PENDAHULUAN
Perkembangan dan kemajuan
yang dicapai oleh masyarakat barat bermula selepas zaman kegelapan di Eropah
atau lebih dikenali sebagai Renaissance telah membawa perubahan dalam
kehidupan masyarakat Eropah khususnya dari segi pemikiran masyarakat pada
waktu. Perubahan ini telah mendorong masyarakat Eropah cuba mengenali dunia
luar dan cuba untuk menaikkan maratabat bangsa sendiri pada dunia luar.
Seiringan dengan era ini,
masyarakat Eropah juga turut melalui era pelayaran atau lebih dikenali sebagai “Ege
of Discovery”. Salah seorang tokoh penting yang menggalakkan pelayaran ke
luar Eropah ialah Putera Henry (1394-1460). Beliau ialah anak Nuno Alvarez,
iaitu seorang pejuang kristian yang berjaya menyingkirkan kekuasaan Islam di
Portugal. Oleh sebab itu Putera Henry mempunyai semangat fanatik Kristian yang
tinggi untuk menentang Islam[1],
dan disebabkan itu jugalah salah satu daripada faktor penguasaan kuasa barat
keatas negara-negara luar khususnya di Asia adalah bertujuan bagi mengembangkan
agama Kristian.
Sehubungan dengan itu perkembangan dunia pelayaran telah
membuka ruang kepada persaingan didalam meneroka kawasan-kawasan baru
terutamanya disekitar kawasan Asia. Penerokaan terhadap dunia Asia semakin giat
lagi apabila buat pertama kalinya Ferdinand Magellan menemui laluan singkat
kepulauan Moluccas yang kaya dengan sumber rempah, yang terletak di Indonesia.
Perkembangan dalam dunia pelayaran ini telah menggalakkan kuasa-kuasa Eropah
yang lain berlumba-lumba bagi mendapatkan kawasan-kawasan yang berfungsi dari
segi Ekonomi di negara-negara Asia kerana pada waktu itu telah berlaku Revolusi
Industri yang menyebabkan permintaan terhadap barangan mentah semakin meningkat
dan ini sekaligus telah menyebabkan wujudnya golongan kapitalis yang sentiasa
ingin mengaut keuntungan. Akibat daripada itu munculnya apa yang dikenali
sebagai dasar Imperialisme.
Istilah
Imperialisme sebenarnya telah lama wujud dikalangan masyarakat Eropah
terutamanya sewaktu zaman Napoleon lagi. Istilah yang diperkenalkan di Perancis
pada tahun 1830-an sebenarnya berasal dari perkataan Imperialiste untuk
menunjukkan betapa ulungnya empayar Napoleon. Ini menggambarkan istilah ini
telah sinonim dengan dunia Eropah dan ianya amat berhubung kait dengan
perluasan sesebuah wilayah atau sesebuah empayar. Imperialisme mula
diketengahkan di negara-negara Asia apabila kuasa-kuasa Eropah besaing bagi
menguasai negara-negara di Asia.
IMPERIALISME,
KOLONIALISME, DAN MERKANTILISME
Dalam menerangkan
konsep imperialisme, para sarjana tidak lepas daripada mengaitkan konsep-konsep
Kolonialisme dan juga merkantilisme. Walaupun konsep-konsep ini berlainan dari
segi maksudnya, tetapi ketiga-tiganya berkait antara satu sama lain dan apa
yang pasti ketiga-tiga konsep ini adalah amat merujuk kepada motif ekonomi.
Imperialisme berasal dari perkataan latin iaitu imperium
yang merujuk kepada perhubungan antara
sesebuah kuasa harmoni dengan wilayah-wilayah lain dibawahnya. Secara
umumnya imperialisme adalah merujuk kepada sistem pemerintahan serta
perhubungan ekonomi dan politik negara-negara yang kaya dan berkuasa, mengawal
dan menguasai negara-negara lain yang lazimnya mundur dan miskin dengan tujuan
mengekspolitasi sumber yang ada di negara-negara berkenaan supaya menjadi lebih
kaya dan berkuasa.
