Bismillahirahmannirohhim
(Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah)

Saturday, 28 May 2011

Dasar-dasar dan Pelan Tindakan Kerajaan untuk Memupuk Perpaduan dan Integrasi di Malaysia

      Perpaduan merupakan perkara yang amat mustahak dan penting bagi mengekalkan keharmonian dan kedamaian dalam sesebuah negara. Negara yang aman dan damai dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyatnya. Sesungguhnya negara yang mengamalkan perpaduan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan dengan mudah serta tidak mudah ditakluki kuasa asing.
      Pihak kerajaan terutamanya harus memainkan peranan utama dalam usaha memupuk perpaduan dan integrasi di Malaysia selain menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Kita tidak mahu peristiwa hitam seperti yang telah berlaku pada 13 Mei 1969 yang melibatkan rusuhan antara kaum di negara kita yang telah menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan kemusnahan harta benda yang telah merugikan semua pihak. Peristiwa ini berlaku adalah akibat daripada tidak wujudnya semangat perpaduan dan integrasi nasional. Sesungguhnya mereka berjumpa tetapi tidak wujud komunikasi antara mereka.
      Sesungguhnya, pihak kerajaan menyedari betapa pentingnya pemupukan perpaduan dan integrasi dalam masyarakat. Pihak kerajaan telah menjalankan usaha-usaha dan langkah-langkah dengan memperkenalkan dasar-dasar dan pelan tindakan untuk melaksanakan agenda ini.
      Perpaduan bermaksud telah benar-benar bersatu dan integrasi pula membawa maksud penggabungan dua atau beberapa unsur seperti penggabungan antara kaum yang menjadi satu kesatuan yang kukuh dan kuat[1].
      Antara langkah dan usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan dalam usaha memupuk perpaduan dan integrasi di Malaysia ialah dengan menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pada tahun 1969 yang dahulunya lebih dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara. Jabatan ini merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).
      Tujuan utama kerajaan menubuhkan jabatan ini adalah untuk memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar kerajaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. JPNIN juga mempunyai visi untuk menjadi sebuah agensi kerajaan yang unggul dalam melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, berwawasan dan berdaya maju. Misi  jabatan ini pula ialah untuk memupuk kefahaman dan semangat muhibah melalui jaringan dan interaksi sosial ke arah pembentukan Bangsa Malaysia yang bersatu padu dan beridentiti nasional. Moto bagi jabatan ini pula ialah “Bersatu Kita maju”.
      Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional juga berperanan untuk mengukuhkan perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, menerapkan nilai-nilai kewarganegaraan ke arah pembentukan suatu bangsa Malaysia yang bersatu padu. Selain itu, JPNIN juga berfungsi untuk mencegah konflik antara kaum, masyarakat dan wilayah serta memantau, mengesan dan menilai perhubungan antara kaum dan masyarakat. Peranan lain yang turut dijalankan oleh JPNIN ialah menyelaraskan program dan aktiviti perpaduan dengan agensi-agensi kerajaan, swasta dan pihak-pihak lain, dan yang paling utama adalah berusaha merapatkan masyarakat daripada semua negeri di Malaysia khususnya di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

