerana Komunisme bermakna kediktaktoran kelas pekerja,tamatnya kapitalisme dan banyak lagi hak untuk memiliki tanah dan harta benda.Nazi yang diketuai oleh Hitler juga berjaya menarik sesetengah penganggur yang mendapati satu tujuan bahawa dalam kehidupan mereka dan disiplin dalam perbarisan-perbarisan dengan memakai pakaian seragam perbarisan di bawah bendera Swastika iaitu dengan menyertai angkatan Tentera Nazi.
         Kapitalis-kapitalis besar Jerman juga mempercayai bahawa Hitler akan memberikan perlindungan kepada kepentingan mereka daripada idelogi komunisme dan sosialisme.[4] Selain itu,ramai di antara ketua-ketua tentera sungguh bersimpati dengan tuntutan-tuntutan Hitler untuk mempersenjatai semula negara Jerman dan menghapuskan Persetiaan Versailles.Pada awalnya,ketua-ketua tentera beranggapan bahawa pihak tentera akan dapat mengawal Hitler,tetapi sebenarnya tidak lama kemudian Parti Nazi telah berkuasa sepenuhnya ke atas angkatan tentera.Harus diingat bahawa Hitler adalah seorang ahli pidato yang sangat pintar dalam kurun ke 20.Beliau telah berjaya untuk membangkitkan kegelisahan dan membangkitkan semangat kebangsaan semua orang untuk faedah Hitler sendiri.[5]

  
2.5 IDEOLOGI NAZI.

2.5.1 DASAR DALAM NEGERI NAZI.
Idea Hitler yang utama dalam ideologi Nazi ialah faktor bangsa dan kebangsaan dalam orde sosial manusia.Bagi Hitler,bangsa Jerman adalah bangsa yang paling hebat,pengasas kepada semua dan merupakan bangsa yang terbaik dalam tamadun manusia,pencipta institusi politik dan sosial yang stabil dan merupakan penghasil terbaik kebudayaan di dunia.
         Bagi Hitler,Jerman merupakan satu-satunya bangsa yang mampu untuk terus kekal bagi menghadapi segala persaingan yang cukup sengit bagi mendapatkan sumber makanan dan bahanmentah yang terhad.Bagi melindungi keaslian dan keunikan bangsa Jerman,Hitler telah mengarahkan penghapusan semua bangsa terutamanya bangsa Yahudi.Selain itu,penghapusan bangsa juga turut dilakukan kepada kaum Gipsi,Slav malah sesiapa sahaja yang dianggap mengancam kualiti ras Jerman.
         Secara umumnya,dalam semua pilihan raya yang telah diadakan,ideologi yang telah menjadi pegangan Nazi ialah Sosialisme Nasional.Secara teorinya,istilah Sosialisme Nasionalisme adalah sesuatu yang melibatkan unsur yang saling bercanggah,iaitu seperti bercanggahnya konsep “sosialisme dalam satu negara” yang dipelopori oleh Stalin.[6] Sosialisme pada dasarnya adalah suatu ideologi yang tidak boleh dan tidak patut dimanfaatkan dalam batasan atau sempadan sesuatu negara sahaja.Tetapi di Jerman,unsure-unsur antarabangsa bukanlah sesuatu yang menarik minat rakyat pada ketika itu.Mereka menganggap bahawa segala unsur-unsur atau pergerakan antarabangsa adalah komplot yang merencanakan dan mengendalikan kegiatan anti-Jerman.Bolshevisme,kapitalisme,pergerakan Yahudi dan Liga Bangsa-Bangsa semuanya dilihat sebagai pakatan antarabangsa yang memusuhi Jerman.
         Walaupun Nazi antifahaman Bolshevik dan sosialisme antarabangsa,Nazi secara teorinya juga memperjuangkan prinsip sosialis yang menguntungkan dan menarik minat pengikutnya.Hal ini telah dijelaskan oleh Hitler pada program parti yang diadakan pada 24 Februari 1920.Program yang juga dikenali sebagai Dua Puluh Lima Perkara telah memuatkan unsur nasionalis yang radikal,sikap anti-Yahudi dan prinsip sosialis.
         Antara dasar sosialis yang telah diutarakan oleh Hitler dalam Dua Puluh Lima Perkara ialah penghapusan upah yang tidak dihasilkan daripada kerja,pengharaman faedah,pemiliknegaraan perusahaan dan tanah serta larangan terhadap spekulasi tanah.Perkara ini seolah-olah sangat radikal dan memang ada golongan yang betul-betul menjiwai sosialisme kiri.