Menurut Wan Abdul Rahman Latif dalam bukunya “sejarah
perkembangan tamadun dunia”, mendefinisikan imperialisme
sebagai suatu fahaman atau kecenderungan dan kegiatan sesebuah masyarakat atau
negara meluskan penguasaannya terhadap
masyarakat atau negara lain. Kecenderungan itu boleh timbul disebabkan
faktor ekonomi, politik , kebanggaan bangsa, tamadun, agama, kekuatan tentera
atau persaingan dengan kuasa yang lain[2].
Konsep imperialisme ini juga digunakan bagi merangkumi gerakkan perluasan
masyarakat atau negara bangsa tertentu untuk membina sebuah empayar.
Kolonialisme adalah berasal daripada perkataan
koloni atau tanah jajahan yang ditakluk oleh kuasa-kuasa asing yang bermotifkan
ekonomi. Kolonialisme juga dapat diertikan sebagai pengembangan kekuasaan
sebuah negara atas wilayah dan manusia di luar batas negaranya, seringkali
untuk mencari dominasi ekonomi dari sumber daya, tenaga kerja, dan pasaran
wilayah. Menurut peneori keterbengantungan seperti Andre Gunder Frank, berpendapat
bahawa kolonialisme sebenarnya menuju ke pemindahan kekayaan dari daerah yang
dikolonisasi ke daerah pengkolonisasi, dan menghambat kejayaan pengembangan
ekonomi. Manakala pengkritik post-kolonialisme seperti Franz Fanon berpendapat
bahawa kolonialisme merosak politik, psikologi, dan moral negara terkolonisasi.[3]
Menurut Wan Abdul Rahman Latif pula, istilah
kolonialisme membawa makna yang berbeza mengikut masa ia digunakan dan beliau
juga telah memberi dua pengertian terhadap istilah ini. pertama
kolonialisme adalah bermaksud proses sesuatu kuasa mendapatkan kawasan
petempatan baru melalui kaedah penaklukan dan penghijrahan. Pengertian kedua
pula lebih merujuk kepada dasar melalui kegiatan imperialisme.[4] Daripada definisi ini dapat menunjukkan bahawa imperialisme
adalah amat berhubung kait dengan kolonialisme. Imperialisme lebih
dimengertikan sebagai usaha mencari kekayaan melalui pencerobohan, penyerangan,
dan penindasan serta persaingan tidak sihat. Kolonialisme pula merupakan dasar
penguasaan dan eksplotasi yang menjadi kaedah mencapai kekayaan tersebut.
Istilah mekantilisme pula adalah lebih merujuk kepada
suatu dokrin ekonomi, dasar ekonomi dan falsafah moral. Ianya adalah suatu
dasar ekonomi yang dijalankan oleh negara-negara barat berikutan kemunculan
negara bangsa. Matlamat utama dasar ini adalah untuk menambahkan kekayaan,
kekuasaan, dan kebajikan negara melalui pemilikan sumber-sumber bahan mentah
yang berharga. Ini menunjukkan bahawa matlamat utama dasar mekantilisme adalah
untuk memiliki sumber galian seberapa banyak yang boleh kerana sumber tersebut
adalah sandaran kepada mata wang dan asas kepada kekayaan dan kekuatan sesebuah
negara.
TEORI IMPERIALISME DI ASIA TENGGARA
(i) Teori Marxist dan Teori Liberal
Kemajuan
ekonomi yang berlaku di negara-negara Eropah yang disebabkan oleh revolusi
industri yang berlaku pada akhir abad ke-18 telah memberi pengaruh yang kuat
kepada imperialisme barat. Persaingan dikalangan kuasa-kuasa Barat bagi mencari
kawasan untuk dijadikan koloni terutamanya di Asia Tenggara yang pada ketika
itu dikenali sebagai sebuah kawasan yang kaya dengan sumber bahan mentah telah
menyebabkan kuasa-kuasa Barat melancarkan dasar imperialisme di Asi Tenggara
bagi menguasai negara tersebut. Fenomena ini telah menyebabkan pelbagai teori
imperialisme telah muncul bagi memperjelaskan penyebab utama berlakunya
imperialisme di Asia Tenggara.