      Sesungguhnya, kebijaksanaan pihak kerajaan dalam usaha melicinkan matlamatnya untuk memupuk perpaduan dan integrasi dalam negara kita dengan menubuhkan sebuah jabatan khas untuk menguruskan usaha ini adalah merupakan suatu langkah yang terbaik. Penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional ternyata telah berjaya memainkan peranannya dan membawa impak yang positif kepada kita semua.  
      Pelan tindakan kerajaan yang seterusnya ialah dengan melancarkan satu program pembangunan bersepadu dan menyeluruh iaitu dengan melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tujuan utamanya adalah untuk membentuk perpaduan negara.
      Dua langkah telah diambil oleh pihak kerajaan melalui dasar ini iaitu yang pertamanya ialah untuk mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan menambah pendapatan dan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Langkah kedua pula ialah dengan mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia bagi membaiki dan memulihkan keadaan ekonomi yang tidak seimbang supaya dapat mengurang dan setarusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi[2].
      Pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi adalah punca utama berlakunya peristawa hitam rusuhan kaum 13 Mei 1969 apabila berlakunya ketidak tegasan melaksanakan apa yang telah termaktub dalam kontrak sosial[3] terutama sekali perkara yang melibatkan isu-isu kemiskinan orang Melayu dan Bumiputera dalam semua bidang. Pengasingan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi juga turut mewujudkan ketidakseimbangan ekonomi ekonomi dan taraf pendidikan serta jurang perbezaan ekonomi yang sangat ketara di antara kaum Melayu dan Bumiputera dengan Bukan Bumiputera semakin melebar hingga mengakibatkan jumlah kemiskinan dan pengangguran di desa semakin bertambah sehingga memaksa anak-anak muda Melayu berhijrah ke kota mencari pekerjaan.
      Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah dirancang untuk tempoh 20 tahun iaitu dari tahun 1971 hingga 1990 dengan harapan daripada pihak kerajaan pada masa itu iaitu Kerajaan Perikatan agar dapat mengurangkan ketidakseimbangan antara orang Bumiputera dengan Bukan Bumiputera dari segi semua bidang. Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah mula dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-2, RMK-2 (1971-1975) sehingga Rancangan Malaysia ke-5, RMK-5(1986-1990) yang tujuan utamanya adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan yang begitu besar dari segi ekonomi tanpa mengira kaum serta mengelakkan berulangnya peristiwa 13 Mei 1969[4].
      Antara matlamat pihak kerajaan melalui dasar ini untuk tempoh 20 tahun adalah untuk meningkatkan peratus penanaman modal dalam syarikat-syarikat berhad kerana peratusan kaum bumiputera pada ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 hingga semasa dasar ini baru diperkenalkan adalah sangat rendah dan wujud jurang yang sangat besar di antara kaum Bumiputera dengan bukan Bumiputera dan pihak asing. Matlamat akhir dasar ini ialah pada tahun 1990, peratusan penanaman modal Bumiputera dalam syarikat-syarikat berhad akan dapat ditingkatkan dari hanya 1.5 peratus sahaja pada tahun 1971 kepada 30 peratus pada tahun1990. Sementara itu, kaum bukan Bumiputera yang menguasai sebanyak 23.7 peratus penanaman modal akan cuba untuk ditingkatkan kepada 40 peratus pada tahun 1990. Bagi pihak asing yang menguasai sebanyak 62.1 peratus pada tahun 1971 akan cuba dikurangkan kepada hanya 30 peratus sahaja apabila cukup tempoh 20 tahun[5].   
      Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah dilaksanakan ini sebenarnya telah membawa Malaysia untuk mengorak langkah ke hadapan untuk menuju ke arah negara maju melalui Wawasan 2020 dengan usaha menghapuskan kemiskinan secara mutlak seperti yang pernah diungkapkan oleh mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir b. Mohamad “Daripada,serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru(DEB), tiada sesiapa pun yang menentang pembasmian kemiskinan secara mutlak tanpa mengira kaum dan kedudukan geografi. Semua rakyat Malaysia, sama ada mereka yang tinggal di kawasan bandar atau luar bandar, sama ada mereka di selatan, utara, timur atau barat, mesti dinaikkan daripada garis kemiskinan mutlak”[6].
      Dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini, ianya secara tidak langsung telah membawa kesan yang positif dalam memupuk perpaduan dan integrasi di Malaysia. Pelaksanaannya telah berjaya mengubah keadaan negara yang huru-hara pada ketika itu setelah menggabungkan ketiga-tiga proses iaitu pendidikan, pembangunan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera ke dalam dasar-dasar dan program-program tertentu.
      Seterusnya, pihak kerajaan juga menyedari bahawa adalah lebih afdal dan lebih sesuai jika semangat perpaduan dan intagrasi ini dipupuk serta disemai sejak dari awal lagi dalam jiwa rakyat Malaysia. Oleh itu, pihak kerajaan merasakan adalah lebih baik jika semangat ini diserap ke dalam jiwa rakyatnya sejak kecil lagi dan tumpuan sudah tentulah diberikan kepada golongan pelajar-pelajar sekolah dan institusi-institusi pendidikan yang lain. Oleh itu, kerajaan telah menggunakan sistem pendidikan sebagai wadah untuk menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan para pelajar. Adalah lebih baik proses  penyemaian nilai murni ini dimulakan sejak mereka kecil lagi kerana pada usia beginilah mereka lebih mudah menerima pelajaran bak kata pepatah “jika mahu melentur buluh,biarlah dari rebungnya”. Untuk masa yang ke hadapan, merekalah yang akan mewarisi pentadbiran Negara dan jika mereka tidak didedahkan dengan semangat perpaduan, adalah tidak mustahil negara kita nanti akan menjadi huru-hara dan kacau-bilau.