2.5.1.1 Gerakan anti-Yahudi.
Gerakan ini telah dijalankan pada tahun 1933 dengan tindakan pemulauan perniagaan dan perkhidmatan yang disediakan oleh orang-orang Yahudi.Penyingkiran mereka dalam perkhidmatan awam turut berlaku jika waris-waris mereka berbangsa Yahudi.Keadaan bertambah buruk apabila badan-badan professional seperti doktor,peguam dan lain-lain turut disingkirkan jika berketurunan Yahudi.Kerahan tentera telah dijalankan oleh Hitler bagi menyingkirkan golongan Yahudi.
         Lebih menyedihkan lagi,orang Yahudi telah kehilangan status mereka sebagai warganegara Jerman dengan adanya Akta Kewarganegaraan Reich dan Akta bagi Melindungi Darah dan Maruah Jerman pada 1935.Perkahwinan antara bangsa Yahudi dengan bangsa Aryan juga diharamkan sama sekali.
         Kesannya,ramai orang-orang Yahudi telah berhijrah keluar dari Jerman dan negara Palestin telah menjadi tumpuan.Selain itu,Amerika Syarikat dan Britain turut menjadi tumpuan.Ramai saintis-saintis dan bijak pandai telah mengambil peluang mengukuhkan kedudukan yahudi di tempat-tempat baru termasuklah saintis terkenal seperti Einstein.

2.5.1.2 Ekonomi
Semasa pemerintahan Nazi di Jerman,telah berlaku perkembangan yang pesat dalam industri pengeluaran.Dalam tempoh ini juga,kadar pengangguran telah menurun sebanyak 30 peratus kerana kerajaan Nazi telah menawarkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada penduduk Jerman melalui aktiviti pengeluaran senjata.
         Polisi ekonomi pada pemerintahan Hitler telah dicipta oleh Hjalmar Schcht ketika menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1933.Dasar yang telah dikatkuasakan oleh pihak Nazi ialah wanita diarahkan supaya tidak bekerja dan tinggal di rumah.Kaum wanita hanya bertanggungjawab menjaga rumah, memelihara anak-anak dan juga gereja.Semua pekerjaan hanya melibatkan suami sahaja.Seterusnya,kadar faedah telah dikurangkan dan bajet kerajaan turut dikurangkan.Projek-projek awam yang bersaiz raksasa juga turut dikurangkan bajetnya.
         Pada 1937,Hjalmar Schcht diganti oleh Herman Goering.Goering telah memperkenalkan Rancangan Empat Tahun dengan idea utama rancangan ini adalah untuk memastikan tempoh peperangan yang melibatkan Jerman hanya dalam tempoh empat tahun.Selain itu,barangan yang diimport dari luar akan dikritik dan dilarang untuk digunakan rakyat Jerman.Gaji dan harga barangan juga sering dipantau untuk mengelakkan harga yang menyusahkan rakyat. Pembangunan tanaman getah sintetik,kilang-kilang besi dan kilang tekstil automatik turut ditumpukan.Undang-undang buruh juga turut diperkenalkan pada tahun 1935.
         Sumbangan yang dapat dikesan semasa pemerintahan Nazi adalah di dalam bidang otomotif.Hitler telah member inisiatif agar membuat kenderaan-kenderaan berkos rendah yang mampu untuk dimiliki oleh semua rakyat Jerman.Oleh itu,terciptalah Volkswagen(VW) yang pernah diguna pakai di seluruh dunia.