Hakikat
sebenarnya imperialisme yang berlaku di negara-negara Asia Tenggara adalah
disebabkan oleh faktor ekonomi. Berikutan dengan berlakunya revolusi industri
dan kemajuan teknologi di Eropah, ianya juga turut memajukan ekonomi negara
Eropah. Dengan itu permintaan terhadap bahan mentah semakin meningkat dan ini
mendorong kepada golongan berkepentingan mencari altenatif lain dengan
menguasai kawasan-kawasan yang kaya dengan sumber-sumber bahan mentah dan ini
sekaligus dapat menyediakan kawasan bagi memasarkan barangan daripada Eropah.
Faktor inilah yang telah mendorong kuasa-kuasa barat menguasai negara-negara
Asia. menurut Wan Abdul Rahman Latif, terdapat dua sebab utama yang mendorong
berlakunya imperialisme,
“ pertama,huraian yang menunjukkan
perkembangan imperialisme berpunca daripada perkembangan
keadaan di Eropah. Kedua, huraian yang menunjukkan perkembangan keadaan
di kawasan pinggir seperti Afrika dan Asia menjadi punca perluasan imperialisme.”[5]
Berdasarkan
kepada penyataan ini, beliau cuba menerangkan bahawa keadaan di Eropah adalah
disebabkan revolusi industri manakala keadaan di Afrika dan Asia adalah
kekayaan sumber ekonomi yang diperlukan oleh masyarakat Eropah. Oleh itu, teori
Liberal dan teori Marxist amat relevan bagi menerangkan imperialisme yang
berlaku di negara-negara Asia kerana kedua-dua teori ini menekankan kepentingan
ekonomi sebagai pencetus dan pendorong utama imperialisme. Keuntungan ekonomi
dikatakan menjadi daya tarikan utama imperialisme dan istilah imperialisme
disama-ertikan dengan eksploitasi[6].
Menurut teori Liberal yang dikemukakan oleh
seorang tokoh sosialis iaitu J.Hobson yang terkenal dengan bukunya Imperialisme:
A Study pada tahun 1903, mendakwa bahawa imperialisme Britain adalah
sesuatu yang dirancang atau dimastermind oleh para industrialis Inggeris
demi kepentingan mereka sendiri. Menurut beliau setelah peringkat awal industrialisasi
dilalui, para kapitalis di Britain mendapati produk mereka di pasaran dalam
negara telah melebihi paras permintaan[7].
Disebabkan itulah para kapitalis berusaha bagi mencari
altenatif lain dengan cuba mencari pasaran baru luar dari Eropah bagi
memperdagangkan hasil keluaran barangan mereka, dalam masa yang sama juga
mereka berharap kerajaan akan menangung kos untuk merealisasikan rancangan
tersebut. Denagan itu jentera kerajaan haruslah digesa atau didesak bagi
mencapai tujuan tersebut. Setelah daerah di seberang laut dikuasai dan pasaran
telah tersedia, maka para industrialis serta kegiatan ekonomi akan menyusul.
Melalui cara sedemikian itu, maka bertapaklah imperialisme[8].
Walaupun teori ini menekankan golongan kapitalis sebagai
pendorong utama berlakunya imperialisme, tetapi perkara utama dalam teori ini
adalah tertumpu kepada ekonomi. Disebabkan kemajuan ekonomi maka imperialisme
mula bertapak. Teori J.Hobson ini amat jelas digambarkan daripada peristiwa
yang menimpa negara Vietnam iaitu salah satu daripada wilayah di Indo-China.
Penguasaan Perancis di Vietnam amat jelas sekali memperlihatkan watak yang
dimainkan oleh para golongan kapitalis. Golongan berkepentingan di Vietnam
telah memainkan isu agama bagi membolehkan Perancis menguasai hampir
keseluruhan wilayah Vietnam dan Indochina.