      Melalui sistem pendidikan, pihak kerajaan telah mewujudkan beberapa program yang realistik dan bersesuaian dalam usaha untuk mencapai matlamat mewujudkan semangat perpaduan dan integrasi dalam kalangan para pelajar. Antara program yang telah dijalankan ialah perlaksanaan Sekolah Wawasan.
      Sekolah Wawasan adalah sekolah  rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama. Di bawah konsep ini, dua atau tiga sekolah rendah yang berlainan sekolah akan mempunyai bangunan yang bersambung antara satu sama. Matlamat penubuhan sekolah ini adalah untuk mewujudkan perpaduan dan integrasi di antara murid yang berlainan etnik dan agama. Ia juga untuk melahirkan sifat tolenrasi dan persefahaman yang tinggi dan menggalakkan integrasi yang maksimum antara semua pelajar melalui perkongsian kemudahan sekolah dan perlaksanaan aktiviti.
      Sekolah wawasan ini tidak langung mengubah sistem pembelajaran yang asal kerana tiap-tiap sekolah mempunyai nama yang tersendiri di samping urusan pentadbiran dan pengurusan kewangan yang dikendalikan oleh sekolah masing-masing.
       Melalui Sekolah Wawasan ini, pelajar-pelajar yang berlainan etnik akan menggunakan pelbagai kemudahan secara bersama seperti kantin, lapangan perhimpunan, gelanggang permainan dan padang secara bersama-sama. Apabila kemudahan ini digunakan secara bersama, sudah tentulah mereka akan berjumpa dan bertemu antara satu sama lain yang seterusnya akan mewujudkan interaksi di kalangan mereka dan di sinilah akan bermulanya semangat perpaduan diterbitkan.         
      Konsep sekolah wawasan yang kini dipraktikkan adalah satu usaha untuk melahirkan anak bangsa Malaysia yang mempunyai semangat dan bersifat cintakan negara. Jika kerangka konsep sekolah dahulunya terasing antara satu sama lain, kini disatukan dalam satu sistem pendidikan yang seragam dan selari dengan hasrat negara. Pada hari ini masih wujud lagi sekolah yang berasaskan kaum iaitu sekolah cina dan tamil. Sekolah wawasan bolah dicernakan sebagai pertembungan etnik dalam satu ruang yang sama. Penggabungan sekolah-sekolah yang berasaskan etnik ini dalam satu kawasan yang sama, akan menemukan pelajar yang pelbagai etnik secara kerap dan ini mewujudkan integrasi etnik dangan cepat dan berkesan. Konsep Sekolah Wawasan ini diharapkan dapat merapatkan hubungan  pelajar yang berasal dari pelbagai bangsa walaupun berlainan aliran persekolahan.
      Pihak kerajaan juga telah melaksanakan program pendemokrasian pendidikan yang juga dapat memupuk integrasi antara etnik. Pendemokrasian antara etnik yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan adalah untuk memastikan agar semua kaum atau etnik dapat menikmati kemudahan yang sama dalam pendidikan sama ada mereka yang bersekolah di dalam bandar atau di luar bandar. Kemudahan yang sama bermaksud seperti reka bentuk sekolah-sekolah yang dibina adalah sama, alat-alat yang dibekalkan seperti kerusi, meja, almari adalah seragam di semua sekolah. Dengan ini tidak akan timbul perbezaan antara sekolah sama ada yang digunakan oleh etnik Melayu, Cina, India atau Bumiputera Sabah dan Sarawak.
      Pelajar-pelajar dari pelbagai etnik tidak disekat untuk bersekolah di mana-mana sekolah di negara kita. Mereka boleh memilih sekolah mengikut pilihan masing-masing. Sekolah-sekolah yang berbeza aliran juga mendapat kemudahan yang sama. Walaupun mereka menggunakan bahasa penghantar yang berlainan, tetapi sukatan, buku teks, jadual waktu dan peperiksaan diselaraskan secara berpusat.
      Kumpulan-kumpulan etnik lain juga berhak untuk mempelajari bahasa dan kebudayaan kumpulan etnik masing-masing dan patut dihormati dan diberi perlindungan yang sewajarnya. Melalui kebebasan seperti ini, adalah diharapkan agar pendemokrasian pendidikan dapat memupuk proses integrasi antara etnik.
      Dasar yang dimainkan oleh pendidikan amatlah penting dalam proses integrasi dan pembangunan sesebuah negara. Dengan perkembangan ekonomi yang pesat telah menyebabkan keadaan mobility masyarakat terus berubah. Dalam masa yang sama, kita harus mempertahankan nilai-nilai perpaduan yang telah diasaskan sebelum ini. Bidang pendidikan merupakan bidang yang terpenting bagi menjadi alat perpaduan antara etnik. Hanya menerusi pendidikan sahaja, rakyat Malaysia yang berbilang etnik dapat disemai rasa semangat perpaduan dan integrasi sejak dari kecil lagi hinggalah dewasa. Oleh itu, segala dasar dalam pendidikan  yang dapat memupuk integrasi antara kaum haruslah disokong oleh setiap rakyat Malaysia.
      Sesungguhnya, perpaduan dan integrasi adalah suatu unsur yang sangat penting bagi mewujudkan sebuah negara yang aman dan makmur, kestabilan politik dan perkembangan ekonomi yantg pesat. Tugas ini tidak seharusnya dipertanggungjawabkan hanya kepada pihak kerajaan sahaja, tetapi semua lapisan masyarakat harus menyumbangkan tenaga bagi merealisasikan impian murni ini.
      Memetik ucapan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam perutusan Kemerdekaan Negara Ke-51, beliau mengingatkan rakyat bahawa perpaduan adalah tunjang kepada kestabilan politik, keharmonian sosial dan keutuhan daya saing ekonomi negara[7]. Oleh yang demikian, kita semua haruslah bersama-sama membantu pihak kerajaan dalam menyemarakkan semangat perpaduan dan integrasi ini dan kita mestilah menyayanginya bak kata pepatah  “bercerai kasih bertalak tidak,bagaikan rambut bersimpul mati,inginku mati di hujung kuku,ingin ku kubur di tapak tangan”.     