2.5.1.3 Holocaust.
Antara tahun 1939 hingga 1945,Schutz Staffel (SS) dengan dibantu oleh pihak kerajaan serta rekrut daripada negara-negara yang ditakluki secara sistematik telah membunuh sekurang-kurangnya 11 juta orang dengan sebahagian besar yang dibunuh adalah kaum Yahudi.[7]
         Antara taktik-taktik yang digunakan oleh pihak Nazi untuk melakukan pembunuhan adalah dengan menggunakan gas beracun,dibiarkan mati kebuluran,penyakit berjangkit ketika dipaksa menjadi buruh dan pembunuhan beramai-ramai.Selain bangsa Yahudi,penduduk Poland yang disyaki sebagai komunis atau pembangkang,golongan homoseksual,golongan Roman Khatolik dan Protestan yang bertelingkah,tahanan perang Soviet,Jehovah,golongan gereja anti-Nazi,pesakit jiwa dan golongan cacat fizikal dan mental yang dikenali sebagai Holocaust.[8]
          Mengapakah Nazi menjalankan Holocaust? Hal ini adalah kerana pemimpin Nazi iaitu Hitler telah terpengaruh dan terikut terhadap konsep Darwin.Menurut konsep Darwin,ukuran tengkorak manusia akan membesar semasa mereka sedang mendaki tangga evolusi.Maka,pada waktu itu seluruh Jerman telah menjalankan pengukuran untuk membuktikan bahawa tengkorak manusia Jerman lebih besar daripada ras-ras lain.Mereka yang mempunyai ukuran tengkorak kurang daripada ukuran rasmi,termasuk ukuran gigi,mata dan rambut akan dibunuh oleh pihak Nazi.

2.5.1.4 Sukan.
Semasa kekuasaan Nazi,pemilihan atlit dilakukan dengan berhati-hati.Pada pihak Nazi,bukan hanya pada kekuatan sahaja yang menjadi ukuran,sebaliknya ciri-ciri yang melambangkan kaum Aryan lebih diutamakan.Dua sukan besar yang pernah melibatkan Nazi Jerman ialah pada tahun 1936 iaitu Summer Olympics dan German Pavillion.Pada 1937,menyertai International Exposition di Paris.
         Hitler seolah-olah tidak mengiktiraf atlit daripada bangsa lain seperti yang dilaporkan oleh Jesse Owen.Menurut laporannya,Hitler tidak mahu bersalam dengan atlit berketurunan Afrika-Amerika semasa penyampaian hadiah.Walhal pada masa itu,semua atlit yang memenangi pertandingan dapat bersalam dengan Hitler kecuali atlit Negro itu.

2.5.1.5 Budaya
Pihak Nazi banyak mencari dan menghimpunkan nilai-nilai tradisional yang terdapat pada waktu pemerintahan Jerman lama.Mereka begitu menjaga ketulenan bangsa,ketenteraan, keberanian, keperwiraan,kekuatan dan ketaatan.
         Budaya-budaya moden seperti kesenian abstrak tidak diiktiraf sebagai budaya Jerman dan tidak disimpan di dalam muzium.Kesenian yang ditulis bukan daripada bangsa Aryan seperti Jewish dan bukan penulis Nazi akan dimusnahkan.Contohnya,karya-karya ini telah dibakar oleh pelajar-pelajar Jerman pada tahun 1933.

2.5.1.6 Pelindungan Haiwan dan Alam Sekitar.
Walaupun banyak memusuhi dan memerangi bangsa dan negara lain,namun tetap wujud undang-undang yang melindungi haiwan dan alam sekitar.Terdapat beberapa unsur untuk melindungi haiwan iaitu wujudnya Animal Protection Law.Ramai pemimpin Nazi termasu Hitler dan Herman Goring menyokong perlindungan haiwan.Heinrich Himmer pula berusaha untuk menghapuskan aktiviti pemburuan binatang.Sehingga kini,akta haiwan yang diguna pakai lebih kurang sama semasa pemerintahan Nazi.
         Bagi pelindungan alam sekitar pula,pihak Nazi telah menguatkuasakan ‘Reich Nature Protection Act’.Di dalam akta ini adanya unsur-unsur pengurusan hutan,perlindungan hutan dan alam sekitar dan mempromosi serta mencegah pencemaran udara.