Perancis juga seperti kuasa-kuasa Barat yang lain ingin
mendapatkan kawasan baru dan berusaha bagi menguasai perdagangan di wilayah
Asia Tenggara. dan kawasan yang menjadi tumpuan adalah Indochina iaitu di
Vietnam. Perancis sebelum ini telah pun menyimpan hasrat bagi memonopoli
perdagangan di wilayah Asia dan bagi merealisasikan hasrat tersebut tumpuan
adalah diberikan kepada negara China. Perancis cuba menjalinkan hubungan
berbaik-baik dengan negara China dan demi menjaga kepentingan perdagagangan di
China Perancis perlu mencari satu kawasan yang sesuai bagi memelihara
kepentingan tersebut. Disebabkan itulah Perancis berusaha menguasai Vietnam
kerana wilayah tersebut terletak di pintu masuk ke China.
Hanya atas alasan ingin membela nasib penganut-penganut
agama Kristian di Vietnam, Perancis telah menggunakan alasan tersebut agar
dapat campur tangan di wilayah tersebut. Dalam pada masa yang sama, mubaligh
kristian telah datang berdakwah di Vietnam sejak abad ke-17 lagi dan kegiatan
itu telah menyebabkan ramai penduduk Vietnam memeluk agama kristian. Mereka
yang memeluk agama kristian telah meninggalkan adat tradisi mereka dan ini
telah menimbulkan kemarahan kerajaan Vietnam. Sebagai tindak balas, kerajaan
Vietnam telah menghalau keluar mubaligh kristian dan menindas penduduk Vietnam
yang beragama kristian. Atas kesempatan tersebut Perancis mengambil peluang
bagi campur tangan di Vietnam.
Penaklukan Perancis di Vietnam diikuti penguasaannya yang
lebih luas di Kemboja dan Laos. Pada peringkat awal penguasaan Perancis di
Indochina, pihak tentera laut memainkan peranan utama dalam pentadbiran kawasan
itu. Kemudiannya, dengan kemunculan sekumpulan ahli parlimen Perancis yang
dikenali sebagai persatuan Kolonial, urusan pentadbiran tanah jajahan mula
dipindahkan kepada pihak awam[9].
Walaupun penguasaan Perancis keatas Vietnam pada mulanya diselindungi dengan
alasan bagi membela nasib para penganut agama kristian, namun hasrat utama
Perancis jelas terlihat apabila penguasaan terhadap ekonomi Vietnam dilakukan
oleh Perancis. Selain itu juga, tanah jajahan yang diperolehi di Indochina
adalah demi kepentingan saudagar dan para pengusaha. Ianya jelas kelihatan
apabila para pengusaha perancis telah bergiat mengeksploit sumber alam dan
tenaga manusia diIndochina dengan pembukaan ladang secara besar-besaran.
Selain teori Liberal yang dikemukakan oleh J.Hobson,
teori Maxist yang didukung oleh Lenin juga dapat menerangkan keadaan sebenar
imperialisme di Asia Tenggara. menurut Lenin,
“Imperialisme adalah kapitalis di tahap
perkembangan bilamana dominasi monopoli dan modal kewangan (finance capital)
telah mula bertapak kukuh;bilamana kepentingan pengeksportan modal telah
menjadi begitu ketara; bilamana pembahagian dunia dikalangan
kumpulan pemodal antarabangsa telah bermula; bilamana pembahagian
daerah-daerah didunia di kalangan kuasa-kuasa kapitalis sudah di sempurnakan”[10]
Lenin cuba menerangkan Imperialisme
adalah merupakan suatu fenomena yang tidak seimbang antara Eropah yang maju
dengan negara-negara yang mundur dalam bidang permodalan, sains dan teknologi.
Fenomena ini wujud disebabkan suatu proses pengumpulan modal berlaku lebih awal
di Eropah dan di Amerika Syarikat akibat revolusi perindustrian. Disebabkan
negara-negara Eropah lebih maju dari segi teknologi, lebihan modal, malah
ditambahkan lagi dengan berlakunya revolusi industri akibat berkembangnya
sektor perusahaan telah mendorong kuasa-kuasa Barat mencari kawasan-kawasan
baru yang kaya dengan sumber bahan mentah. Disamping keperluan barang mentah
kawasan-kawasan tersebut juga adalah berkepentingan didalam memasarkan barangan
kilang yang dihasilkan.