Adam Jebat: Pelbagai dasar dan tindakan telah diusahakan oleh Kerajaan,namun sejauh mana kejayaan, keberkesanan dan pemahaman rakyat? Dapat dilihat semakin berani kaum-kaum lain mempersoalkan hak-hak bangsa Melayu, Kontrak Sosial mahupun Perlembagaan. Benarlah kata Tun Mahathir, rupanya mengisi kemerdekaan itu lebih sukar.   
 


[1] Drs.Awang Sudjai Hairul,Kamus Lengkap,Kuala Lumpur:Pustaka Zaman Sdn Bhd,1990.hlm 1035.
[2] Kaum Melayu di kawasan pedalaman dan luar Bandar,Cina di kawasan bandar(berniaga),India di kawasan ladang-ladang.
[3] Kontrak sosial ialah tawar menawar politik menerusi dialog pemimpin-pemimpin parti Perikatan(UMNO-MCA-MIC)inilah yang telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai kontrak sosial yang kemudiannya termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
[4] Zainal Abidin Abdul Wahid et.al,Malaysia Warisan dan Perkembangan Edisi Kedua,Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,1996,hlm.393-394.
[5] Ibid,hlm.395.
[6] Dr.Mahathir b.Mohamad,Malaysia:The Way Forward,Kuala Lumpur:Biro Tatanegara Jabatan    Perdana Menteri Malaysia,1991,hlm.4. 
[7] Norfatimah Ahmad,Berita Minggu,Kuala Lumpur,31 Ogos 2008,hlm 1.

2 comments:

  1. slm.. nak tnye.. dpt dr mane sumber untuk entri ni? hehe

    ReplyDelete
  2. mohon jdkan sbgai rujukan..terima kasih :)

    ReplyDelete