2.5.1.7 Hak Wanita.
Walaupun Jerman sering menghadapi zaman perang,namun Hitler tetap memberi hak terhadap kaum wanita.Nazi membenarkan kaum wanita mencari semula suami-suami mereka yang pergi berperang.Wanita yang bekerja walaupun berkhidmat dengan pihak Nazi,gaji mereka tidak dinaikkan langsung kerana Hitler lebih menggalakkan kaum wanita duduk di rumah sahaja. Bagi pihak Nazi,dunia wanita hanyalah suami,keluarga,anak-anak dan rumah.
         Rejim Nazi juga tidak memberi galakan kepada wanita untuk mencari peluang pelajaran lebih tinggi sama ada sekolah menengah,kolej ataupun universiti.Oleh sebab itu,dapat diperhatikan semasa kekuasaan Nazi penuntut universiti perempuan telah menurun.Pada tahun1933,pelajar perempuan di universiti adalah seramai 128 000 orang dan telah merosot kepada 51 000 pada tahun 1938.
         Bagi wanita yang melakukan pengguguran janin pula,hukuman yang berat akan dikenakan melainkan atas sebab-sebab kesihatan.Pada tahun 1943,terdapat sebuah akta yang menyatakan,sesiapa yang menggugurkan janin akan dikenakan hukuman mati.

2.5.1.8 Pendidikan
Semasa pemerintahan Nazi,bidang pendidikan turut diutamakan.Pihak Nazi menumpukan matapelajaran biologi keturunan kerana kebanggaan mereka terhadap bangsa Aryan.Selain itu terdapat juga matapelajaran-matapelajaran lain seperti polisi penduduk,budaya, geografi dan yang paling istimewa terdapatnya matapelajaran kecergasan fizikal.
Selain itu,di dalam bidang pendidikan terdapatnya unsur anti-Semitic dengan penyingkiran guru-guru Jewish.Semua professor di universiti perlu menjadi ahli National Sosialist Assocation of University Lectures untuk diambil bekerja menjadi professor.


2.5.2 DASAR LUAR NAZI.
Dasar luar yang diamalkan oleh kerajaan Nazi mempunyai unsur persamaan penting denga  dasar dalam negerinya.Ideologi keunggulan bangsa Jerman atau Aryan dijadikan landasan kepada rancangan dan tindak-tanduknya.Taktik Machiavellian yang digunakan oleh Hitler bagi mencapai matlamat dasar dalam negerinya juga digunakan bagi mencapai matlamat dasar luarnya.
         Dasar luar yang diamalkan oleh Nazi adalah bersifat agresif.Pada permulaannya,Hitler sendiri tidak mampu untuk melaksanakan dasar luar yang agresif kerana masih lagi tidak mempunyai angkatan tentera yang kuat.Hitler telah menandatangani satu perjanjian dengan Poland dan pakatan Jerman-Rusia terus diperbaharui pada 1935.Hitler juga menggunakan kebijakan berpidatonya sebagai senjata untuk melindungi Jerman dengan menggambarkan dirinya sebagai seorang bekas tentera yang amat bencikan peperangan.
         Pencabulan Nazi yang nyata terhadap salah satu peruntukan penting Versailles berlaku apabila Hitler mengumumkan pembentukan Tentera Udara Jerman pada 9 Mac 1935.Seminggu kemudian,beliau memperkenalkan semula dasar kerahan tenaga bagi membentuk satu angkatan tentera yang mempunyai kekuatan anggota seramai 500 000 orang.Kuasa Berikat telah membangkang dasar yang dilakukan oleh Hitler,namun tiada tindakan tegas yang diambil.
Antara dasar-dasar luar yang telah diambil dan melibatkan Jerman ialah seperti Anschluss iaitu dasar Hitler untuk menyatukan Jerman dengan Austria.Hal ini telah melanggar fasal 80 Persetiaan Versailles.
Pihak Nazi Jerman juga telah terlibat dengan krisis di Czechoslovakia iaitu melibatkan tuntutan untuk mendapatkan autonomi kedaerahan warga berbangsa Jerman di Sudetenland. Pihak Nazi telah menyerang ibu kota Czehoslovakia iaitu Parague dan membentuk daerah naungan Bohemia-Moravia.
Krisis di Poland turut melibatkan Jerman.Jerman juga mahu mendapatkan autonomi kedaerahan di Poland kerana terdapatnya golongan minoriti Jerman yang agak besar di sana. Jerman telah menuntut daerah Danzig dari Poland.