Dalam
masa yang sama, pergolakan politik serta keadaan anarki yang berlaku
terutamannya di negara-negara Asia Tenggara yang terkenal sebagai wilayah yang
kaya dengan sumber bahan mentah telah memberi peluang kuasa Eropah menyempurnakan
kesemua keperluan tersebut. Bagi kuasa-kuasa Eropah Negara-negara Asia adalah
negara-negara yang mundur terutama dari segi teknologi. Hal ini jelas melalui
aktiviti perlombongan di jalankan dinegara-negara Asia, walaupun kegiatan
melombong Bijih Timah telahpun mula dijalankan namun kegiatan tersebut hanya
dijalankan secara kecil-kecilan dengan menggunakan peralatan tradisional sahaja
dan hanya dikalangan golongan pembesar sahaja. Namun selepas kedatangan
kuasa-kuasa Barat, pengunaan jentera mula diperkenalkan dan ekspolitasi bahan
mentah dilakukan secara besar-besaran.
Disebabkan kekayaan sumber ekonomi ini menambahkan lagi
minat kuasa-kuasa barat bagi menguasai sumber ekonomi tersebut dan mengaut
keuntungan daripadanya. Dalam keadaan negara-negara yang kucar-kacir akibat
pergolakan politik dalam negeri, kuasa-kuasa Barat mengambil peluang tersebut
untuk campur tangan dalam pentadbiran negara-negara Asia Tenggara dan peluang
tersebut tentunya digunakan sebaik mungkin bagi memonopoli kesemua sumber
ekonomi yang ada.
Campur
tangan Belanda di Indonesia amat jelas mengambarkan keinginan kuasa tersebut
bagi menguasai ekonomi yang terdapat dinegara tersebut. Indonesia yang
sememangnya terkenal sebagai kepulauan rempah telah menarik kuasa Eropah sejak
dahulu lagi. Indonesia diiktiraf sebagai negara kelima terkaya di dunia
terutamanya dari segi sumber alamnya. Indonesia juga kaya denagn sumber asli
seperti timah, bauksit, arang batu, emas, perak, berlian, serta sumber tanaman
lain seperti tembakau, kayu-kayan dan rempah-ratus[11].
Kekayaan dari segi sumber rempah-ratus seperti di Acheh dan kepulauan Maluku,
iaitu Ternate dan Tidor mendorong Belanda untuk campur tangan dalam
penmtadbiran Indonesia bagi menguasai perdagangan tersebut.
Selain
imperialisme Belanda di Indonesia, Imperialisme Sepanyol di Filipina dan
imperialisme British di India juga memperlihatkan dasar imperialisme yang
disokong oleh faktor ekonomi. Kekayaan negara- negara Asia tersebut mendorong
kuasa Barat tersebut beruasah bagi menguasai negara-negara tersebut. Penguasaan
British di India pada asalnya adalah bagi mendapatkan sumber bekalan bagi kapas
bagi perusahan tekstil di Eropah kerana pada waktu itu bekalan kapas dari Amerika Utara tidak lagi
mudah diperolehi. Disebabkan itu, kuasa Eropah ini beralih ke India bagi
mendapatkan bekalan kapas. Bekalan kapas hanya diperolehi melalui penguasaan
kawasan tanaman kapas yang sedia ada ataupun mewajibkan penanaman kapas di
kawasan baru yang di kuasai. Namun imperialisme British merebak keseluruh wilayah
India apabila mendapati kawasan tersebut mempunyai potensi dari segi ekonomi
tambahan pula persaingan daripada kuasa-kuasa Eropah yang lain bagi mencari
tanah jajahan di Asia menggalakkan lagi British untuk menguasai keseluruhan
India dan seterusnya campur tangan dalam pentadbiran negara tersebut.
Manakala
imperialisme yang berlaku di Filipina juga memperlihatkan persaingan dua kuasa
besar di kawasan tersebut iaitu diantara Sepanyol dan Amerika Syarikat. Amerika
Syarikat yang sebelum ini terkenal sebagai sebuah negara yang menentang
imperialisme tetapi telah terlibat dengan dasar imperialisme apabila dikaburi
dengan kekayaan sumber asli di Filipina. Sepanyol yang menguasai Filipina sejak
abad ke-16 lagi yang juga menguasai negeri tersebut bagi kepentingan ekonomi
telah disingkirkan oleh Amerika Syarikat. Kepentingan ekonomi yang terdapat di
negara tersebut telah menyebabkan berlakunya persaingan dikalangan kuasa-kuasa
Barat kerana wujudnya lebih banyak golongan kapitalis yang sentiasa ingin
mengaut keuntungan dan misi utama pada waktu itu juga adalah lebih kepada
mencari kekayaan.
Tidak
dinafikan bahawa terdapat pelbagai faktor lain yang menyebabkan berlakunya
imperialisme di Asia Tenggara, namun apa yang jelas penguasaan kuasa-kuasa
Eropah keatas negara-negara asia adalah lebih didorong oleh faktor ekonomi.
Revolusi industri yang berlaku dinegara Eropah dan dalam masa yang sama
kemajuan teknologi serta lebihan modal
telah memajukan ekonomi di negara-negara Eropah, yang membangkitkan lagi
semangat imperialisme dikalangan kuasa-kuasa Barat.
Oleh itu, teori Maxist yang dikemukakan oleh Lenin dan
teori Liberal yang dikemukakan oleh J.Hobson amat releven didalam
memperjelaskan imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara. Kekayaan dari sumber
bahan mentah menjadi pendorong utama kuasa barat menguasai Asia Tenggara.
Keinginan menguasai Asia Tenggara telah wujud sejak kepulauan Moluccas ditemui
lagi, yang mana kepulauan tersebut kaya dengan sumber rempah. Kuasa-kuasa
Eropah hanya menunggu masa yang sesuai bagi menguasai negara tersebut.
Disebabkan berlakunya pergolakan politk dalam negeri dan perpecahan dikalangan
masyarakat tempatan, kuasa-kuasa Barat mula mengambil peluang tersebut untuk
campur tangan dan seterusnya menguasai negara tersebut. Malahan pelbagai cara
dilakukan oleh pihak Barat bagi mengaut keuntungan di negara Asia.
Salah
satu contoh permainan politik kotor imperialisme ialah ‘Perang Candu’ menentang
China.Great Britain mula menyeludup masuk dadah candu yang ditanam di India ke
China sejak suku pertama abad ke-19. Penyeludupan candu ini telah
dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mndapatkan defisit yang baik di dalam
dagangan luar. Lambakan dadah ini ke negara ini telah memberi kesan yang
melemahkan autoriti negara china terhadap jajahannya sendiri. Keruntuhan
masyarakat akhirnya mencapai ke satu dimensi yang serius. Pengharaman candu
yang terpaksa dilakukan oleh kerajaan China setelah sekian lama merasa ragu,
telah membawa kepada Perang Candu yang pertama (1838-1842). Tidak dapat di
nafikan lagi bahawa peperangan ini telah menyebabkan China muflis. China
terpaksa menundukkan kepalanya kerana penyusutan angkatan tenteranya di dalam
setiap konfrontasi dengan kuasa luar dan menerima permintaan mereka yang
sentiasa meningkat. Barat pula telah mula menduduki kawasan jajahan China
sedikit demi sedikit daripada tahun 1842. Mereka telah mengambil pelabuhan
konsesi daripada tangan China, menyewa ladang-ladang mereka, dan memaksa negara
tersebut membuka kepada negara luar dengan cara yang memberikan keuntungan yang
melipat ganda kepada mereka. Hasil daripada ini, kemiskinan di dalam negara,
kelemahan kerajaan, dan kehilangan kawasan jajahan China secara
perlahan-perlahan, telah membawa banyak pemberontakan[12].