3.0 KESIMPULAN.
Penguasaan pihak Nazi di Jerman telah meninggalkan pelbagai kesan sama ada di dalam negara mahupun di seluruh dunia.Pihak Nazi telah memperkenalkan ideologinya yang tersendiri untuk membezakan mereka dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini dengan prinsip utama mereka ialah faktor kebangsaan dan keagungan bangsa Aryan.
         Pandangan saya,walaupun pemerintahan Nazi yang diketuai Hitler digambarkan sebagai kejam,namun terdapat sebahagian daripada ideologinya menunjukkan kemajuan dan kebajikan manusia,haiwan dan juga alam sekitar.Tidak dilupakan idea Hitler dalam bidang automatif dengan penciptaan kereta Volkswagen dengan prinsip kereta berkos rendah yang mampu dimiliki semua rakyatnya.Dalam bidang ekonomi pula,Jerman telah memperkenalkan ekonomi bebas tanpa tanpa pemusatan yang terus dipraktikkan di kebanyakkan negara.
         Dasar luar yang telah dilaksanakan oleh telah menjadi pencetus kepada perang dan sekaligus menjadi faktor penting yang menyaksikan pembabitan Jerman dalam Perang Dunia Kedua yang mengakibatkan keruntuhan empayar Nazi apabila mengalami kekalahan kepada pihak Berikat dan kematian Adolf Hitler.


4.0 RUJUKAN.

Qasim Ahmad (2nd ed). 1997. Eropah Moden : Arus Sosiopolitik dan Pemerintahan. Kuala
         Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Herbert L. Peacock. 1976. Sejarah Eropah Moden. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tim Kirk. 1995. Jugend Vient Vein Fuhrer : Nazi Germany. New York : Longman.

Claus-Christian W. Szejnmann. 1999. Nazism in Central Germany : the Brown Shirts in ‘Red’
         Saxony. New York : Berghahn Books.

John Hiden. 1996. Germany- Theme and Variation in the History of Weimar and Third Reich
         1918-1945. London&New York :Longman.


[1] Tim Kirk, Jugent Vient Vein Fuhrer:Nazi Germany, New York:Longman, 1995, hlm.16.
[2] Penyataan ini telah dinyatakan oleh Adolf Hitler di dalam bukunya “Mein Kampf” (1923-25)sewaktu dipenjara.Beliau telah ditangkap dan dipenjarakan dalam insiden yang dikenali sebagai Perarakan ke Berlin pada 8 November 1923.Akibatnya beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun tetapi dibebaskanselepas setahun dalam penjara.
[3] Herbert L.Peacock, Sejarah Eropah Moden, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, hlm. 402.
[4] Jerman pada ketika itu merupakan negara industri kedua yang paling maju di dunia selepas Amerika Syarikat dan pemimpin-pemimpin industri Jerman pula mempunyai pengaruh yang sangat kuat.
[5] Ibid
[6] Qasim Ahmad, Sejarah Eropah Moden, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, hlm. 211.
[7] Schutz Staffel (SS) ditubuhkan pada tahun 1923 sebagai cabang kepada S.A yang diketuai oleh Rohm.Pada awalnya SS hanya dianggotai oleh sekumpulan kecil ahli elit yang terpilih.
[8] Golongan cacat fizikal dan mental dianggap parasit yang akan mengancam keharmonian rakyat Jerman dan akan melambatkan kemajuan evolusi.