Ternyata
apapun alasan kuasa barat melancarkan darsar imperialisme di Asia namun ianya
adalah didorong oleh faktor ekonomi dan ianya amat berkait dengan teori Marxis
dan teori Liberal yang dikemukakan kerana ianya menekankan faktor ekonomi
ditambah keingginan golongan kapitalis mengaut keuntungan sebagai punca utamna
imperialisme.
(ii) Teori Imperialisme Konservatif
Selain
teori Marxist dan Teori Liberal terdapat pelbagai lagi teori yang menerangkan
imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara. salah satunya teori yang
diketengahkan oleh Disraeli, Rhodes dan Rudyard iaitu teori imperialisme
Konservatif. Mereka sependapat menyatakan bahawa imperialisme dilakuakn adalah
kerana “tanggungjawab kuasa Barat”. Orang barat bangga dengan kebudayaan dan
peradabaan yang tinggi, kerana kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Kuasa
barat telah menjadikan alasan ini untuk menjalankan dasar imperialisme mereka
termasuklah di Asia Tenggara.
Namun
teori ini tidaklah jelas menggambarkan keadaan sebenar imperialisme yang
berlaku di Asia kerana pada waktu itu negara-negara Asia telahpun mempunyai
sistem pentadbiran yang tersendiri dan teratur. Namun disebabkan berlakunya
pergolakan politik dalam negeri dan berlakunya anarki telah membuka peluang
kuasa Barat campur tangan di negara-negara Asia.
Salah
satu contoh yang jelas adalah Imperialisme Perancis di Vietnam. Ianya adalah
berkaitan dengan teori konservetif yang dikemukakan ini. persengketaan awal
Vietnam dan Perancis adalah berpunca dari agama.terutama selepas pemerintahan
Minh Mang ataupun Trien Tri yg cuba menyekat penyebaran Kristian dikalangan
rakyat melalui pemerintahan, penganiayaan, dan pembunuhan. Pada tahun 1855,
Raja Napoleon III menimbang permintaan mubaligh kristian untuk campur tangan
selepas kematian Bishop Sepanyol laksana tuntutan mubaligh. Justeru Perancis
percaya berazam laksanakan tanggungjawab mereka demi mentamadunkan orang
Vietnam. Perancis percaya, rakyat Vietnam mengalukan kedatangan mereka sebagai
pembebasan daripada kerajaan asli. Namun ternyata imperialisme Perancis ke
Vietnam adalah didorong oleh keinginan menguasai perdagangan dan ekonomi di
Vietnam dan golongak kapitalis giat mengeksploitasi sumber ekonomi di Vietnam.
(iii) Teori
Politik
Fieldhouse dan Robinshon adalah
merupakan antara mereka yang mengutarakan perkiraan politik, strategi atau
militer dan persaingan kuasa dikalangan kuasa-kuasa Eropah sebagai faktor utama
atau kritikal di sebalik imperialisme kuasa-kuasa Barat[13].
Teori politik imperialisme adalah merupakan satu manifesto keseimbangan kuasa
dan ia juga adalah satu proses yang mana dua bangsa cuba mencapai satu
keuntungan atau faedah dalam pengekalan status quo. Perlumbaan mendapatkan
tanah jajahan telah menjadi satu kemestian bagi negara-negara Eropah kerana
bagi mereka kawasan-kawasan jajahan adalah lambang kekuatan dan kekuasaan.
Pemilikan tanah jajahan pada masa itu telah dilihat sebagai seoleh-olah satu
petanda atau pengiktirafan yang kuasa itu telah menjadi kuasa penting tidakpun
tidak kuasa besar.[14] Sesebuah
negara dianggap perlu mempunyai tanah jajahan di seberang laut yang menjadi
simbol dan prestij sesebuah negara tersebut.
Namun teori politik ini dapat disangkal
sama sekali apabila imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara adalah lebih
didorong oleh faktor ekonomi. Biarpun imperialisme sesetengah negara itu telah
didorong oleh faktor militer, tetapi faktor militer itu sendiri sememangnya
dipengaruhi oleh perhitungan ekonomi. Faktor persaingan kuasa juga boleh
dilihat didalam konteks yang sama. Malah telah dihujahkan bahawa penaklukan
keatas tanah jajahan yang ketandusan sumber pun, mempunyai agenda ekonomi[15].
Oleh
itu, dapatlah dikatakan faktor Ekonomi adalah pendorong utama imperialisme di
Asia Tenggara, namun tidak dinafikan terdapat faktor lain yang mendorong
tercetusnya imperialisme di Asia Tenggara. ini menunjukkan teori Marxist yang
disokong oleh Lenin dan teori Liberal yang dikemukakan oleh J.Hobson adalah
relevan didalam menerangkan imperialisme yang berlaku di Asia Tenggara.
PENUTUP
Imperialisme yang berlaku di Asia
Tenggara adalah amat di dorong oleh faktor ekonomi. Kemajuan ekonomi di Eropah
yang diakibatkan oleh revolusi perindustrian mendorong kuasa-kuasa Barat untuk
bersaing bagi mencari serta menguasai koloni di seberang laut untuk mendapatkan
bahan mentah dan pasaran. Keadaan ini telah mewujudkan persaingan antara
kuasa-kuasa imperialis Barat menguasai kawasan luar Eropah termasuklah Asia
Tenggara. teori Maxist dan teori Liberal
adalah relevan didalam menerangkan keadaan imperialisme yang berlaku di Asia
Tenggara kerana Kedua-dua teori ini walaupun berbeza, namun tetap menekankan
ekonomi sebagai punca utama berlakunya imperialisme. Disebabkan kekayaan yang
dimiliki oleh negara-negara Asia Tenggara telah menarik minat kuasa-kuasa
Eropah bagi menguasai negara-negara Asia dan sekaligus memonopoli sumber
ekonominya. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa teori Liberal dan teori Marxist
adalah teori yang paling relevan di dalam menerangkan imperialisme yang berlaku
di negara-negara Asia Tenggara. Akibatnya, imperialisme Barat telah membawa
pelbagai perubahan terutamanya dari aspek ekonomi, sosial dan juga politik di
Asia Tenggara.
BIBLIOGRAFI
Ariffin Omar. 1999. Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu
: Runtuhnya Kerajaan Melayu Sumatera Timur pada tahun 1946, Universiti Sains
Malaysia Pulau Pinang.
Bertrand & Russell. 1993. Sejarah Falsafah Barat,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Peter Church. 1988. A Short History of South – East Asia.
John Willey & Sons
( Asia )
Kuala Lumpur: Pte Ltd. Singapura.
Philippe Devillers. 1988. Sejarah Indo-China
Moden:Perkembangan Sosiopolitik hingga abad ke 20, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Suffian Mansur. 2003. Tamadun China, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Qasim Ahmad. 1999. Revolusi
industri Pertama: Sejarah Permasalahan Sosioekonomi dan Politik. Universiti
Malaysia Sabah.
[1] Suffian Mansur, Tamadun China,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2003. hlm.164
[2] Wan Abdul Rahman Latif, Sejarah
Perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2001.
hlm.285
[4] Wan Abdul Rahman Latif, Sejarah
Perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2001.
hlm.289
[5]Wan Abdul Rahman Latif, Sejarah
Perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2001.
hlm.288
[6] Qasim Ahmad, Revolusi Industri
Pertama, sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia
Sabah,1999. hlm.187
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Qasim Ahmad, Revolusi Industri Pertama,
sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia
Sabah,1999. hlm.187
[9]Wan Abdul Rahman Latif, Sejarah
Perkembangan Tamadun Dunia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2001.
hlm.298
[10] Qasim Ahmad, Revolusi Industri
Pertama, sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia
Sabah,1999. hlm.188-189
[13] Qasim Ahmad, Revolusi Industri
Pertama, sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia
Sabah,1999. hlm.193
[14] Qasim Ahmad, Revolusi Industri
Pertama, sejarah permasalahan sosioekonomi dan politik, Universiti Malaysia
Sabah,1999. hlm.193
[15] Ibid,194
No comments:
Post a Comment